Sukatan baharu matematik tersasar

Sukatan baharu matematik tersasar

BAGI penulis, mata pelajaran Matematik hendaklah pada setiap masa dipastikan disampaikan sebagai bidang untuk menyelesaikan masalah berkenaan nombor dan bilangan berdasarkan pelbagai judul.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USUL memasukkan judul insurans pada sukatan pelajaran Matematik tahun enam mendapat tindak balas berbelah bahagi daripada ibu bapa khususnya dan masyarakat amnya. Rentetan ini, ramai tidak bersetuju dengan sesetengah menyindir tujuan pengajaran judul itu adalah untuk mempromosikan kerjaya sebagai ejen insurans.

Sebenarnya tidak ada apa-apa keperluan mendesak untuk mengajar judul pilihan tertentu dalam sesebuah kurikulum, iaitu mata pelajaran bagi sesebuah pengajian mahupun sukatan pelajaran, iaitu senarai judul untuk mata pelajaran itu. Ini kerana yang lebih penting adalah pengajaran dan pembelajaran konsep asas ilmu terbabit.

Untuk Matematik, tumpuan sepatutnya diberikan kepada pengetahuan dan penguasaan konsep asasnya, iaitu mengira secara amnya dan mencampur, menolak, mendarab dan membahagi secara khususnya. Kesemua ini adalah unsur penting dalam pengoperasian matematik asas.

Dengan ini, kemahiran campur, tolak, darab dan bahagi hendaklah menjadi sasaran utama yang harus bukan sahaja diketahui tetapi dikuasai sebaik-baiknya. Oleh itu, ia hendaklah bermula dengan pendidikan menyelesaikan masalah berasaskan nombor dan bilangan yang mudah di tahap satu, iaitu tahun satu sehingga tiga dan yang bertambah rumit pada tahap dua, yakni tahun empat sehingga enam.

Kesemua kemahiran ini kemudiannya hendaklah diterapkan pada sebanyak mungkin judul. Dalam proses penerapan ini, insurans misalnya dalam apa-apa jua bentuk tidak boleh diajar semata-mata sebagai judul yang dipilih khas walaupun sebagai pendidikan matematik, apatah lagi bagi pendidikan lain, misalnya kewangan.

Dalam pada ini, insurans boleh dipelajari sebagai penerapan konsep asas dan pengoperasian matematik bersekali dengan puluhan judul lain. Lantaran ini, kurikulum dan sukatan pelajaran Matematik sekolah menengah juga tidak boleh sesekali bersifat tumpuan khusus kepada judul pilihan tertentu sahaja. Ia hendaklah memberi tumpuan kepada penggabungan pelbagai proses matematik antaranya penyelesaian masalah, penaakulan, komunikasi, perhubungan serta perwakilan ke atas sejumlah judul, antaranya insurans.

Sebenarnya tidak ada kebaikan nyata untuk mengajar judul insurans secara bersendirian walaupun dalam cakupan ilmu matematik. Ini kerana ia akan berlegar sekeliling kemahiran mengira juga. Sebaliknya tidak wajar sekali jika insurans diajar di luar cakupan keilmuan matematik dalam kurikulum dan sukatan pelajaran baharu mata pelajaran itu.

Dalam hal ini, pembelajaran insurans tidak boleh sesekali mengambil bentuk perlindungan kewangan atau pembayaran balik kerugian yang ditanggung, apatah lagi sebagai satu kerjaya. Apabila ini yang diajarkan yakni insurans sebagai alat kewangan, ia bukan lagi berupa ilmu matematik tetapi adalah kewangan, iaitu bidang lain yang berkisar pada wang.

Untuk ini, mata pelajaran Matematik hendaklah pada setiap masa dipastikan disampaikan sebagai bidang untuk menyelesaikan masalah berkenaan nombor dan bilangan berdasarkan pelbagai judul. Antaranya insurans, pelaburan, pembelian, kuantiti, jarak serta ruang dan lain-lain.

TULEN, TERAPAN

Dalam hal ini, mata pelajaran Matematik adalah untuk membina dan mengasah kemahiran mengira dalam soal perpuluhan, pecahan, garisan dan lain-lain di samping mencampur, menolak, mendarab dan membahagi.

Oleh itu, kurikulum dan sukatan pelajaran Matematik hendaklah berupa konsep asas dan proses matematik sebagai gagasan utama yang harus diperoleh murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah.

Inilah strategi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Matematik agar murid dan pelajar dapat menghayati konsep dan proses asasnya bagi antaranya memupuk penghargaan sepanjang hayat terhadap matematik. Ini hendaklah dilakukan melalui penerapan kemahiran mengira pada sebarang judul.

Ini kerana matematik adalah ilmu yang penting dalam banyak bidang antaranya sains, kejuruteraan, perubatan, pengkomputeran termasuk sains sosial dan sudah tentu kewangan. Oleh itu, bukan sahaja penerapannya penting pada bidang kewangan untuk meneliti insurans secara khusus, ia juga hendaklah meliputi penerapan ke dalam bidang lain termasuk perubatan dan sains sosial dengan ikut memasukkan pelbagai judul.

Natijahnya ialah sesudah kemahiran mengira diperoleh melalui pendekatan matematik tulen, ia hendaklah diterapkan pada sebanyak mungkin bidang lain menerusi matematik terapan. Oleh itu, kurikulum dan sukatan pelajaran Matematik hendaklah bukan sahaja peka kepada natijah ini, ia juga harus memastikan ketetapan ini dipertahan pada setiap peringkat daripada yang serendah-rendahnya kepada yang setinggi-tingginya.

Ini penting sekali untuk menentukan anak bangsa kita memperoleh pengetahuan sewajarnya dalam sesuatu mata pelajaran itu yang tidak dimasukkan judul yang tersasar pada sukatan pelajarannya. Sebenarnya perkara begini banyak berlaku dalam sistem pendidikan kita semenjak kebelakangan ini termasuklah pendidikan tinggi.

Ini memberi kesan kepada graduan kita yang rata-ratanya didapati majikan sebagai tidak mempunyai pengetahuan mencukupi, apatah lagi penguasaan tinggi dalam bidang yang diceburi mereka. Ini antaranya kerana pilihan mata pelajaran tidak tepat pada kurikulum kursus dan judul tidak sesuai pada sukatan pelajarannya.

Oleh itu, amat penting untuk dipastikan kurikulum kita dapat memberi pengalaman belajar tepat dari segi pengetahuan persis melalui judul jitu pada sukatan pelajarannya dari sudut kemahiran cekat.

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×