SEMEMANGNYA begitu menyayat menyaksikan pelarian Ukraine yang terpaksa meninggalkan tanah air mereka angkara Rusia yang pada pendapat Kremlin terpaksa melaksanakan operasi khas tentera demi menyelamatkan rakyat Ukraine. Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), seramai lima juta rakyat Ukraine menjadi pelarian di negara-negara jiran seperti Poland, Romania, Slovakia, Hungary dan Moldova.
Tidak dilupakan juga enam juta lagi dalam kalangan mereka yang menjadi pelarian di negara sendiri apabila tempat tinggal mereka musnah dalam peperangan. Rakyat Ukraine yang menjadi pelarian berpegang kepada kepercayaan bahawa perang akan tamat secepat mungkin dan dapat kembali ke tempat asal masing-masing yang membuatkan mereka memilih negara jiran terdekat sebagai tempat perlindungan sementara.
Kesatuan Eropah (EU) pula memberi kebenaran kepada pelarian Ukraine untuk bekerja dan berada di 27 negara ahli selama tiga tahun demi memudahkan meneruskan kehidupan di negara asing.
Menariknya bukan sahaja negara Eropah yang berjiran dengan Ukraine banyak menerima pelarian tetapi negara berjauhan seperti Perancis, United Kingdom dan Jerman juga amat bermurah hati membuka pintu sempadan mereka.
Fenomena ini menarik kerana sebelum ini negara-negara Eropah berkenaan begitu berat hati untuk menerima pelarian terutama sekali yang berasal dari benua Afrika dan Asia? Timbul kemusykilan, apakah dasar pengambilan pelarian sudah berubah dalam kalangan negara-negara tersebut?
Ini kerana ketika era kemuncak pelarian tiba di Eropah pada 2015 yang mencapai sehingga sejuta orang, jumlah tersebut berkurangan mendadak pada 2020 dengan hanya 100,000 disebabkan peraturan ketat yang dikenakan. Poland dan Romania umpamanya adalah antara negara EU paling sedikit menerima pelarian berbanding Perancis atau Jerman.
Ada berita kurang enak tersebar bagaimana rakyat Afrika dan Asia umpamanya sukar mendapat kebenaran untuk merentas sempadan dari Ukraine ke Poland.
Berkemungkinan Warsaw menghadapi kesukaran menyediakan kemudahan kepada pelarian yang begitu ramai ataupun juga pelarian berkenaan tidak mempunyai dokumentasi perjalanan lengkap. Ada jua dakwaan bahawa beberapa negara Eropah mengamalkan dasar diskriminasi terhadap pelarian Ukraine terutama sekali kumpulan dari Afrika dan Asia.
Tidak banyak dihebahkan mengenai satu lagi kumpulan pelarian yang mendakwa mereka juga telah didiskriminasi iaitu penduduk Ukraine beragama Islam. Tidak diketahui jumlah sebenar orang Islam di Ukraine tetapi dianggarkan merangkumi satu peratus daripada keseluruhan penduduk yang majoritinya penganut Kristian ortodok. Tetapi hakikatnya ialah Islam adalah agama terbesar di Ukraine selepas Kristian.
NAZI
Walaupun penduduk Islam hanya merangkumi satu peratus penduduk Ukraine tetapi di wilayah Crimea, 12 peratus penduduknya beragama Islam terutama sekali daripada keturunan Tatars Crimea. Apabila Rusia menyerang wilayah Crimea dan Donbass pada 2014, penduduk Islam di wilayah ini terpaksa berhijrah ke Ukraine dan menetap di beberapa bandar besar seperti Kyiv, Kherson, Kharkiv dan Mariupol. Asal usul penduduk Islam Ukraine terutama di Crimea adalah dari Rusia tetapi ketika era Kesatuan Soviet Joseph Stalin, penduduk Islam dilayan dengan buruk kerana dituduh bersubahat dengan Nazi Jerman.
Kini Ukraine diserang dan penduduk Islam terutama sekali di Mariupol dan Kharkiv yang ditawan tentera Rusia berasa serba salah. Penduduk Islam akur negara Eropah keberatan menerima mereka sebagai pelarian perang, tidak seperti pelarian Ukraine yang lain. Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, nasib penduduk Islam di Ukraine, lari dari Rusia berdekad lepas dan hari ini sekali lagi terpaksa berdepan dengan Rusia.
Sebab itu jua kebanyakan penduduk Islam Ukraine membuat keputusan untuk terus berada di negara itu dan bertawakal dengan apa jua kesannya tidak kira sama ada mereka berada di tempat kawalan kerajaan Ukraine atau tentera Rusia.
Penduduk Islam Ukraine tidak rela diperlakukan seperti yang pernah dihadapi oleh pelarian Romani (Roma) Ukraine. Pelarian Roma ini menghadapi kesukaran dan didiskriminasi ketika menjadi pelarian di beberapa negara Eropah. Akhirnya pelarian Roma ini sanggup kembali ke Ukraine dan menghadapi apa jua risiko walaupun berada dalam zon perang.
Begitulah hakikatnya walaupun dalam ketika perang pun diskriminasi kerana perbezaan anutan agama dan amalan budaya masih menebal. Tidak kurang juga faktor agama dijadikan modal sama ada untuk menghasut atau meraih simpati dalam percaturan persepsi perang Ukraine. Tersebar luas propaganda bahawa tentera Rusia yang berada dalam wilayah Ukraine tidak akan mengambil tindakan kekerasan terhadap penduduk Islam Ukraine dan juga masjid tidak akan dimusnahkan. Sama ada benar atau tidak dakwaan seperti ini sukar untuk disahihkan terutama sekali apabila penyaluran maklumat di zon perang Ukraine adalah begitu terhad sekali.
Ketika membahas isu perang Ukraine dalam Cortes Generales Sepanyol (Parlimen), ketua parti berhaluan kanan VOX, Santiago Abascal menegaskan bahawa Eropah mesti menerima pelarian Ukraine berkulit putih dan menolak pelarian Islam kerana mereka ini akan menjajah Eropah. Ironisnya walaupun kenyataan ini diluahkan oleh ahli politik berhaluan kanan yang begitu tinggi perlakuan Islamofobia-nya, ucapan beliau itu mendapat tepukan gemuruh daripada semua ahli kongres Sepanyol lain. – UTUSAN
PENULIS ialah geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).










