Jangan sampai pokai selepas raya

Jangan sampai pokai selepas raya

DALAM bulan Ramadan, antara perbelanjaan yang perlu kita awasi dan kawal ialah pembaziran makanan ketika berbuka puasa. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBUTAN Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini lebih meriah setelah dua tahun kita terpaksa menyambutnya dalam suasana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagaimanapun, masyarakat perlu bijak merancang perbelanjaan agar tidak menghadapi masalah kewangan selepas berakhirnya musim perayaan nanti.

Walaupun sangat teruja tetapi jangan sesekali terlalu ghairah berbelanja sehingga memudaratkan kehidupan kita kelak. Hal ini sangat penting kerana kita khuatir masyarakat leka dan boros berbelanja menghabiskan semua pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibenarkan sehingga RM10,000 serta pembayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang disediakan oleh kerajaan untuk meringankan beban kewangan rakyat.

Harus diingat, kebenaran pengeluaran KWSP serta pemberian BKM adalah untuk membantu rakyat meneruskan kehidupan tatkala ekonomi belum pulih sepenuhnya serta kita sedang berhadapan dengan masalah kenaikan kos sara hidup yang tinggi. Jadi, wang tunai yang diperoleh ini perlu diuruskan dengan bijak supaya dapat membantu kita meneruskan kelangsungan kehidupan untuk suatu tempoh lebih panjang.

Dalam bulan Ramadan, antara perbelanjaan yang perlu kita awasi dan kawal ialah pembaziran makanan ketika berbuka puasa. Akibat kenaikan harga barangan yang kelihatan semakin sukar dikawal, harga juadah di bazar Ramadan serta bufet di hotel atau restoran mula naik mendadak. Misalnya, harga bufet Ramadan di hotel dilaporkan mengalami kenaikan sekitar 20 peratus disebabkan beberapa faktor termasuk kenaikan harga bahan mentah selain bagi menyerap kos operasi hotel yang semakin meningkat selepas ditutup begitu lama ketika PKP.

Di samping itu, kenaikan harga bahan mentah termasuk ayam, tepung gandum serta bawang merah dan bawang putih pula menyebabkan harga makanan di bazar Ramadan juga naik antara 20 hingga 30 peratus bagi menampung kos peningkatan harga bahan mentah dan sewa tapak daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

NAFSU

Jadi, dalam situasi seperti ini, kita sebagai pengguna perlu bijak membuat pilihan bersandarkan kepada aspek keperluan dan bukannya kehendak yang selalu dipengaruhi nafsu dan emosi yang sukar dikawal. Misalnya, jika kurang berkemampuan, tidak perlulah berbuka puasa di hotel dengan harga cukup tinggi serta menyumbang kepada pembaziran makanan. Walaupun seronok berbuka bersama keluarga di hotel, namun pada ketika situasi dan kedudukan ekonomi yang cukup mencabar seperti sekarang, eloklah ukur baju di badan sendiri. Ringkasnya, buat masa sekarang, kawal diri daripada memenuhi nafsu dan kehendak yang membazir seperti itu.

Pembelian juadah di bazar Ramadan juga perlu dikawal dan hanya beli apa yang diperlukan lebih-lebih lagi ketika harga sedang melambung naik. Ironinya, sebelum ini sudah banyak kali didedahkan pembaziran makanan di negara ini terutama yang berlaku ketika bulan Ramadan. Pihak berkuasa pernah melaporkan, setiap hari sejumlah 17,000 tan sisa makanan yang boleh mengisi perut tiga juta rakyat telah dilupuskan dan daripada jumlah tersebut, 4,080 tan merupakan makanan yang dibazirkan dan jumlah tersebut meningkat 10 peratus pada bulan Ramadan.

BALIK KAMPUNG

Jelas di sini, masyarakat banyak menghabiskan duit untuk tujuan pembelian makanan ketika bulan Ramadan. Jadi, jika tabiat suka membeli ikut kehendak dan membazir masih berterusan, maka kemungkinan besar majoriti akan berhadapan masalah kewangan yang serius selepas bulan Ramadan.

Di samping itu, perbelanjaan persediaan menyambut hari raya juga perlu dikawal dan berhemat. Walaupun tahun ini akan kembali meriah terutamanya bila dibenarkan aktiviti rentas negeri, balik kampung dan ziarah, namun itu bukan alasan untuk kita membazir dan berbelanja sakan sehingga memudaratkan status kewangan kita kelak.

Misalnya, tiada keperluan untuk kita menukar segala peralatan rumah seperti langsir, sofa dan kelengkapan rumah yang lain hanya atas sebab menyambut hari raya sebaliknya jika masih elok, wajar terus digunakan. Ingat, tiada keperluan untuk menunjuk-nunjuk atau mahu bermegah-megah pada waktu yang cukup genting seperti sekarang. Ringkasnya, jangan sesekali ada budaya biar papa asal bergaya sebaliknya ingatlah sebelum kena, berjimat sebelum habis.

Harus diingat, musim perayaan tidak boleh dijadikan alasan atau lesen besar untuk kita berbelanja sakan dan boros sehingga lupa keperluan kewangan selepas perayaan.

Justeru, kita perlu bijak merancang dari awal Ramadan agar tidak menyesal selepas hari raya kelak. Antara tips mudah untuk elak pembaziran makanan yang boleh kita amalkan ialah jika berkesempatan, seeloknya masak dan berbuka di rumah tetapi jika terpaksa beli, maka berbincanglah dengan ahli keluarga dan hanya beli apa yang diperlukan oleh setiap orang.

Begitu juga dengan persiapan hari raya kelak, buatlah senarai keperluan serta tetapkan bajet dan tentukan had maksimum ataupun jumlah perbelanjaan dan ia perlu berpaksikan kepada pendapatan isi rumah dan kemampuan masing-masing. Elak merancang perbelanjaan melebihi pendapatan ataupun terpaksa menghabiskan segala simpanan yang ada.

Satu lagi tips penting ialah jangan mudah terpedaya dengan jualan promosi, jualan murah mahupun potongan harga. Selidik dahulu sama ada betul atau tidak tawaran promosi tersebut dan adakah ia benar-benar menguntungkan dan tidak sekadar mengaburi mata pembeli.

Sepatutnya bulan Ramadan mengajar dan mendidik kita untuk menjadi lebih rasional, bersederhana, insaf dan bertimbang rasa. Jadi, buktikan kita dapat menjiwai dan menghayati pengajaran Ramadan. Jangan menjelang raya kita lupa habis segala didikan tersebut sehingga terus boros dan membazir dalam keghairahan menyambut Hari Raya Aidilfitri. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya