PETALING JAYA: Kegiatan lombong emas haram di Jeli, Kelantan terbongkar selepas empat lelaki warga Myanmar ditahan dengan nilai rampasan lebih RM1 juta semalam.
Penahanan itu dilakukan Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kota Bharu, Kelantan kira-kira pukul 2 pagi.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, operasi bersepadu khazanah itu dilaksanakan di kawasan sawit Ladang Tapis, Bukit Jering, Jeli, Kelantan.
“Serbuan yang dijalankan itu berjaya menahan empat lelaki warga Myanmar yang disyaki terlibat dalam kegiatan melombong emas secara haram.
“Kesemua suspek gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah serta lesen perlombongan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi berkata, dua unit excavator, dua unit mesin pam penyedut berserta hos, dua unit palong melombong, anak kunci jentera dan peralatan berkaitan dirampas membabitkan nilai sitaan RM1,010,014.00
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Kanun Tanah Negara 1965.
“Operasi ini adalah contoh pendekatan Reform iaitu penguatkuasaan yang lebih bersepadu dan berimpak tinggi dengan penglibatan pelbagai agensi bagi membanteras aktiviti melombong haram yang mengancam sumber khazanah negara,” katanya.
Katanya, PSP Bukit Aman akan terus komited menjalankan operasi strategik bersama agensi berkaitan bagi memastikan aktiviti pencerobohan dan penerokaan haram dapat dibanteras secara berterusan demi keselamatan, kedaulatan serta kelestarian alam sekitar negara. – UTUSAN










