“WAKTU bagi orang Islam adalah sesuatu yang harus dipertanggungjawabkan.” – Buya Hamka.
Meskipun berkurun lama negara ini dibentuk dalam acuan budaya, adat, adab dan agama, namun tetap tidak bebas daripada pukulan kuat arus pascamodenisme yang langsung melihat nilai ketimuran diterap sebati dalam diri setiap warganegara semakin dikikis ruang waktu. Amatlah malang sekali kerana moraliti sudah pun dipasakkan dalam jati diri Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.
Jika dahulu akhlak atau moraliti diletakkan sebagai kayu ukur utama dalam setiap perilaku masyarakat Timur, tetapi kini adab tidak lagi dilihat penting. Malah, akhlak hanya didikan kosong yang diajar secara ritual di kelas-kelas agama atau pendidikan sivik.
Moraliti yang ada dalam masyarakat kita hanyalah bualan dan ritual kosong tanpa roh. Maka, tidak pelik untuk kita melihat saban hari ada sahaja kelakuan kebinatangan yang dipamerkan secara jelas di khalayak awam. Walaupun terasa jelik tetapi masyarakat sekeliling tidak ada kuasa untuk menegur apatah lagi menghentikan perbuatan melanggar batas adab yang berlaku di depan mata. Ada yang sanggup bermaki-makian, berpukulan bahkan berbunuhan di tempat umum. Ada pula yang menari keranjingan, mendedahkan segala bentuk aib hinggakan bertelanjang bulat untuk tatapan awam.
Hanya untuk rasa bangga sedetik cuma, ramai yang meninggalkan sifat malu. Memandangkan sifat malu sudah lama hilang dalam diri, yang tua tak sedar kubur memanggil, yang muda langsung terlupa ajal bukan boleh ditunda-tunda. Masyarakat dalam dunia pascamodenisme hanya menyembah nafsu dan naluri.
Untung sahaja sempena bulan mulia ini, amalan berpuasa yang mengikat majoriti warganegara Malaysia mengingatkan masyarakat kita tentang batasan yang masih ada.
Maka sekali lagi pelbagai jenis nasihat tentang adab dan akhlak dilaung-laungkan oleh para penceramah agama baik di dada akhbar, kaca televisyen mahupun corong pembesar suara di surau dan masjid. Sidang pembaca, para penonton dan ahli kariah yang sudi menerima mesej yang disampaikan pula terangguk-angguk mengiyakan nasihat yang dititipkan sebelum akhirnya dilupakan sama sekali.
Masyarakat kita sudah tenat dek hilang sudah rasa malu yang menjadi tirai memelihara kesucian didikan agama dan benteng kepada akhlak. Bila masyarakat tidak berasa segok melakukan onar, yang tinggal untuk memastikan masyarakat tidak terus berkelakuan seperti binatang hanyalah kekangan undang-undang. Hanya undang-undang dilihat mampu mendidik rakyat untuk kenal dengan acuan budaya, adat dan adab yang luntur dek zaman.
LIBERAL
Jadi, awal minggu lalu penuh di dada akhbar melaporkan petikan berita peringatan denda yang akan menanti mereka yang enggan berpuasa. Secara peribadi, saya berasa amat janggal sekali apabila dibaca Timbalan Ketua Menteri dari negeri yang dilihat paling liberal di negara ini menguar-uarkan tentang peruntukan di bawah Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah negeri yang membenarkan denda dan penjara untuk mereka yang tidak berpuasa.
Dikatakan tujuan peringatan bagi manifestasi kesungguhan pentadbiran Islam negeri itu untuk mengajak umat Islam agar sama-sama memuliakan bulan suci. Jelas menunjukkan kegusaran orang ramai bahawa tanpa amaran denda dan penjara, bulan suci tidak mampu dimartabatkan.
Sedih dan perit untuk ditelan, namun itulah realiti masa kini. Jika tidak, mustahil untuk rangkaian teledrama 16 Puasa, karya penerbit tersohor Mamat Khalid mendapat sambutan ramai. Sedangkan model untuk rangkaian teledrama ini adalah mesej yang sangat mudah dipertontonkan – pesanan untuk memelihara puasa dan menjaga kesucian bulan Ramadan.
Benar, mesej ini mudah namun payah diterapkan kepada masyarakat.
Di bawah Seksyen Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) misalnya, menjadikan kesalahan bagi umat Islam untuk tidak menghormati Ramadan. Perlakuan ini termasuklah mana-mana orang yang menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap.
Selain itu, mengikat juga mana-mana orang Islam yang secara terbuka didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya. Kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta 559 boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Untuk mendidik lagi, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, mana-mana orang yang melanggar peruntukan ini boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Jadi, persoalan saya untuk mereka yang sudah hilang rasa segan silu dengan moraliti dan agama masyarakat kita – apa khabar geng plastik hitam tahun ini? – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Undang-undang & Hak Asasi Pertubuhan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq); dan Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa).










