DALAM budaya masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, konsep kejiranan bukan sekadar tinggal bersebelahan, tetapi mencerminkan ikatan sosial yang erat.
Jiran bukan sahaja menjadi tempat berkongsi lauk-pauk, malah turut memainkan peranan dalam membentuk akhlak dan sahsiah anak-anak di sekeliling.
Malangnya, dalam arus pemodenan dan individualisme yang kian mencengkam, budaya ‘menjaga tepi kain orang’ dianggap usang dan tidak relevan.
Kita mungkin dilabel ‘menyibuk’ jika cuba menegur anak jiran tetangga.
Pada masa lalu, sikap prihatin jiran tetangga terhadap kanak-kanak dan remaja membawa pelbagai kebaikan. Misalnya, ia mewujudkan persekitaran yang selamat dan terkawal. Apabila jiran saling mengambil berat, sebarang tingkah laku yang mencurigakan dapat dikesan dan ditangani awal.
Selain itu, dapat juga membentuk nilai-nilai murni dalam diri anak-anak. Teguran dan nasihat daripada jiran dianggap sebagai tanda kasih sayang, bukan campur tangan.
Budaya berani menegur juga memperkukuh hubungan sosial dalam komuniti. Interaksi yang kerap antara jiran mengeratkan silaturahim dan membina kepercayaan.
Sesungguhnya, ia menyediakan jaringan sokongan sosial yang kukuh. Dalam situasi kecemasan atau kesusahan, jiran adalah individu terdekat yang boleh diharapkan.
Apa yang kini dilabel ‘menjaga tepi kain orang’, sebenarnya memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam mendidik generasi muda. Anak-anak tidak hanya milik ibu bapa mereka tetapi juga tanggungjawab masyarakat.
Namun, perubahan zaman menyaksikan perubahan nilai dan budaya dalam masyarakat. Sikap tidak mahu “menjaga tepi kain orang” akhirnya membawa kesan buruk yang ketara.
Contohnya, peningkatan gejala sosial dalam kalangan remaja. Tanpa pemantauan komuniti, remaja lebih mudah terjebak dalam kegiatan negatif.
Situasi itu juga melemahkan ikatan sosial antara jiran. Kurangnya interaksi dan keprihatinan menjadikan hubungan kejiranan semakin renggang. Secara langsung, mengurangkan rasa empati dan kepedulian dalam masyarakat.
Apabila setiap individu hanya mementingkan diri sendiri, semangat gotong-royong dan tolong-menolong semakin pudar.
Tanpa disedari, sikap tidak ambil tahu tentang jiran tetangga meningkatkan risiko keselamatan dalam komuniti. Ketiadaan pengawasan bersama memudahkan berlakunya jenayah dan salah laku.
Perubahan ini bukan sahaja berlaku di kawasan bandar, tetapi juga di kampung-kampung yang dahulunya terkenal dengan semangat kejiranan yang tinggi.
Peningkatan penggunaan teknologi dan media sosial turut menyumbang kepada jurang komunikasi antara jiran. Anak-anak lebih cenderung berinteraksi dalam dunia maya berbanding dunia nyata, lalu menjadikan mereka kurang peka terhadap persekitaran.
SEMANGAT KEJIRANAN
Untuk mengembalikan semangat kejiranan yang tulen, usaha bersama diperlukan. Paling asas, ibu bapa perlu mendidik anak-anak tentang pentingnya menghormati dan berinteraksi dengan jiran.
Persatuan penduduk boleh menganjurkan aktiviti bersama seperti gotong-royong, kenduri, permainan tradisional, pertandingan bola sepak atau program kemasyarakatan untuk mengeratkan hubungan para penduduk pelbagai kaum.
Cara paling mudah dan paling asas, setiap individu wajar mengambil inisiatif untuk mengenali dan berinteraksi dengan jiran, walaupun hanya dengan senyuman atau sapaan mesra setiap kali berpapasan.
Kita perlu kembali menerima hakikat bahawa budaya ‘menjaga tepi kain orang’ bukanlah satu bentuk pencerobohan, sebaliknya manifestasi kasih sayang dan tanggungjawab sosial.
Dengan menghidupkan semula semangat kejiranan, kita bukan sahaja membina komuniti yang lebih kukuh, malah juga memastikan generasi akan datang membesar dalam persekitaran yang selamat, harmonis dan penuh kasih sayang.
Menegur kesalahan kanak-kanak dan remaja di kawasan kejiranan bukanlah satu bentuk campur tangan negatif, sebaliknya tanggungjawab sosial yang menjunjung nilai kebersamaan.
Namun, pendekatan yang digunakan harus berhikmah dan tidak menimbulkan rasa malu atau penghinaan kepada individu yang ditegur.
Langkah pertama adalah dengan membina hubungan terlebih dahulu. Orang dewasa harus mengenali anak-anak jiran, bercakap secara mesra dengan mereka dan menunjukkan teguran nanti datang dari tempat kasih sayang, bukan kebencian.
Misalnya, jika seorang remaja sering bercakap kasar di kawasan taman permainan, lebih mudah menegur jika wujud jalinan kemesraan yang telah lama terbina.
Pada masa sama, nada suara yang tenang lebih berkesan daripada laungan marah-marah yang hanya menjarakkan hubungan dan membuatkan remaja tadi semakin menjauhkan diri.
Dalam kes-kes lebih serius, contohnya apabila remaja didapati merosakkan harta awam atau terlibat dalam aktiviti berbahaya, orang dewasa boleh menegur secara peribadi terlebih dahulu.
Elakkan menegur di khalayak ramai kerana tindakan itu mungkin menimbulkan rasa malu dan mencetuskan dendam. Teguran yang disampaikan haruslah secara konstruktif dan penuh prihatin.
Bincangkan bagaimana perbuatan kanak-kanak atau remaja itu boleh menyusahkan ibu bapa, merosakkan nama baik keluarga atau memberi kesan kepada orang tua yang tidak bersalah.
Teguran juga boleh dibuat melalui penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan.
Jika ada program gotong-royong, sukan komuniti atau jamuan hari perayaan, orang dewasa boleh menggunakan kesempatan itu untuk membimbing secara tidak langsung.
Langkah mudah seperti melibatkan remaja dalam kerja-kerja sukarela akan membuka ruang untuk mereka bergaul dengan golongan dewasa dan warga tua, mendengar cerita dan belajar daripada pengalaman mereka.
Dalam suasana begini, sebarang teguran terasa lebih seperti nasihat yang tulus dan bukannya kritikan yang menjengkelkan. Kanak-kanak dan remaja akan menyedari mereka sedang dibimbing dengan penuh prihatin dan bukannya asyik ditegur kerana melakukan kesalahan.
Pada masa sama, demi tidak menjadi umpama ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul, orang dewasa perlu layak menjadi contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak dalam kejiranan itu.
Menegur tidak akan berhasil jika perbuatan sendiri bercanggah dengan kata-kata. Misalnya, jika kita suka membuang sampah merata-rata, bagaimana mahu menegur kanak-kanak yang melakukan perkara sama?
Dalam masyarakat yang semakin mencabar ini, kekuatan moral bukan datang daripada kata-kata lantang, sebaliknya daripada perilaku yang konsisten dan ikhlas.
Generasi muda bukannya tidak mahu ditegur, sebaliknya kitalah yang perlu menerima hakikat perubahan zaman dan ‘belajar’ cara-cara baharu untuk menegur dan membimbing mereka.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










