Kenapa Cina tak minat akhbar Melayu?

Kenapa Cina tak minat akhbar Melayu?

TINJAUAN penulis di beberapa gerai mendapati peniaga hanya menyimpan sedikit stok akhbar Melayu berikutan sambutan tidak begitu menggalakkan. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, saya membuat tinjauan tentang sambutan orang Cina terhadap akhbar bahasa kebangsaan di tempat saya. Berdasarkan tinjauan, pembaca Cina lebih banyak membeli akhbar bahasa Inggeris atau bahasa ibunda mereka berbanding akhbar bahasa Melayu.

Beberapa gerai yang saya kunjungi, pemiliknya menyimpan sedikit stok akhbar Melayu setiap hari kerana sambutan tidak begitu menggalakkan, kata mereka. Penyokong utama akhbar Melayu masih orang Melayu sendiri. Hanya segelintir orang Cina yang membeli akhbar bahasa Melayu dan dilaporkan kebanyakan mereka pelajar sekolah.

Ekoran itu, saya menemu ramah beberapa orang pemerhati budaya keturunan Cina tentang isu tersebut. Chong Yong Sin, penerbit buku Gerak Budaya berpendapat bahawa orang Cina kurang berminat membaca akhbar Melayu kerana tidak banyak liputan berita mengenai masyarakat Cina. Tan Ah Chai, seorang penggiat warisan kebudayaan pula berkata, masyarakat Cina mempunyai tanggapan bahawa akhbar Melayu terlalu prokerajaan, maka kandungan beritanya mungkin berat sebelah dan kurang diyakini.

Ah Chai agak optimistik dengan masa depan akhbar bahasa kebangsaan. Beliau berpendapat, bahasa pengantar tidak menjadi isu sama sekali. Selagi akhbar Melayu berupaya menjadi penyampai ilmu dan budaya yang holistik serta boleh berfungsi sebagai lidah untuk semua, maka ia tentu akan disambut baik oleh segenap lapisan termasuk masyarakat Cina.

Mungkin terdapat banyak lagi alasan orang Cina kurang berminat membaca akhbar Melayu selama ini. Mereka lebih selesa dengan akhbar dalam bahasa ibunda atau bahasa Inggeris.

Mengikut kajian pemasaran AC Nielsen beberapa tahun lepas, akhbar Sin Chew menduduki tempat pertama dengan jualan kira-kira 400,000 naskhah setiap hari, mengatasi semua akhbar tempatan yang lain.

Ooi Hooi Chong, seorang pengkaji akhbar Cina menganggarkan dalam 10 orang Cina di Malaysia, empat membaca akhbar Cina setiap hari. Kaum Cina cenderung mengikuti perkembangan berita tempatan dan dunia. Akhbar bercetak juga merupakan sumber pengetahuan dan hiburan terpenting bagi kaum Cina.

Mengikut kajian Hooi Chong, jumlah edaran harian semua akhbar bahasa Inggeris sekitar 400,000 hingga 500,000 naskhah. Dalam 10 orang pembaca akhbar Inggeris, dianggarkan lima orang Cina. Orang Cina yang membaca akhbar Melayu mempunyai bilangan yang lebih kecil, barangkali kerana tabiat membaca mereka berbeza dengan komuniti lain.

Namun, sesungguhnya orang Cina kini membaca surat khabar lebih daripada satu bahasa. Ramai pembaca Cina gemar membaca akhbar Cina dan akhbar Inggeris, malah sesetengahnya turut membaca akhbar Melayu. Trend pembacaan yang menarik ini adalah hasil daripada pendidikan bilingual yang lebih meluas dan berkesan sejak kemerdekaan negara.

Bagaimanapun, tetap ada segolongan besar orang Cina yang membaca akhbar Melayu setiap hari. Mereka ini berada dalam sektor yang berkait rapat dengan perkembangan masyarakat Melayu, cita rasa serta kecenderungan ekonomi Melayu. Maka tidak hairanlah akhbar Melayu merupakan sumber pencarian maklumat utama bagi golongan ini.

JAWI

Apabila timbul keperluan dan keinginan, kaum Cina tentu akan mendekati akhbar Melayu dengan rela hati. Kawan saya, penulis dan wartawan, Yap Ki Seing mempelajari bahasa Melayu sendiri sepanjang 1960-an. Pada masa itu, dia berkebolehan membaca Utusan Melayu yang diterbitkan dalam tulisan Jawi.

Sewaktu masih di bangku sekolah pada 1980-an, saya dan rakan-rakan sebaya banyak menatap akhbar Utusan Malaysia sebagai sumber ilmu dan media membaiki tahap penguasaan bahasa Melayu bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Dr. Ding Choo Ming berkongsi strategi berkesan mempelajari bahasa Melayu. Beliau tekun membaca akhbar Melayu sejak sekolah menengah. Beliau juga rajin menyemak maksud sesuatu istilah yang asing baginya. Beliau turut giat mengarang untuk akhbar demi memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan yang dipelajarinya.

Bukan itu sahaja, Choo Ming juga mendengar siaran radio RTM saban hari untuk meningkatkan kemahiran pertuturan dan penyampaian lisan dalam bahasa kebangsaan.

Menurutnya, usaha-usaha seumpama itu banyak berhasil sehingga beliau dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah (Phd) dalam bidang bahasa Melayu.

Cadangan Choo Ming itu amat bermanfaat dan boleh dijadikan pedoman bagi para pelajar bukan Melayu dalam usaha memantapkan mutu pembelajaran bahasa kebangsaan mereka.

Dalam pada itu, setiap tahun, 90 peratus daripada pelajar-pelajar sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) memilih untuk meneruskan pelajaran ke sekolah menengah kebangsaan. Ini merupakan satu pilihan dan hala tuju yang merangsang ke arah pembentukan generasi warganegara yang lebih cenderung kepada persefahaman dan bermuafakat dalam dunia pekerjaan kelak.

Oleh yang demikian, kita perlu berikhtiar untuk menambah minat golongan pelajar ini agar lebih banyak membaca akhbar bahasa kebangsaan, seterusnya membolehkan mereka menikmati segala kebaikan ekoran daripada penguasaan bahasa Melayu yang lebih mantap.

Tak kenal maka tak cinta. Saya yakin para pelajar bukan Melayu pasti akan lebih mencintai bahasa kebangsaan apabila mereka semakin fasih bertutur dan berkebolehan berkomunikasi dengan orang lain dalam bahasa Melayu.

Penulis dan pekamus dwibahasa, Dr. Lai Choy menyarankan guru sekolah Cina dan ibu bapa harus memberi dorongan kuat kepada pelajar dan anak mereka agar lebih banyak membaca akhbar bahasa Melayu.

Pada masa sama, penerbit akhbar Melayu boleh memuatkan lebih banyak berita mengenai masyarakat bukan Melayu dalam liputan berita dan kandungan agar dapat mencorakkan kepelbagaian budaya Malaysia dan betul-betul mencerminkan semangat permuafakatan dalam kalangan masyarakat. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Pengajian Media di Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×