DI sebalik tirai perang di Ukraine yang mencetus impak di pentas antarabangsa, letusan konflik di rantau Indo-Pasifik menjadi lensa utama kepada rencana percaturan strategik Barat dan Amerika Syarikat (AS).
Bersandarkan kepada keyakinan risiko di Ukraine dan di Eropah secara amnya masih terkawal, risiko konflik dan impak domino lebih ketara di China, Taiwan dan Korea Utara. Panggilan video di antara Presiden Joe Biden dan Presiden Xi Jinping pertengahan Mac lalu terus mencerminkan keteguhan pendirian masing-masing yang tidak berganjak daripada kepentingan dan keselamatan nasional. Ia memperkukuh perspektif lama bahawa hubungan Washington-Beijing akan terus terpalit kepada kancah Perang Dingin baharu.
Percubaan untuk meraih kelebihan dalam rundingan dan dialog itu dengan penampilan kapal pengangkut pesawat Shandong di Selat Taiwan hanya beberapa jam sebelum panggilan bermula tidak mendatangkan sebarang impak. Kedua-dua kuasa tetap dengan pendirian tegas untuk mempertahankan kepentingan jangka panjang.
Bukan sahaja legasi pemupukan hubungan di antara Biden dan Jinping secara individu sejak sedekad yang lepas tidak membuahkan hasil dan perubahan diingini, konteks persaingan dan perbezaan ketara dalam model sistemik hubungan Washington-Beijing melangkaui parameter diplomasi dan dialog konvensional yang cuba dibina.
Aspek percaturan kepentingan dan kuasa merentasi jenis dan tahap tampuk kepimpinan di AS, reaksi terhadap Beijing tidak akan menunjukkan perubahan ketara bagi seseorang Presiden Demokrat mahupun Republikan. Amaran Biden bahawa Beijing akan menerima impak bersasar melalui sekatan dan tempias lain sekiranya ingkar dengan tuntutan Barat dan global untuk tidak tunduk kepada permintaan Presiden Vladimir Putin dilihat tidak memberikan kesan kepada keseimbangan sasaran kos dan risiko untuk Beijing dan Jinping secara individu.
Dalam analisa spektrum kebergantungan Beijing dan Moscow, ukuran bukan sahaja dinilai pada tahap keperluan terdesak Moscow terhadap bantuan Beijing. Moscow kekal menjadi sandaran dan sekutu paling kritikal kepada China yang akan menjadi sumber sokongan keselamatan secara ketenteraan serta jaminan keselamatan makanan dan sumber alam. Rusia dilihat kritikal dalam potensi jaminan kelestarian sumber makanan dan tenaga terutama dalam mendepani cabaran perubahan iklim di mana Moscow bakal menjadi kuasa besar dalam pemerkasaan produktiviti sumber kritikal yang dapat menjamin kelangsungan sosial dan ekonomi. Perubahan iklim dengan peningkatan suhu akan menjadikan lembah Siberia yang luas sebagai potensi platform baharu untuk produktiviti sumber makanan.
Negara lain terutama China yang akan menerima tempias langsung daripada perubahan iklim ini akan menyaksikan keperluan kebergantungan kepada jalinan keselamatan makanan dengan sekutu rapat. Dalam aspek percaturan geopolitik, Beijing akan menaruh sandaran strategik terhadap Moscow untuk kekal sebagai kuasa penampan terhadap sebarang risiko infiltrasi dari Artik sebagai kawasan yang kian meningkat dalam fokus percaturan ketenteraan kuasa Barat. Di barat China, Beijing turut memerlukan Moscow untuk mengekalkan ikatan dan pegangan ke atas negara-negara Asia Tengah bagi kekal berada di bawah pautan Moscow dan tidak diresapi unjuran ke Barat. Ini menjadikan Moscow platform paling kritikal dalam pemeliharaan aspek keselamatan jangka panjang Beijing dengan sokongan ketenteraan terdekat, terpantas dan termudah sekiranya diancam Washington atau pakatan lain terutama Dialog Keselamatan Qudrilateral (Quad).
Jinping terperangkap dalam himpitan keseimbangan sukatan risiko dan pulangan positif dalam domain perang di Ukraine melalui keengganan untuk menyertai sekatan antarabangsa terhadap Kremlin dan pertimbangan untuk menghulurkan bantuan ketenteraan dan ekonomi kepada Putin.
SUKAN OLIMPIK
Pertalian tanpa limitasi yang dibentuk semasa Sukan Olimpik Musim Sejuk bulan lalu akan tetap menjadi perintis kepada jalinan hubungan Beijing-Moscow.
Ini menandakan lembaran baharu strategi hubungan berlandaskan pegangan strategic ambiguity (strategi samar) dalam meraih pulangan maksimum. Konsep sama yang dipertaruhkan oleh Washington dalam isu Taiwan sejak tiga dekad lalu membuahkan hasil kepada pulangan cegah rintang dan risiko kos yang akan dikenakan sekiranya
Beijing bertindak agresif. Biden semakin terpanggil untuk keluar daripada strategi ini dan terus menerap konsep direct determination of deterrence (jaminan sokongan dan cegah rintang secara langsung).
Tahun ini juga kritikal bagi Jinping untuk mendapatkan legitimasi rasmi bagi mengekalkan kedudukan sebagai Presiden seumur hidup dalam Kongres Parti Komunis China ke-20. Polisi dan percaturan strategik dalam krisis Ukraine, exit policy bagi pandemik Covid-19 serta rencana Taiwan akan menjadi parameter yang akan membentuk landasan baginya sebagai pemangkin untuk memberi anjakan kepada mantra The Great Rejuvenation dalam mengangkat status dan kesejahteraan China. Korea Utara dan Taiwan akan kekal menjadi lubuk strategi yang dominan dalam rencana strategi Beijing dalam memastikan tindak balas dan reaksi Washington dan pakatan Barat kekal terhimpit. Pegangan lain termasuk Teheran, Islamabad dan Caracas juga akan digunakan Beijing dalam usaha merencat himpunan dasar kolektif Barat untuk terus mengenakan kos kepada Beijing dalam jangka terdekat dengan bijak menggunakan kelebihan di rantau dan zon penampan kritikal bagi kepentingan geopolitik kuasa yang menentang China, khususnya India dan AS.
Washington dan sekutu Barat lain sedar, momentum, kesungguhan serta keupayaan untuk mengambil kesempatan ini untuk menekan hasrat dan unjuran Beijing berada di pihak mereka. Himpitan masa dan desakan kerenggangan dalaman yang dihadapi Jinping sebagai peluang terbaik untuk meneruskan tekanan walaupun menyedari tempias sekatan dan tindak balas terhadap Beijing bakal mengundang lebih kemudaratan kepada alunan ekonomi global dan impak domino terhadap kestabilan ekonomi Barat sendiri.
Walaupun fokus dunia disalurkan terhadap perang Ukraine dan strategi Putin, tahun ini akan diwarnai kelibat percaturan strategi Jinping sendiri dalam mengambil peluang terpampang untuk mengunjurkan dasar serta rencana tersendiri. Unjuran konvensional teori dan norma politik antarabangsa sejak tamatnya Perang Dingin setakat ini membentuk rangkaian dan pameran keteraturan hubungan antara kuasa besar yang dijelmakan sekarang. Namun, tindakan Kremlin terhadap Ukraine dan senario yang menghimpit Beijing akan menjadi pemboleh ubah dan pencetus terhadap lembaran dan wadah geopolitik dan percaturan ketenteraan baharu. – UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pendaftar di Universiti Malaya.










