Impak besar lawatan ke Qatar, UAE, Indonesia

Impak besar lawatan ke Qatar, UAE, Indonesia

ISMAIL Sabri Yaakob ketika mengadakan lawatan rasmi pertama beliau ke Qatar dari 27 hingga 29 Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERDANA Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi selamat berkunjung ke luar negara, minggu lalu. Ia merangkumi lawatan rasmi pertama beliau ke Qatar (27-29 Mac) dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) (29-31 Mac). Seterusnya lawatan rasmi kedua beliau ke Indonesia pada 1 April.

Qatar merupakan rakan Malaysia penting di rantau Asia Barat. Kedua-dua negara bekerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan termasuk perdagangan, pelaburan, pelancongan, kesihatan, Covid-19, pendidikan dan pertahanan.

Semasa majlis menghadap Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, PM dan Amir Qatar bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan dua hala Malaysia-Qatar yang telah terjalin selama 48 tahun sejak 1974.

Dalam usaha untuk meningkatkan kerjasama, kedua-dua pihak menyatakan kesediaan untuk mengaktifkan pelaksanaan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi (HLJC) yang pertama dalam masa terdekat.

Dari segi kerjasama pascapandemik, kedua-dua negara memberi kemudahan vaksinasi Covid-19 secara percuma kepada rakyat Qatar di Malaysia dan rakyat Malaysia di Qatar. Kita juga bersetuju untuk mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 masing-masing selain bersetuju untuk mengintegrasi aplikasi EhTeRaz (Qatar) dan MySejahtera (Malaysia).

Dari segi kerjasama ekonomi, Malaysia berterima kasih kepada kerajaan Qatar kerana terus memberi peluang kepada pelabur dan syarikat kita untuk terlibat dalam projek pembangunan di sini. Setakat ini, 14 syarikat pembinaan Malaysia berjaya menyempurnakan 59 projek bernilai RM16.87 bilion di Qatar.

Malaysia juga berterima kasih kerana Qatar memilih Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan di Asia Tenggara, khususnya projek hartanah dan sektor perkhidmatan.

Sehingga hari ini, nilai pelaburan Qatar di Malaysia melebihi RM13.49 bilion.

Kedua-dua pihak akan mengadakan perbincangan lanjut untuk menentukan sasaran pelaburan yang ingin dicapai dalam masa dua tahun.

Mengambil kira pembukaan sempadan kedua-dua negara dan fasa peralihan ke endemik, PM percaya Malaysia dan Qatar perlu mengambil peluang untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang khususnya industri halal, makanan, perbankan Islam, tenaga boleh baharu serta minyak dan gas.

Dalam usaha kerajaan untuk memperkukuhkan kerjasama sebagai rakan pelaburan serta perdagangan, PM mengadakan lawatan ke Ladang Lembu dan Kilang Pengeluaran Tenusu Baladna yang menjalin memorandum kerjasama (MoC) dan menjadi rakan kongsi Felda Global Ventures (FGV) dan Felcra dalam projek usahasama ladang tenusu berskala besar di Malaysia.

Kerjasama strategik antara Baladna, FGV dan Felcra melibatkan pelaburan sebanyak RM2.1 bilion bagi pembangunan projek tenusu berskala besar di Lembah Chuping, Perlis. Baladna bersetuju untuk menambah lagi pelaburan sebanyak RM2.1 bilion bagi pembangunan projek tenusu di Pahang.

RUMAH MAMPU MILIK

PM juga melawat ladang kumpulan syarikat Agrico Qatar yang menjalankan pertanian organik di Qatar di mana beliau menerima surat komitmen untuk pelaburan berjumlah RM1.51 bilion daripada Agrico Qatar.

Agrico mengemukakan cadangan antara lain untuk menubuhkan kilang penapisan minyak sawit di Malaysia untuk dieksport ke Qatar, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab pengedaran minyak sawit ke rantau Timur Tengah dan Afrika Utara; membina kilang pemprosesan sisa sawit dan sisa organik lain bagi menjadikan makanan haiwan ternakan serta mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian.

Perbadanan PR1MA Malaysia pula mengadakan perbincangan bersama Qatar Investment Authority (QIA). PR1MA mengemukakan cadangan pelaburan strategik bernilai RM8.1 bilion. Kerajaan Qatar menyatakan persetujuan untuk QIA berbincang secara lanjut dengan PR1MA untuk meneroka peluang-pelaburan pelaburan di Malaysia, khususnya dalam menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk Keluarga Malaysia. Ini selaras dengan sasaran kerajaan untuk membina 500,000 unit rumah mampu milik.

Di UAE pula, PM mengunjungi Ekspo 2020 Dubai. PM gembira kerana Malaysia melebihi sasaran potensi nilai perdagangan, pelaburan dan business leads berjumlah RM70 bilion secara keseluruhan bagi 26 program mingguan kita di Ekspo 2020 Dubai.

Sebelum penyertaan di ekspo, Malaysia menetapkan sasaran untuk mencapai antara RM8 bilion hingga RM10 bilion bagi potensi peluang perdagangan dan pelaburan sepanjang enam bulan ini berasaskan pencapaian Malaysia di Ekspo Astana, Kazakhstan pada 2017.

Nilai ini diperoleh melalui 131 memorandum persefahaman (MoU) atau perjanjian perkongsian dan pertanyaan perniagaan melibatkan 4,558 mesyuarat termasuk potensi padanan perniagaan.

Ekspo 2020 Dubai ini membuktikan komitmen kerajaan membantu, menyokong dan memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Kerajaan menanggung kos yuran penyertaan semua PKS di Ekspo 2020 Dubai bagi memberi mereka peluang mengembangkan perniagaan dan meneroka peluang-peluang baharu di luar negara.

Akhirnya, di Indonesia, PM menyaksikan MoU di antara kerajaan Malaysia dan Republik Indonesia berhubung Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI).

MOU PDI ini mengandungi empat elemen utama. Pertama, akan menggunakan hanya satu saluran tunggal kemasukan PDI.

Kedua, akan menggunakan konsep One Maid One House, iaitu satu PDI berkhidmat untuk maksimum enam orang isi rumah dewasa tidak termasuk penjagaan bayi atau warga emas. Buat masa ini, kos ditetapkan pada kadar maksimum RM15,000.

Keempat, gaji permulaan PDI sebanyak RM1,500, iaitu bersamaan dengan kadar gaji minimum semasa negara.

Seperti dinyatakan oleh PM, pemeteraian MoU ini merupakan satu detik besar dan penting kerana ia merupakan komitmen berterusan pemerintah Malaysia dan Indonesia untuk memberi manfaat besar dan berpanjangan kepada rakyat kedua-dua negara.

MoU ini akan memastikan segala proses pengambilan dan mekanisme perlindungan PDI dilaksanakan secara komprehensif oleh pihak-pihak berkaitan mengikut dasar dan perundangan di kedua-dua negara.

Demikianlah besarnya impak lawatan PM ke Qatar, UAE dan Indonesia kali ini. – UTUSAN

DATUK Nor Nazimah Hashim ialah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya