ESOK, nasib 239 calon bertanding merebut 56 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan ditentukan oleh 2.57 juta pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan serta 11,576 anggota polis dan pasangan selain 376 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
Daripada jumlah itu, hampir 750,000 orang adalah pengundi baharu dan sekitar 30 peratus daripada mereka berada dalam lingkungan usia 18 hingga 21 tahun. Johor memiliki kira-kira 3.52 juta penduduk ketika ini.
PRN Johor diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 22 Januari lalu berkenan menandatangani dokumen watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, di Johor Bahru.
Rentetan itu, pelbagai polemik ditimbulkan khususnya konon UMNO yang meneraju kerajaan negeri sengaja mahu DUN dibubarkan dalam usaha mengukuhkan kedudukan Barisan Nasional (BN) setelah mendapat tiupan semangat daripada keputusan PRN Melaka sebelum ini yang menyaksikan BN berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga. Ia kemenangan manis mereka selepas dimalukan oleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Tidak mengapa, apa pun alasan dan sebabnya, pengundi Johor akan membuat pilihan mereka esok sama ada Perikatan Nasional (PN), BN, PH atau parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Johor diuji oleh Allah untuk memilih pemimpin yang akan mentadbir sebuah negeri. Ia bermula dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang kemudian akan memasuki DUN untuk menentukan pelbagai bentuk undang-undang melibatkan kemaslahatan umat termasuk pengurusan kewangan negeri yang mencaturkan masa hadapan umat Islam.
Semua pihak bebas untuk berkempen bagi mana-mana parti yang mereka pilih kerana itu hak masing-masing tetapi sedarkah bahawa itulah kefahaman politik Islam atau politik umat? Mereka yang terlibat secara langsung dengan proses amalan demokrasi ini adalah yang faham tentang politik dalam Islam kecuali mereka tidak berminat untuk mengambil tahu dan hanya berpegang kepada prinsip gerakan atau bergerak untuk makan. Golongan ini akan membiarkan negeri atau negara mereka diterajui oleh pemimpin yang tidak baik.
Allah SWT sudah pun mengajar manusia bagaimana cara memilih pemimpin dalam Islam seperti yang terkandung dalam al-Quran. Sehebat mana atau sebijak mana pun seseorang pemimpin itu sekiranya dia tidak memimpin umat berdasarkan perintah Allah dan Rasul-Nya, maka dia pasti akan melakukan kesilapan demi kesilapan sama ada disedari atau tanpa disedari. Ketidakpatuhan pemimpin kepada perintah Allah dan Rasul-Nya akan mengakibatkannya gagal untuk menyelesaikan permasalahan umat. Jadi, ciri nombor satu seorang pemimpin ialah mereka patuh dan taat kepada perintah Allah.
KORUPSI
Urus tadbir yang baik adalah suatu nilai dalam menguruskan negara yang dipandang tinggi di peringkat antarabangsa termasuk dalam institusi politik. Namun begitu, al-Quran bukan sekadar menggariskan nilai urus tadbir yang baik semata-mata berkaitan politik sebaliknya menyentuh seluruh aspek kehidupan manusia sama ada individu, keluarga, masyarakat dan negara. Contoh terbaik berjaya ditunjukkan ialah kerajaan negeri Kelantan sejak ia diperintah oleh Pas dengan sifar korupsi. Ia berlandaskan konsep atau kod etika yang diperkenalkan oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu UMI (ubudiyah, mas’uliyah dan itqan).
Ubudiyah merujuk kepada kedudukan manusia sebagai hamba Allah SWT yang diciptakan semata-mata untuk beribadat kepada-Nya. Ia memberi signifikan dari sudut sifat diri, tujuan hidup dan juga cara menjalani kehidupan yang lahir daripada pancaran iman serta akidah yang jelas.
Mas’uliyah merujuk kepada kebertanggungjawaban atau akauntabiliti iaitu segala tanggungjawab yang dilakukan di dunia ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT pada hari pengadilan kelak.
Itqan pula merujuk kepada kualiti kerja yang tekun, komitmen dan kesungguhan.
Kerana itu penting untuk kita menilai bahawa apa berlaku di Johor ini adalah pilihan raya bagi menentukan pemilihan pemimpin yang baik bagi melahirkan negeri yang baik. Pemimpin baik itu akan sedar bahawa parti-parti politik yang bertanding adalah parti yang masih bersama dalam kerajaan Pusat. Justeru, mereka akan berhemah ketika berkempen, tidak menyerang lawan secara membuta tuli. Pemimpin dan parti yang baik ini akan menjual modal yang dimilikinya tanpa memburukkan pihak lawan.
Rakyat Johor ada tanggungjawab besar esok. Keluarlah mengundi, yang jauh pulang dan tunaikan kewajipan anda sebagai pemilih, pilihlah pemimpin yang terbaik. – UTUSAN
DATUK Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus.