MUKADIMAH
DAKWAAN Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa kesedaran politik Islam tidak ada di Johor memeranjatkan TAN SRI SHAHRIR ABDUL SAMAD.
Kata Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu yang ketika ini agresif berkempen untuk memenangkan Barisan Nasional (BN), 12 Mac ini, Abdul Hadi mungkin terkhilaf.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR serta jurufoto, RAJA JAAFAR RAJA ALI, Shahrir berkata, dakwaan itu sudah lama didengarnya dan sentiasa diulang-ulang.
“Sedangkan Johor satu-satunya negeri yang mempunyai pendidikan Islam secara formal,” kata veteran UMNO itu.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Pas cuba lari daripada persoalan sebenar, iaitu menyembunyikan kelemahan parti itu di Johor.
Berikut penjelasan Shahrir.
UTUSAN: Berbanding BN, calon menteri besar (MB) belum diumumkan Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Pakatan Harapan (PH). Mengapa?
SHAHRIR: Semua yang bertanding kena tunjukkan keyakinan, kemenangan, itu biasalah. Tetapi dalam pilihan raya, perlu dibentangkan calon-calonnya. Siapa yang bakal diangkat menjadi MB? Siapa yang hendak memberi kepimpinan?
Jangan jadi macam dahulu. Dua orang jadi MB daripada parti sama, kemudian kedua-duanya gagal sebagai MB. Pokoknya, untuk PN atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menjadi tonggak, perlu ada seorang bakal pemimpin besar di Johor.
Siapa yang layak pada pengamatan Tan Sri?
Jadi, siapa? Kalau tidak, nak jadi apa? Hal ini kerana mereka bertanding 56 kerusi di mana tujuannya menubuhkan kerajaan. Siapa jadi pemimpin jika mereka menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor? Takkan beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) hanya menyatakan mahu menjadi penasihat ekonomi negeri sahaja boleh memberi keyakinan kepada pengundi? Ia tidak munasabah.
Sama juga dengan Lim Guan Eng, cakap letakkan Liew Chin Tong (Pengerusi DAP Johor) untuk bekerja membantu calon Bersatu yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai (19 November 2019). Kalau calon (Karmaine Sarbini) itu menang, barulah calon itu akan dilantik sebagai setiausaha politik iaitu perantara dengan Guan Eng. Itu pun tidak munasabah.
Adakah cara meletakkan dirinya (Muhyiddin) sebagai penasihat ekonomi Johor yang jelas menandakan dia tiada keyakinan terhadap calon-calon PN yang bertanding ke jawatan MB?
Setakat ini BN sahaja sudah umumkan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad orangnya. Terlalu awalkah?
Kepada BN hanya Hasni calon kita untuk menjadi MB. Sama seperti di Melaka, (Datuk Seri) Sulaiman Md. Ali disebut bakal MB. Ketika itu PN tiada calon, kemudian bawa turun (Datuk) Mas Ermieyati (Samsudin) yang juga ahli Parlimen tetapi bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Namun kali ini di Johor, PN tidak turunkan sesiapa daripada Parlimen ke DUN sebagai bakal MB. Jadi, tiada signal. Cuma signal hanya menjadi penasihat ekonomi.
Maknanya, tak percaya orang sendiri yang bakal menjadi MB. Begitu juga Pas, sebab tak ramai bertanding.
Yang sepatutnya PN buat?
Sekurang-kurangnya kena cakap siapa bakal MB jika menang pilihan raya. Perlu ada siapa untuk memimpin di Johor ini. Sebab sebelum ini pernah berlaku kita tidak tahu latar belakang dua calon MB, iaitu arwah (Datuk) Osman Sapian dan (Datuk) Dr. Sahruddin Jamal. Sahruddin pernah sekejap jadi MB (10 bulan). Dia (Sahruddin) pun bertanding kali ini (di Bukit Kepong) tetapi Muhyiddin patut buat keputusan segera letakkan nama Sahruddin (calon MB), tapi ini tidak dilakukan. Adakah Tosrin Jarvanthi?
