Takut satu hari nanti tiada lagi hilai tawa kanak-kanak di masjid

Takut satu hari nanti tiada lagi hilai tawa kanak-kanak di masjid

Reaksi seorang kanak-kanak perempuan ketika turut serta menunaikan solat sunat tarawih di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur. - UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI/PIX ONLY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KINI kita dalam bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan. Bulan untuk kita beramal dan merebut setiap peluang yang diberikan oleh Ilahi sebagai bekal pada hari kelak. 

 Saya setakat hari ini, Alhamdulillah masih lagi berjaya menunaikan solat tarawih berjemaah di masjid. Cuma hati kecil terusik dengan keluhan seorang rakan yang ditemui usai moreh di masjid. 

“Tak tenang aku solat di masjid ini, bising, riuh dengan budak-budak berlari sana-sini,” keluh sahabat saya ini berserta dengan memek muka kekecewaan. 

Mata saya melilau melihat suasana di belakang masjid, memang terdapat sekumpulan kanak-kanak bermain, berkejar-kejaran dengan hilai tawa yang agak deras bunyinya. 

Pada mulanya saya agak bersetuju dengan keluhan sahabat saya ini. Tetapi setelah seketika apabila akal menguasai diri, saya tersenyum sendirian dan meluahkan rasa syukur akan suasana bingit tersebut. 

Hakikatnya saya lebih khuatir jika suatu hari nanti masjid tidak lagi dipenuhi dengan mereka. Saya juga akan risau jika sudah tiada lagi pekikan suara mereka yang bergelar kanak-kanak ini. Saya tidak boleh bayangkan jika satu hari nanti mereka ini hilang dari masjid-masjid di seluruh negara. 

Kerahmatan 

Kehadiran mereka, bagi saya, walaupun ada ketikanya mengganggu tetapi ia hadir dengan kerahmatan. 

 Sekurang-kurangnya mereka ini didik untuk hadir ke masjid. Setidak-tidaknya mereka berada di rumah Allah bukan di tempat-tempat lain yang tidak perlu saya nyatakan di sini. 

Kehadiran mereka, sedikit-sebanyak menghidupkan masjid. Jangan kita lupa konsep mengimarahkan masjid bukan sekadar mendirikan solat, tetapi menjadikannya sebagai satu perhentian untuk segala-galanya atau “one stop centre”. 

Kanak-kanak ini walaupun tidak bersolat, mereka juga mula berinteraksi sesama mereka, pasti dengan mereka yang juga ke masjid. Bukankah kita sering mengajar anak-anak kita untuk berkawan dengan orang yang baik-baik. Pastinya kebanyakan mereka hadir ke masjid mempunyai niat yang satu. Bertakwa kepada Allah. 

Kaedah pengajaran dan pembelajaran juga berlaku ketika ini, apabila mereka mendengar berkali-kali bacaan Al-Fatihah, pastinya bacaan yang berkali-kali didendangkan akan meninggalkan kesan di hati mereka. Ketika ini juga proses penghafalan akan bermula, memahami dan memerhati pergerakan solat mula terbit di akal mereka. 

Apatah lagi bacaan-bacaan lain seperti selawat dan doa-doa yang tidak pernah putus-putus diulang. 

Bagi saya kita perlu menggalakkan kehadiran mereka di masjid-masjid, supaya hati-hati mereka juga dekat dengan masjid. Namun begitu perlu ada pengisian sewajarnya daripada pihak pengurusan masjid agar kehadiran mereka tidak mengganggu jemaah lain yang ingin solat secara aman dan tenang. 

Mumayyiz

Untuk itu, saya ingin mengusulkan antaranya, menyediakan bilik nurseri yang dibuka setiap waktu solat dan diuruskan oleh sukarelawan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak. Mendirikan dua ruang solat berbeza, tingkat atas untuk dewasa, manakala bawah untuk ibu bapa bersama-sama kanak-kanak. 

Di samping itu pihak pengurusan rumah ibadat ini juga boleh menguatkuasakan peraturan hanya kanak-kanak berumur tujuh tahun atau yang mumayyiz saja boleh berada di ruang solat dewasa. 

Pengurusan masjid boleh mewujudkan aktiviti khas kanak-kanak ketika solat berlangsung seperti mewarna, yang dapat menarik perhatian mereka. Ibu-ibu yang keuzuran daripada solat boleh memberi sumbangan sebagai sukarelawan yang mendambakan pahala akhirat, sebagai pemudah cara aktiviti-aktiviti ini, termasuk juga sudut bercerita berteraskan keagamaan. 

Anak-anak perlu dibentuk ketika masih lagi boleh dilentur. Kalau sudah dewasa, pasti sukar untuk menjadikan seperti yang kita inginkan. 

Dalam hal ini, buat rakan-rakan jemaah, takutilah jika satu hari nanti, rumah-ruamh Allah sudah tiada hilai tawa kanak-kanak. Bayangkanlah apa akan terjadi kepada generasi mendatang jika ini benar-benar berlaku.UTUSAN

Penulis adalah pemerhati politik dan sosial 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya