BARISAN Nasional (BN) jelas, yakin dan tidak sembunyi-sembunyi menamakan calonnya untuk jawatan Menteri Besar Johor sekiranya menang pilihan raya negeri (PRN), Sabtu ini. Tiada sabotaj atau tidak puas hati dalam kalangan pemimpin parti negeri. Mudah untuk Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad memimpin dengan mandat parti, wujud kestabilan.
Hairannya, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) masih tiada calon menteri besar yang diberi mandat. Tidak sekata. Hanya selepas menang, baharu akan duduk dan berbincang pasal itu.
Siapa calon Menteri Besar Johor sedikit sebanyak diakui mempengaruhi sokongan rakyat. Ini kerana pemimpin yang bakal diketengahkan oleh parti-parti yang bertanding khususnya komponen BN, PH dan PN mampu menarik sokongan rakyat.
Andai calon menteri besar itu disenangi dan diyakini rakyat, parti berkenaan berupaya meraih lebih sokongan daripada pengundi.
Ada asasnya perkara itu kerana karakter dan kemampuan seseorang menteri besar mampu membawa Johor menjadi negeri yang lebih maju. Yang utama masa ini untuk memulihkan semula sosioekonomi rakyatnya.
Pada masa ini, rakyat termasuk di Johor amat terkesan terutama dari segi ekonomi akibat pandemik Covid-19.
Apatah lagi sempadan negara khususnya melibatkan laluan Johor-Singapura masih belum dibuka sepenuhnya. Hanya akan dibuka sepenuhnya 1 April ini. Ketika ini cuma pergerakan rentas sempadan menerusi inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL) Darat melibatkan jumlah warga yang terlalu kecil.
Semua mengakui bahawa ekonomi Johor yang terkenal dengan julukan Permata Selatan amat bergantung pada ekonomi rentas sempadan, khususnya dengan Singapura.
Justeru, siapa pemimpin nombor satu ditampilkan parti-parti bertanding akan mencetus aura sokongan rakyat pada PRN ini.
Siapa calon menteri besar yang akan diketengahkan PN dan PH? Dari segi pengalaman, nyata Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Mohd. Solihan Badri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dianggap lebih berpengalaman, sekali gus boleh dihalakan sebagai calon menteri besar.
Kelebihan mungkin kepada Sahruddin kerana beliau pernah menjadi menteri besar walaupun dalam tempoh kira-kira 10 bulan sebelum teraju kepimpinan negeri diserahkan kepada Hasni. Ini ekoran perubahan kepimpinan di peringkat Persekutuan pada 24 Februari 2020 akibat ‘Langkah Sheraton.’
Bagi PH, nama Datuk Seri Salahuddin Ayub, Aminolhuda Hassan, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Dr. Maszlee Malik turut diperkatakan. Namun, siapa yang bakal memimpin Johor sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan agak sukar ditelah kerana bergantung pada jumlah kerusi yang dimenangi sesebuah parti dalam pakatan berkenaan.
TUMBANG
Andai Parti Amanah Negara (Amanah) mempunyai jumlah kerusi lebih banyak, pastinya nama Salahuddin atau Aminolhuda akan diangkat. Namun, sekiranya PKR yang mendominasi, pastinya jawatan beralih ke Maszlee. Dan andai DAP yang majoriti maka nama Sheikh Umar-lah yang akan diangkat.
Persoalannya, bila PH dan PN akan umumkan calon menteri besar? Esok sudah hari terakhir berkempen. Esokkah akan diumum?
Semua masih menunggu atau adakah parti-parti berkenaan tidak berani mengumumkan calon menteri besar kerana bimbang ‘mengganggu’ rentak sokongan rakyat terhadap mereka.
Berapa banyak hendak bincang? Belum habis bincang, masalah melata.
Ketika PN dan PH masih buntu, kejayaan BN mengepalai kerajaan negeri sebelum tumbang 9 Mei 2018 menjadi bukti agenda pembangunan Johor yang realistik. Teratur dan tersusun. Cuma terencat selepas rakyat ‘ditipu’ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) itu.
PH dan PN tidak perlu cakap banyak. Perancangan pembangunan mereka 22 bulan dan 17 bulan penuh cacamarba. “Manifesto bukan kitab suci,” kata seorang pemimpin PH yang kemudian menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). Kini, partinya bertanding pula di Johor.
BN sinonim dengan kestabilan kerajaan, terbukti selama lebih 60 tahun. Tiada politik berlebihan dalam perubahan kepimpinan hingga menyebabkan jatuhnya kerajaan.
Keyakinan pelabur meningkat dan memakmurkan watan.
PH, sejarah membuktikan percakaran sesama sendiri akhirnya menjatuhkan kerajaan 22 bulan serta beberapa kerajaan negeri. Gila kuasa, gila nama. Semua gila.
PN dan PH, kempen hanya menyerang Bossku sepatutnya mempertaruhkan calon menteri besar. That’s a wrong move! He’s just a campaigner!
Hendak mempertaruhkan calon menteri besar takut terpalit dengan kelemahan individu tersebut yang telah dibuktikan sejarah mempunyai prestasi buruk. Tidak umumkan calon menteri besar kerana tidak boleh membuktikan sebarang pencapaian.
Dan teringat akan kita dialog filem Tiga Abdul arahan Allahyarham P. Ramlee:
“Kamukan tahu dia tu penipu! Muka dia pun muka penipu!Yang kamu berdua bijak pandai boleh kena tipu dengan dia tu kenapa? Kamu berdua yang bodoh!”
Wahai bangsa Johor, BN pilihan terbijak! – UTUSAN
DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.