Atau pun seorang lagi yang pernah jadi Exco, (Mohd.) Solihan Badri? Juga tidak diumumkan.
Kuatkah PKR, Pejuang dan Pas di Johor?
PKR lagilah kelam-kabut sebab bertanding 57 kerusi (calon parti Iktan Demokratik Malaysia (MUDA), sekutu PH bertanding di DUN Larkin dan bertembung sesama sendiri dengan calon PKR), maka nampak peliklah. Mereka bawa turun Dr. Maszlee Malik dari kerusi Parlimen. Mungkin tandanya dia jadi MB. Tapi dari segi pencapaian, dia (Maszlee) jadi Menteri Pendidikan pernah dibuang dalam kerajaannya sendiri. Maka rakyat boleh nampak parti mana yang steady, teratur dan ada planning serta barisan kepimpinan. Macam BN, kita ada Hasni dan lainnya yang bakal menjadi kepimpinan politik kerajaan. PN? Wallahuaklam.
Bagaimana cabaran daripada Pejuang?
Pejuang pula bertanding 42 kerusi dan tak bertanding kerusi DAP, macam pelik pula. Mengapa tak bertanding di kerusi DAP dan hanya bertanding kerusi Melayu? Macam ada deal pula dengan DAP.
Pas pula?
Pas di Johor tidak begitu kuat. Saya tidak fikir dia mempunyai (kekuatan) dan rakyat Johor tak kenal pun calon-calon Pas.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada mengatakan di Johor tidak ada kesedaran politik Islam. Sebab itu katanya, calon-calon Pas hilang deposit dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Benarkah?
Dah lama orang Pas tuduh kita Johor tiada kesedaran politik Islam. Dahulu, pemimpin Pas cakap kita terlalu materialistik. Tetapi Johor satu-satunya yang ada pendidikan Islam secara formal iaitu sistem sekolah agama yang berjalan seiring dengan pendidikan kebangsaan.
Jadi, sudah lengkap. Maknanya dari segi soal agama bukan semua kena pakai serban. Bukan mesti semua kena ada sekolah tahfiz ataupun sekolah pondok. Pasal sistem pendidikan agama kita adalah satu sistem pendidikan yang selari dengan pendidikan kebangsaan.
Kita pun belajar agama juga, namun bukan sistem ala pondok. Sebaliknya secara formal yang ditaja oleh kerajaan negeri sendiri.
Tawaran BN kepada rakyat Johor menarikkah?
Secara keseluruhan, dilihat daripada tawaran setiap parti kepada pengundi dan rakyat, yang jelas dan terbuka adalah BN dengan siapa menjadi MB.
PN pula yang bertanding sama banyak 56 kerusi dengan BN, tidak tahu siapa jadi MB. Hanya tawaran Muhyiddin sebagai penasihat ekonomi negeri. Maknanya, 56 campur satu (Muhyiddin) untuk standby plus one. Bagi PH pula campur PKR campur MUDA, ia bertanding lebih daripada orang lain. Orang bertanding 56, mereka bertanding 57.
Kalau jadi kerajaan, akan balik menjadi kerajaan yang keliru dan hari ini pun masih keliru. PKR nak bertanding lambang sendiri, PH pun sama dan sepatutnya kekal dengan lambang PH, barulah nampak benda (kebersamaan) itu. Tetapi PKR duduk luar daripada PH dan berlawan dengan MUDA. Ini berlaku di DUN Larkin.
Malah, di DUN Larkin, ahli Parlimennya adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK). Mengapa MUDA tidak hormat dan gerun? Patutnya gerunlah. Ini bukan calang-calang orang sebab ketua pemuda kebangsaanlah, Akmal Nasir (Akmal Nasrullah Mohd. Nasir) yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru. Tentunya dia ada kejayaan tetapi MUDA boleh pula letak calon sendiri. Kita lihat bendera PKR boleh dikepung bendera MUDA. – UTUSAN










