HANGZHOU: Seorang lelaki di China ditipu lebih 870,000 yuan (RM512,413) oleh sebuah gimnasium di Hangzhou yang menjual kepadanya keahlian gim dan kelas peribadi yang kononnya sah untuk tempoh tiga abad.
Lelaki yang hanya dikenali sebagai Jin oleh media tempatan itu sudah menyertai latihan di gim Ranyan Fitness selama tiga tahun sebelum didekati oleh seorang jurujual yang menawarkan ‘peluang pelaburan’ eksklusif untuk ahli setia.
Menurut Jin, dia diberitahu gim tersebut melancarkan promosi khas dengan ahli sedia ada boleh membeli keahlian jangka panjang pada harga murah dan kemudian menjual semula kepada ahli baharu pada harga dua kali ganda.
“Mereka tawarkan harga istimewa 8,888 yuan (RM5,234) untuk satu kad keahlian dan berjanji akan menjualnya pada harga 16,666 yuan (RM9,814), dengan komisen hanya 10 peratus.
“Mereka beri jaminan penuh jika keahlian tidak dijual dalam tempoh dua bulan, saya akan dapat bayaran balik sepenuhnya,” katanya.
Namun, janji itu hanyalah helah. Setelah membeli keahlian selama setahun, Jin terus dipujuk untuk membeli lebih banyak pelaburan berkenaan.
Dia akhirnya membayar 130,000 yuan (RM82,000) dan diperkenalkan kepada pengurus gim, yang memujinya dan menawarkan peluang pelaburan yang lebih menguntungkan.
“Antara 10 Mei dan 9 Julai, saya membeli hampir 1,200 kelas dan 300 keahlian tahunan di gim Ranyan, membelanjakan sejumlah 871,273 yuan,” kata Jin, sambil menunjukkan kontrak tebal yang diterimanya.
Apabila tiba masa untuk bayaran balik pada pertengahan Julai, jurujual, pengurus gim dan pemilik Ranyan Fitness hilang tanpa jejak serta telefon mereka semua tidak dapat dihubungi.









