JUMAAT minggu lalu, saya menyambut kedatangan sekumpulan lagi tetamu daripada Indonesia bagi pihak Pusat Sejahtera untuk Kemampanan dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Kali ini, terdiri daripada 19 orang pelajar daripada Institut Pertanian Bogor (IPB) yang berkunjung ke negara ini bagi menjalani program Kuliah Kerja Nyata (KKN) di sini.
Program KKN ialah program khidmat masyarakat yang wajib diikuti mahasiswa di sesetengah institusi di Indonesia. Lazimnya, program ini dilaksanakan di Indonesia, namun sejak tahun lalu IPB memberi peluang kepada pelajar untuk menjalani KKN di luar negara, bermula di Malaysia dengan kerjasama UIAM yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini.
Sebagai sebuah universiti yang mengangkat nilai insani dan kemanusiaan, UIAM mempunyai kursus Usrah Bertindak, iaitu kursus khidmat masyarakat yang wajib diikuti oleh setiap pelajarnya.
Program ini menggabungkan pelajar daripada pelbagai fakulti berbeza untuk bekerjasama dalam satu projek masyarakat di luar universiti dalam jangka masa yang ditetapkan.
Kedua-dua program ini mempunyai banyak ciri-ciri yang serupa namun, rangka kursus Usrah Bertindak adalah lebih kompleks dan menyeluruh serta meliputi jangka waktu kursus yang lebih lama iaitu setahun atau dua semesta penuh berbanding KKN yang memakan masa hanya beberapa bulan.
Namun begitu, tujuan program-program ini hampir sama termasuk mendedahkan mahasiswa kepada pengalaman sebenar bekerja dalam masyarakat yang melangkaui skop pembelajaran mereka di dewan kuliah.
Sebelum mereka memerlukan projek bagi KKN ini, mereka diberi taklimat ringkas oleh Pusat Sejahtera tentang konsep kemampanan secara holistik dan seterusnya memberi penerangan tentang idea memasyarakatkan universiti, sambil berkongsi pengalaman serta kepakaran kami dalam bidang-bidang berkenaan.
Hal ni penting untuk memastikan mereka bersedia sepenuhnya sebelum turun ke lapangan bagi memulakan projek nanti. Kumpulan pelajar IPB kali ini akan menjalankan projek KKN di salah sebuah lokasi rakan strategik Pusat Sejahtera UIAM di Chow Kit, Kuala Lumpur bagi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik.
Setelah sesi penerangan, mereka dibawa melawat pelbagai projek yang dijalankan UIAM di sekitar kampus termasuk tempat pemeliharaan lebah kelulut, bengkel robotik, tempat perlindungan haiwan, pusat e-sukan dan sebagainya, sambil memperincikan kepada mereka apa yang dimaksudkan dengan kemampanan secara menyeluruh.
Umumnya apabila bercakap tentang kemampanan, ramai yang hanya melihat dan memperkatakan tentang kelestarian alam sekitar sahaja, walaupun kemampanan sebenarnya harus dilihat secara menyeluruh termasuk dalam semua aspek kehidupan. Penekanan tentang kemampanan secara menyeluruh sangat perlu dititikberatkan terutamanya pada zaman kini.
Malangnya, disebabkan pemahaman sempit beginilah, maka ramai yang menganggap perjuangan isu kemampanan sebagai hal yang tidak begitu penting dan tidak perlu diberi perhatian besar berbanding isu-isu lain yang dirasakan lebih mendesak.
Malah, tidak ramai yang memahami isu kemampanan sebenarnya merangkumi soal spiritual, kemanusiaan, budaya dan sebagainya. Ia bukan sekadar berkisar kepada soal menanam pokok dan mengutip sampah. Sebenarnya tidak mudah untuk memahamkan orang ramai tentang ini.

CUBA SESUATU YANG BAHARU
Di UIAM sendiri, ada golongan yang menganggap kursus Usrah Bertindak sebagai tidak penting dan hanya membazirkan masa. Mereka gagal memahami betapa pentingnya mahasiswa mempunyai kemahiran rentas bidang termasuk kemahiran insani dan bukannya menghadkan diri mereka kepada mempelajari kemahiran dalam satu bidang tertentu sahaja.
Dari sudut spiritual, kursus Usrah Bertindak dapat menanam sifat insani dan tawaduk di mana kami bukan sekadar menjalankan projek untuk berkhidmat kepada masyarakat tetapi pada masa sama kami turut belajar ilmu tempatan daripada mereka.
Ini bermakna, bukan hanya projek seperti ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat terpinggir tetapi ia juga dapat memberi banyak pengajaran dan kesedaran. Paling penting, ia mendidik kita agar tidak cuma hidup dalam dunia di sebalik tembok universiti yang terpisah daripada realiti kehidupan sebenarnya.
Bulan lalu, saya berpeluang membuat pembentangan tentang perkara ini di Persidangan EduWiki 2025 di Bogota, Colombia. Antara fokus utama pembentangan ialah mengenai projek Komuniversiti yang dijalankan UIAM dengan kerjasama institusi-institusi lain dari seluruh dunia termasuk Universiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNU).
Walaupun agak mencabar membuat pembentangan dalam jangka waktu yang begitu terhad, namun gembira kerana selepas sesi pembentangan, saya didatangi para hadirin yang ingin berbincang lebih lanjut tentang konsep yang dibentangkan.
Sikap keterbukaan mereka yang jauh lebih berusia, berilmu serta berpengetahuan luas dalam bidang pendidikan menambahkan rasa hormat saya terhadap hadirin berkenaan.
Amat membanggakan lagi kerana walaupun ada suara yang mempertikaikan kepentingan usaha seperti ini, namun ia tetap mendapat perhatian positif di peringkat dunia.
Hari ini kita harus mampu berfikir di luar kotak melangkaui idea konvensional serta bersedia meneroka jalan dengan idea baharu yang lebih segar dan sesuai dengan cabaran dunia pendidikan semasa.
Kita harus berada di hadapan agar mampu bersaing dalam dunia hari ini. Masalah alaf baharu tidak mungkin dapat diselesaikan dengan tuntas jika kita tetap memilih untuk bergantung kepada cara lama.
Ini bermakna kita harus sentiasa berusaha keras agak tidak ketinggalan dan pada waktu yang sama, bersedia berkongsi pengetahuan dengan pihak lain demi kesejahteraan sejagat.
Dalam masa beberapa hari lagi, saya akan menerima lawatan dua lagi kumpulan mahasiswa daripada Indonesia bagi mendalami konsep kemampanan daripada universiti kami.
Hal ini mendorong saya berusaha lebih keras lagi dalam mendalami bidang ini, walaupun ia bukanlah bidang pengajian utama saya di UIAM.
Ilmu itu luas dan kita harus sentiasa bersedia mempelajari sesuatu yang baharu dan bermanfaat kepada kesejahteraan dunia.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










