BAGI saya yang membesar di Kuala Lumpur, hidangan paling istimewa semasa bulan Ramadan tentulah bubur lambuk Kampung Baru khususnya yang dimasak di Masjid Jamek Kampung Baru. Justeru, tidak hairan jika ramai yang sanggup beratur panjang untuk menikmati keenakannya.
Sehingga hari ini, bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru adalah paling lazat bagi saya. Malah, ketika baru belajar berpuasa, ia dijadikan motivasi buat saya cekal menahan lapar sehingga waktu berbuka.
Bubur lambuk begitu sinonim dengan bulan Ramadan. Ramai yang berasa tidak lengkap jika tidak berpeluang menikmatinya sekurang-kurangnya sekali pada setiap Ramadan. Terdapat banyak variasi bubur lambuk, contohnya bubur lambuk Terengganu, Utara dan Johor. Keistimewaan bubur lambuk bukan setakat pada rasanya yang lazat tetapi secara umumnya ia hanya dihidangkan ketika bulan puasa. Hal tersebut menjadikan bubur lambuk sangat istimewa dan kehadirannya sering dinanti-nantikan.
Bubur lambuk asli Terengganu amat berbeza rasanya berbanding variasi Kampung Baru, Johor dan Utara. Rasanya lebih pedas dan dicampur ikan, aneka sayuran, ulaman serta ditambah budu dan belacan. Ketika kecil, jika dihidangkan bubuk lambuk Terengganu, saya kehairanan kerana bagi saya, itu bukanlah bubur lambuk.
Bubur lambuk mempunyai tradisi tersendiri dalam budaya kita. Secara tradisinya, ia dimasak secara gotong-royong oleh masyarakat setempat. Hari memasak bubur lambuk sering ditunggu-tunggu, lebih-lebih lagi oleh kanak-kanak. Jiran tetangga akan membawa bahan-bahan yang diperlukan dan memasaknya bersama-sama menggunakan kawah besar. Setelah masak ia akan diagihkan kepada penduduk sekitar secara percuma.
Tradisi memasak secara bergotong royong dapat mengeratkan silaturahim antara masyarakat. Maka, bubur lambuk sering dikaitkan dengan kebersamaan dan keberkatan.
Kini, walaupun proses memasak bubur lambuk lazimnya tidak lagi melibatkan seluruh masyarakat setempat, namun ia masih diagihkan secara percuma di surau dan masjid.
Hayatilah ketinggian budaya kita. Jangan akibat terlalu sibuk mengejar kemajuan dunia, kita akhirnya bersikap bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).