DR. Maurice Bucaille, seorang doktor berbangsa Perancis, ketika mengkaji mumia firaun telah menemukan jawapan kepada persoalan-persoalan yang terlintas di mindanya tentang isi al-Quran. Selama 10 tahun, beliau mengkaji sejauh mana fakta sains terkini pada zamannya sepadan dengan apa yang disebutkan dalam al-Quran.
Beliau ingin meyakinkan dirinya bahawa al-Quran tidak pernah bercanggah dengan satu pun fakta sains. Akhirnya, pada 1976, beliau menghasilkan sebuah buku bertajuk La Bible, le Coran et la Science: Les Écritures Saintes examinées à la lumière des connaissances modernes.
Buku ini begitu hebat sehingga ia diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris dengan tajuk The Bible, The Qur’an and Science, The Holy Scriptures Examined In The Light of Modern Knowledge. Karya itu menjadi medium dakwah buat beliau sehingga hari ini.
Kini, 46 tahun kemudian, karya ini wujud dalam bentuk e-buku. Malah, di YouTube boleh ditemui video-video ceramah Bucaille dan video-video orang lain yang membicarakan tentang penemuan beliau. Lebih kurang sebulan lalu, iaitu 1 Mac, Islamic Knowledge Official memuat naik video berdurasi kira-kira dua minit di YouTube mengenai embriologi dengan memetik karya Bucaille.
Menggunakan visual daripada pengimbas 3D, video ini memaparkan tahap demi tahap perkembangan janin di dalam rahim seorang ibu seperti yang difirmankan Allah SWT dalam surah al-Mukminun (23), ayat 13-15. Video ini boleh ditonton di pautan https://www.youtube.com/watch?v=zxausxc87vi.
Begitulah perkembangan cara berdakwah. Teknologi boleh meluaskan capaian dakwah jika kita tahu memanfaatkannya. Dakwah bermula secara bersemuka, kemudian disebarkan dari mulut ke mulut, diikuti penulisan dan disebarkan melalui kitab-kitab dan buku-buku. Kemudian dakwah melalui ceramah diikuti oleh ratusan peserta, seterusnya ceramah-ceramah seperti ini dirakam dan diedarkan melalui pita-pita kaset. Kemudian ceramah-ceramah dirakam dalam bentuk video VHS dan dijual kepada masyarakat yang berminat.
Bila siaran TV dan radio bertambah, semakin banyak rancangan berunsur Islam disiarkan, baik dalam bentuk ceramah, soal jawab, forum, mahupun drama-drama berunsur Islam.
Di era teknologi komunikasi maklumat (ICT) kira-kira 25 tahun dahulu, kita menyaksikan rakaman-rakaman ceramah tadi disebar dalam talian dan sampai ke alamat e-mel kita. Kita tidak perlu lagi membeli pita kaset atau pita video untuk mendengar sesuatu ceramah tetapi kita boleh menontonnya melalui klip-klip video yang dihantar ke e-mel kita.
Kini di era digital, hampir semua remaja dan orang dewasa memiliki akaun media sosial sendiri. Sehubungan itu, kita bukan sahaja boleh mengikuti ceramah-ceramah ini secara langsung, malah kita juga boleh menjadi pencipta kandungan ceramah dakwah itu sendiri, yakni kitalah pendakwahnya.
AMATUR, PROFESIONAL
Hakikatnya, setiap kali kita mengemaskini status melalui media sosial, baik dengan tulisan atau gambar mahupun video, kita sebenarnya memainkan peranan sebagai seorang pencipta kandungan digital. Cumanya, pencipta kandungan digital ini ada pelbagai tahap, dari amatur hinggalah professional (yang terlatih dan mencari makan dalam bidang ini).
Persoalannya, apakah kita mahu menjadi pencipta kandungan digital berunsur Islam yang melayakkan kita menjadi dai digital ataupun tidak?
Membuat dan memuat naik sesuatu kandungan digital itu mudah. Hanya dengan mengambil video semua juadah berbuka yang terhidang di atas meja dan memuat naik video tersebut ke media sosial, maka terhasil satu kandungan digital. Namun, untuk menyediakan satu kandungan digital Islami bagi tujuan dakwah mungkin tidak semudah itu.
Bagaimanapun, jika kandungan digital Islami ini terhasil dan berjaya mengajak masyarakat untuk membuat kebaikan dan menjauhi kemungkaran, ganjaran pahalanya amatlah besar untuk menjadi bekalan kita di akhirat kelak. Pelbagai perkara boleh dijadikan bahan untuk kandungan digital Islami itu dan pelbagai pendekatan boleh digunakan. Sebagai contoh, boleh sahaja mengajar membaca al-Quran secara langsung, memberi ceramah atau mengusahakan karya kreatif melalui pembikinan video pendek dan video animasi. Ini mungkin memerlukan gabungan usaha dan kepakaran sebuah pasukan yang mantap sebelum satu kandungan digital yang baik itu dapat dihasilkan.
Era digital memerlukan dai digital. Dai digital bukan terhad kepada pakar rujuknya sahaja iaitu para ustaz dan ustazah. Namun, ia merangkumi keseluruhan tenaga kerja produksi yang memastikan terhasilnya satu kandungan digital sehingga dapat meningkatkan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat, baik dalam bentuk e-buku, rancangan TV, radio, saluran peribadi mahupun video atau video animasi 2D dan 3D. Inilah medium dakwah masa kini.
Inilah medan kita untuk berdakwah secara berhikmah. Inilah juga medan untuk kita menyampaikan ajaran Rasulullah SAW walaupun dengan sepotong ayat. Menyedari kandungan digital Islami ini perlu diperbanyakkan, pada 8 Mac lalu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) melancarkan Pertandingan Mereka Cipta Video Animasi
Kefahaman Islam untuk penuntut institusi pengajian tinggi.
Antara objektif penganjuran pertandingan ini ialah untuk menggalakkan penghasilan video animasi kefahaman Islam bagi membina minda Islami dalam kalangan masyarakat. Dengan tawaran hadiah berjumlah RM15,000 untuk tempat pertama, RM10,000 (kedua) dan RM5,000 (ketiga), adalah diharapkan para penuntut ijazah sarjana muda dan ke atas dapat merebut peluang ini dan mengasah kemahiran berfikir dari perspektif Islam dan menggabungkannya dengan kemahiran mereka cipta video animasi bagi menghasilkan video animasi kefahaman Islam yang memberi kesan. – UTUSAN
PENULIS ialah Felow Kanan Pusat Kajian Ekonomi & Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










