Buka sempadan ambil kira kesejahteraan, kebajikan rakyat

Buka sempadan ambil kira kesejahteraan, kebajikan rakyat

KEPUTUSAN membuka semula sempadan negara menunjukkan kesediaan Malaysia menuju fasa endemik yang harus disokong oleh semua pihak. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESAN pandemik amat begitu besar. Pandemik mengancam bukan sahaja keselamatan insan tetapi juga berimpak kepada sistem ekonomi, politik dan sosial antarabangsa.

Tiada dalam kalangan kita yang tidak terkesan. Terkurung sekian lama dan sekatan-sekatan pergerakan memberikan kesan psikologi kepada kita.

Sudah tentu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia sedang menuju fasa endemik tertakluk kepada pengisytiharan daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kita menarik nafas lega. Segala tekanan psikologi yang ditanggung selama ini bakal berakhir. Tiada lagi sekatan antara mereka yang telah menerima atau tidak menerima suntikan vaksin. Keluarga akan kembali bersatu dan kita semua akan bebas bergerak.

Berita paling besar adalah apabila sempadan antarabangsa akan mula dibuka kepada rakyat asing. Rakyat Malaysia sendiri juga telah mula dibenarkan ke luar negara.

Setakat ini tidak banyak negara di Asia Tenggara dan Timur yang membuka sempadan mereka, hanya Eropah dan Amerika telah lama berbuat demikian.

Ekonomi negara adalah sektor utama yang akan menerima limpahan besar daripada dasar kerajaan ini. Pemain industri terutama dalam perkhidmatan bukan sahaja mengalu-alukan malah sudah tidak sabar-sabar untuk merancakkan semula ekonomi negara.

Menurut laporan rasmi kerajaan, sektor perkhidmatan menyumbang kepada 57.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019. Aktiviti sektor pembuatan dan perkilangan yang melonjak naik sewaktu era pandemik hanya menyumbang 22.3 peratus KDNK negara.

Sebelum era pandemik, misalnya sektor pelancongan menyumbang lebih RM86 bilion melibatkan lebih 26 juta pelancong. Sektor ini diramal terus meningkat kepada 2.6 peratus setiap tahun.

Sektor ekonomi juga akan memberi kesan limpahan besar kepada sosial dan politik. Kesejahteraan rakyat adalah antara faktor mencabar dalam era pandemik.

Selain faktor psikologi, institusi keluarga menerima cabaran besar. Sistem kekeluargaan terkesan apabila ketua keluarga hilang sumber pendapatan atau pekerjaan.

Mereka terpaksa mencari alternatif lain demi kelangsungan hidup keluarga. Selain mendapat beberapa skim bantuan kerajaan, mereka mula berjinak dengan dunia perniagaan secara kecil-kecilan dan e-dagang. Ada dalam kalangan mereka malahan mengatakan sumber pendapatan masing-masing adalah lebih besar daripada bekerja makan gaji sebelum ini.

Pelbagai sektor lain seperti perladangan, peruncitan dan pembantu turut terjejas. Kekurangan pekerja asing menyaksikan sektor ini tidak berkembang.

Banyak kedai makan dan restoran tutup kerana pergantungan kita kepada tenaga asing yang tinggi. Malahan restoran mamak sendiri berhadapan dengan kekurangan pekerja. Ibu-ibu yang bekerja terpaksa membahagikan masa antara anak dan kerjaya akibat kesukaran mendapatkan pembantu rumah.

Pembukaan sempadan akan menyaksikan secara positifnya kehadiran semula pekerja asing kepada ekonomi negara. Pergerakan kepada fasa endemik ini juga memberikan sumbangan positif kepada sosialisasi pendidikan. Anak-anak kita sama ada di sekolah ataupun institut pengajian tinggi dikatakan merupakan generasi yang hilang (lost generation).

MAYA

Norma pengajian mereka yang hanya melalui maya tidak sepertimana cara konvensional biasa menyebabkan aspek emosi dan komunikasi personal hilang antara guru dan pelajar. Mereka yang tidak mempunyai akses kepada internet pula berhadapan pelbagai masalah dan hampir tercicir. Proses sosialisasi antara pelajar juga hampir tiada kerana tiada hubungan fizikal yang wujud.

Adalah diharapkan sektor pendidikan akan kembali kepada norma sebelum ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang wajar agar mereka dapat kembali menjadi generasi yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Dengan berkurangnya ancaman Covid-19, diharapkan politik kita semakin stabil dan berkurang tekanan kepada kerajaan kerana pembukaan sempadan ini juga adalah tuntutan beberapa pemimpin politik.

Kerajaan terdahulu sering dikritik kerana dasar-dasar yang tidak konsisten dan menyusahkan rakyat. Namun perlu diingat, sewaktu pandemik berada di kemuncak, tidak ada kerajaan di dunia yang berupaya menanganinya dengan pantas dan efektif.

Strategi yang digunakan masih lagi trials and errors (cuba-cuba) kerana pengalaman masyarakat antarabangsa menangani ancaman sedemikian rupa agak terhad. Politik pandemik antara kuasa-kuasa besar pula menyukarkan satu pendekatan bersepadu. Setiap negara mencuba beberapa cara sebelum mencapai cara yang terbaik mengatasinya.

Oleh itu, pernyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri mengenai kesediaan Malaysia menuju fasa endemik dan membuka sempadan negara merupakan satu pendirian dan keputusan politik meyakinkan yang harus disokong oleh semua pihak.

Perdana Menteri faham, rakyat tidak boleh dikurung untuk selamanya. Rakyat perlu menjalankan tanggungjawab sosial dan rohani seperti sedia kala. Sosioekonomi mesti berkembang untuk peluang kemakmuran kepada rakyat.

Tidak dapat dinafikan akan ada segelintir masyarakat yang skeptikal terutama dalam kalangan keyboard warriors cuba membangkitkan sesuatu yang tidak kena daripada keputusan kerajaan.

Golongan ini akan sentiasa tidak berpuas hati dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan tidak kiralah siapa memerintah.

Tidak pelik jika selepas ini ada kritikan bahawa kerajaan memperjudikan kesihatan rakyat di kala ancaman varian Omicron masih wujud. Sedangkan sebelum ini mereka juga yang mendesak pintu sempadan dibuka.

Kita tidak seharusnya mempedulikan apa yang mereka kata kerana kebanyakan kritikan didasarkan kepada kepentingan politik sempit semata-mata. Apa paling penting ialah kita harus yakin ia sudah mengambil kira kebajikan dan kesejahteraan rakyat demi kemajuan negara. Lebih-lebih lagi bila ia selari dengan data yang ada pada kerajaan serta seiring dengan perkembangan di negara-negara lain. – UTUSAN

DR. Kamarulnizam Abdullah ialah Profesor dan Felow Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa & Diplomasi Asia (AIIAD).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×