Meramaikan intelek muda Melayu

Meramaikan intelek muda Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAKYAT Singapura menguasai bahasa Inggeris dengan baik pun kalau ditanya apa bahasa kebangsaan mereka, jawapan mereka tetap sama – bahasa Melayu.

Singapura maju ekonominya, peringkat dunia lagi – bermakna kemodenan dan status negara tidak boleh dijadikan alasan mengubah jati diri rakyat dan sistem sesebuah negara.

Sejujurnya, nama-nama besar seperti Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dan mendiang Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang semusim lalu meninggalkan kita serta beberapa tokoh yang terus agresif bersuara, antaranya Tan Sri Dr. Rais Yatim, Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Dr. Lim Swee Tin dan Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, masih mengingatkan kita akan keperluan semangat jati diri kenegaraan.

Dan bila mana bahasa Melayu baru-baru ini diangkat martabatnya kembali oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, saya sesekali menoleh ke kiri, kanan. Bimbang dan curiga kalau-kalau selepas ini tiada lagi kelibat pejuang bahasa Melayu atau intelek Melayu cerdik pandai kita berani ke depan mempertahankan isu-isu berkisar perlembagaan dan kontrak sosial.

Adakah masih ada waktu ini intelek Melayu muda yang lantang, berani dan berterus terang perjuangkan isu-isu berkepentingan Melayu aras tinggi? Maksud saya, selain kelibat empat orang tadi – kalau melontar kritikan pun, mereka akan berlandaskan fakta. Dikutip pula sebagai rujukan, bahkan dijadikan dasar oleh kerajaan.

Ya, ada seorang dua tetapi masih perlu diramaikan. Antaranya yang baru muncul dengan hujah-hujah kritikal berkisar isu pendidikan seperti Dr. Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

TIDAK BERMAYA

Kita cuma khuatir intelek Melayu seolah-olah tidak bermaya. Pemerhatian dan tindak tanduk cerdik pandai yang digelar sebagai intelek Melayu tidak menampakkan diri mereka lagi sekarang. Ini meresahkan kita sebab bila golongan intelek dan cerdik pandai tidak lagi banyak menyuarakan sesuatu, ia bermakna mereka sudah tidak menjurus lagi kepada perhitungan keutamaan negara bangsa dan agama seperti dahulu.

Mungkin ini disebabkan beberapa faktor. Tetapi berbanding senario dahulu, keadaan sekarang mengenai hak-hak kebangsaan Melayu misalnya, dia (intelek Melayu) lebih dipelopori retorik politik sahaja. Cerdik pandai di menara gading dalam kalangan profesional perlu agresif memainkan peranan supaya menguntungkan bangsa Melayu.

Kalau diimbau sejarah, walaupun tidak ramai pada masa itu, kita masih mempunyai banyak hasil kepada perbincangan dan juga retorik yang membantu bangsa Melayu mengharungi kehidupan. Topik-topik seperti Dasar Ekonomi Baru, kenapa tidak berkesan kecapaiannya melebihi 20 peratus? Masih tergantung.

Adakah kekangan ini kerana intelek Melayu terlampau bergantung kepada imbuhan atau hal-hal berkaitan dengan habuan, pangkat dan kedudukan? Mereka tidak seberani macam dahulu menyuarakan hal tertentu demi kebenaran, perjuangan dan keintelektualan mereka. Menjadi seorang intelek bererti seseorang itu berani mengemukakan yang benar. Berani kilas suara yang salah berpandukan ilmu, nilai sejagat dan Islam.

Kalau seseorang itu intelek atau yang berkuasa di menara gading atau seseorang yang tinggi namanya sebagai pemikir tetapi tidak berani menyanggahi perkara yang nampak tidak baik, tak benar, saya kira itu sudah lari daripada tanggungjawab asas seorang pemikir, intelek.

SYABAS

Apa pun, sekurang-kurangnya dalam kemelut politik Melayu yang membelenggu hari ini, ada suara daripada Perdana Menteri Ismail Sabri yang berusaha mahu memartabatkan bahasa Melayu – dalam setiap urusan rasmi negara, termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa.

Hal ini pernah diingatkan oleh seorang bekas pegawai berbangsa Inggeris yang bertugas di Tanah Melayu sebelum merdeka.

Pada 1935, O.T. Dusseck memberitahu penuntut-penuntutnya bahawa ada tiga tenaga pendorong dalam hidup ini iaitu agama, adat resam dan bahasa. Tegas beliau “…bahasa kamu, saya percaya, diucapkan oleh lebih daripada 70 juta manusia. Ia merupakan satu daripada rumpun-rumpun bahasa terbesar di dunia. Jangan lupakan hakikat itu.

“Pelihara bahasa kamu itu. Berusahalah meninggikannya ke tarafnya yang layak dalam kalangan bahasa-bahasa dunia. Bila taraf bahasa kamu tinggi, akan tinggilah juga taraf bangsa kamu.” (The Straits Times, 1935)

Ucapan Dusseck memberikan gambaran yang jelas tentang keyakinan beliau bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu yang sama tarafnya dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain.

Ini sekiranya pemimpin-pemimpin Melayu sendiri berusaha untuk mempertahankan keluhuran dan kedaulatannya. Bahasa itu sendiri menunjukkan bangsa yang menuturkannya.

Apa kata intelek muda Melayu akan hal ini? Pemimpin nombor satu kita telah bersuara dan menggerakkannya. Tahniah dan syabas! – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN