Polemik negara Islam, negara sekular

Polemik negara Islam, negara sekular

PERKARA 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan Malaysia. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU sama ada Malaysia sebuah negara Islam sering dipolemikkan. Pihak-pihak yang berkepentingan bertindak memecah-belahkan rakyat dengan menimbulkan ketakutan dan mengatakan Malaysia itu hanya akan menjadi kerajaan Islam jika mengikut acuan fahaman mereka.

Malah mereka mengatakan sesiapa yang menentang fahaman ini kononnya menentang Islam itu sendiri. Istilah ‘kerajaan Islam’ itu digunakan bagai pedang yang tajam bagi memperkasakan Islam.

Ada pula yang menimbulkan isu Malaysia adalah negara sekular semata-mata. Sebarang perubahan kepada aspek sekular ini akan membawa Malaysia ke arah fahaman Islam yang militan dan ekstremis.

Perkataan ‘kerajaan Islam’ diolah bagai pedang tajam bakal menjadi senjata pihak pelampau.

Kedua-dua pendapat ini adalah pandangan yang buta sejarah dan dangkal kepada keunikan sistem kerajaan dan keistimewaan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebetulnya ada dua perkara utama yang menggambarkan kerajaan Malaysia, yakni sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Demokrasi berparlimen telah dibincangkan pada artikel sebelum ini, maka fokus penulisan ini ditekankan kepada raja berperlembagaan. Sistem raja di Malaysia merangkumi Yang di-Pertuan Agong di peringkat Persekutuan sebagai Ketua Utama Negara dan raja-raja di peringkat ketua-ketua negeri. Berperlembagaan pula bermaksud sistem raja dibentuk dan diikat oleh Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi diguna pakai di dalam negara.

Sebarang perbincangan mengenai aspek negara ini haruslah berlandaskan kanta raja berperlembagaan dan berdasarkan kanta ini, isu sama ada Malaysia sebuah negara sekular atau negara Islam adalah tidak relevan.

Menelusuri sejarah, Islam sentiasa menggunapakai ciri kerajaan sedia ada sebelumnya dalam mengurus dan mentadbir negara di bawah jajahannya. Ini termasuk sistem suku, khalifah, kesultanan dan republik.

Di Malaysia, penggunaan sistem raja berperlembagaan adalah selari dan konsisten dengan sejarah, lebih-lebih lagi dimeterai dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan Malaysia di mana Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja menjadi Ketua Agama Islam dengan dinasihati oleh Majlis Agama.

Dalam sejarah kenegaraan Islam, istilah ‘negara Islam’ tidak wujud. Istilah ini hanya muncul pada abad ke-20 dengan kebangkitan negara bangsa moden di dunia Islam.

Boleh dikatakan semenjak zaman Nabi Muhammad hingga sekarang, wujud pelbagai jenis kerajaan Islam seperti kerajaan kabilah pelbagai suku di Madinah, kerajaan Khalifa di zaman sahabat Rasulullah SAW, kesultanan-kesultanan Islam dan republik.

AL-QURAN

Sistem kerajaan Islam pelbagai jenis ini mempunyai satu persamaan, iaitu undang-undang Islam berdasarkan al-Quran dan ajaran Nabi Muhammad beserta ulama-ulama diterapkan dalam sistem pentadbiran kerajaan tersebut. Persamaan ini turut dikongsi dengan kerajaan raja perlembagaan di Malaysia.

Islam sebagai sebahagian daripada pentadbiran negeri wujud bersama undang-undang Inggeris dan undang-undang adat Melayu. Dalam pengertian ini, kerajaan Islam di Malaysia adalah tidak kurang Islam daripada mana-mana negara Islam lain yang pernah wujud dalam sejarah. Malahan melalui Perkara 63(5) Perlembagaan Persekutuan di mana ahli Parlimen diharamkan daripada menganjurkan atau mencadangkan pemansuhan institusi raja dalam apa juga prosiding Parlimen, melindungi institusi raja berperlembagaan dan sekali gus menjadi perisai utuh kepada keabsahan kedudukan Islam di dalam kerajaan kerana dilindungi oleh institusi raja itu sendiri.

Hujahan Malaysia adalah sebuah negara sekular pula mungkin mempunyai merit bagi memastikan sistem demokrasi total dengan kuasa rakyat. Namun, sejarah pernah membuktikan di serata dunia bahawa sistem demokrasi terdedah kepada salah guna kuasa dan korupsi serta pemerintahan diktator akibat daripada pemusatan kuasa yang mudah dibuat dengan memanipulasi pendapat awam. Sebagai contoh, demokrasilah yang memilih Hitler dalam pilihan raya negara Jerman sebagai pemimpin mereka pada awal abad ke-20. Demokrasi juga memilih Slobodan Milosevic sebagai presiden yang menghasut majoriti rakyat Yugoslavia berbangsa Serbia untuk membunuh etnik minoriti Bosnia dalam penghapusan etnik pada awal 1990-an. Dan demokrasi juga yang tidak mampu untuk menghalang pembunuhan etnik beramai-ramai di Rwanda pada 1994.

Jelas demokrasi adalah tidak sempurna dan ini perlu disemak imbang.

Institusi raja berperlembagaan itu bukan sahaja mampu menjadi pengimbang kepada kecenderungan pemusatan kuasa sistem demokrasi malah konsep tersebut mengiktiraf Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu mempunyai prerogatif dalam keadaan tertentu untuk membuat keputusan tanpa mengikut nasihat kerajaan atau berdasarkan pendapat atau kemahuan Seri Paduka sendiri dalam perkara seperti menerima permohonan membubarkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, selain berkaitan pemilihan Perdana Menteri, pemberian gelaran dan darjah kehormatan, sebagai ketua urus angkatan tentera, lantikan peguam negara dan hakim.

Yang di-Pertuan Agong juga mempunya bidang kuasa luas sebagai pihak tertinggi yang memastikan hak keistimewaan orang Melayu dan orang asal dari Sabah dan Sarawak dipelihara, di samping memastikan hak komuniti lain dilindungi. Dalam hal ini, kita dapat lihat Seri Paduka juga berperanan sebagai kuasa menyatupadukan kesatuan nasional.

Lantas raja perlembagaan juga menjadi perisai yang utuh daripada sebarang pemerintahan diktator termasuk pelampau Islam yang mungkin hanya menekankan hak orang Islam. Mengimbangi keperluan setiap komuniti dalam negara adalah tanggungjawab besar yang diletakkan di pundak Yang di-Pertuan Agong dalam sistem raja berperlembagaan. Tanggungjawab inilah yang memastikan negara terus kekal aman dan tiada kejadian ekstrem yang mampu mengganggu-gugat negara boleh berlaku. – UTUSAN

PENULIS ialah peguam litigasi yang beramal di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×