Berkat penguasaan pelbagai bahasa

Berkat penguasaan pelbagai bahasa

PENULIS (baris akhir, tiga dari kiri) bersama guru-guru dan rakan-rakan semasa belajar di SJKC Kahang di Johor pada 1975.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA amat teruja setiap kali menonton berita Mandarin yang disampaikan oleh Rasyidah Abu Johan di RTM2 pukul 7 malam. Sebutan Mandarin beliau sempurna dan gaya persembahannya sungguh menarik.

Beberapa artis Melayu seperti Shila Amzah dan Firdhaus Farmizi mencipta nama mereka di China. Lagu-lagu Mandarin nyanyian mereka mendapat sambutan daripada peminat-peminat muzik negara itu. Sesungguhnya, kejayaan artis-artis kita di China telah menaikkan nama Malaysia di persada dunia. Kini, artis-artis tempatan semakin yakin bahawa selagi sanggup berusaha, maka tidak mustahil bagi mereka mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, bangsa asing juga amat kagum dengan kebolehan orang Malaysia bertutur dalam banyak bahasa. Misalnya, rakyat Malaysia keturunan Cina selain boleh menguasai bahasa ibunda, mereka juga fasih bertutur dialek Hokkien, Kantonis, Hakka dan sebagainya.

Bagi kebanyakan orang, kemampuan seseorang menguasai pelbagai bahasa merupakan suatu kebolehan luar biasa. Mereka terkejut melihat orang Malaysia sekejap bertutur bahasa Inggeris, tiba-tiba pula bertukar kepada bahasa Melayu secara spontan. Sesungguhnya penguasaan pelbagai bahasa merupakan suatu keunikan dan kelebihan rakyat Malaysia yang hidup dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum, budaya, bahasa dan agama.

Setiap bahasa sesungguhnya mempunyai nilai ekonomi tersendiri. Lebih banyak bahasa dikuasai, seseorang itu akan memiliki daya saing tinggi dan sumber ekonomi yang jauh lebih tinggi berbanding orang lain. Namun begitu, sama ada seseorang rela mengambil kesempatan untuk mempelajari sebanyak mungkin bahasa, itu terpulang kepada pilihan dan minat masing-masing.

Bagaimanapun, sesetengah kaum Cina di negara ini didapati masih tidak menguasai bahasa kebangsaan pada tahap sewajarnya. Bagi saya, permasalahan ini timbul barangkali disebabkan persekitaran pembelajaran bahasa.

Ambil pengalaman saya sebagai contoh. Saya dibesarkan di sebuah pekan kecil yang penduduknya majoriti kaum Cina. Waktu saya di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), walaupun mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris ditawarkan di sekolah, akan tetapi ramai murid termasuk saya tidak menunjukkan minat dan kesungguhan tinggi dalam mempelajari bahasa Melayu.

Saya amat risau apabila masuk ke sekolah menengah kebangsaan (SMK) kerana tidak berupaya memahami sepenuhnya bahasa Melayu yang dipertuturkan oleh guru-guru. Ketika itu, semua mata pelajaran diajar dalam bahasa Melayu kecuali Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. Saya menyesal kerana tidak mengikuti subjek Bahasa Malaysia dengan bersungguh-sungguh semasa di sekolah rendah dahulu.

Namun di SMK, suasana pembelajaran bahasa kebangsaan lebih menggalakkan. Tiada alasan bagi pelajar bukan Melayu tidak mampu dan tidak mahu menguasai bahasa Melayu. Tambahan pula, peluang berkawan dan bergaul dengan murid bukan Cina terbuka luas di SMK.

SEGAN

Sehingga kini, saya masih ingat beberapa nama rakan sekelas dan wajah mereka sering terlintas dalam memori. Sesungguhnya, pergaulan pertama saya dengan kaum lain di SMK merupakan satu pengalaman baharu yang sangat menceriakan hati. Saya memberanikan diri untuk bertutur bahasa kebangsaan tanpa rasa segan dan tidak takut membuat kesilapan semasa membuka mulut.

Kamus dwibahasa bahasa Melayu-Cina sentiasa dijadikan pedoman. Saya tekun mencari makna setiap perkataan yang asing dan membuat nota. Saya mula membaca surat khabar dan mengikuti siaran radio dalam bahasa Melayu. Berita sukan dan hiburan sering menjadi fokus bacaan saya.

Saya juga mula berminat dengan lagu-lagu Melayu dan mengenali penyanyi-penyanyi pop Melayu pada zaman itu seperti Sudirman, Jamal Abdillah, Sharifah Aini, Noorkumalasari, serta penyanyi-penyanyi Singapura, Anita Sarawak, Halil Chik dan Rahimah Rahim.

Kemahiran bahasa Melayu saya terus bertambah baik. Akhirnya, saya berjaya menyambung pelajaran ke Universiti Malaya.

Saya berkecimpung dalam dunia pekerjaan selama 34 tahun di ibu kota. Saya mendapati bahasa Melayu sangat membantu dalam kerjaya. Oleh sebab khalayak Melayu ialah sasaran pasaran terpenting bagi perniagaan kami dan tenaga kerja Melayu merupakan kumpulan input terbesar, maka bahasa Melayu tetap penting sebagai bahasa perantaraan efektif bagi masyarakat Malaysia.

Disebabkan globalisasi semakin dekat, generasi muda perlu berinteraksi dengan dunia luar. Dalam hubungan ini, bahasa Inggeris bertambah penting sebagai bahasa komunikasi semasa berhubung dengan dunia luar. Hanyu (bahasa Cina) juga menampakkan peningkatan kepentingan dan statusnya.

Kini, peniaga-peniaga Melayu sanggup berkomunikasi dalam Mandarin dengan fasihnya semasa berurus niaga dengan pembekal-pembekal di Guangzhou dan Yiwu, China. Banyak peniaga Melayu yang menguruskan perniagaan dalam talian telah melestarikan perniagaan mereka menerusi pembekal-pembekal barangan dari China.

Kini di bandar-bandar, penyambut tetamu keturunan Melayu di sektor swasta sering mengucapkan ni hao (apa khabar dalam Mandarin) dan zai jian (jumpa lagi) kepada pengunjung ke pejabat mereka.

Usaha kerajaan memperkasakan bahasa Melayu memang amat dialu-alukan. Namun, bagi saya, dasar ini sama sekali tidak menyekat peluang dan keinginan rakyat daripada menguasai bahasa lain. Dan sesungguhnya pembelajaran bahasa lain boleh dilakukan serentak.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Rakyat Malaysia selain menunjukkan kesungguhan dalam mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi paling utama, kita wajar menaruh minat untuk menguasai bahasa-bahasa lain. – UTUSAN

PENULIS ialah bekas pengarah eksekutif dalam bidang pemasaran selama 34 tahun. Kini menjadi perunding pemasaran bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN