PRN Johor: Orang muda pilih siapa? - Utusan Malaysia

PRN Johor: Orang muda pilih siapa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung tidak lama lagi bakal membuka lembaran baharu dalam sejarah politik negara. Untuk pertama kalinya, anak muda berumur 18 tahun layak mengundi. Kita juga melihat pelbagai percaturan baharu dalam arena politik negara. Bermula daripada perpecahan demi perpecahan dalam gabungan parti kepada penubuhan parti-parti baharu serta pembentukan gabungan baharu.

Walaupun pelbagai parti bertanding, namun pesaing utamanya tentulah Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Meskipun PKR bertanding atas lambang sendiri, tetapi mereka masih bergabung dalam PH. Begitu juga Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang turut bersama PH.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Johor yang merupakan tempat kelahiran UMNO adalah kubu kuat parti itu. Hari ini, parti pecahan UMNO, iaitu Pati Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga menganggap Johor kubu kuat mereka. Amat menarik untuk kita perhatikan persaingan kedua-dua parti ini dalam PRN Johor.

Sentimen politik rakyat Johor adalah unik, iaitu orang Johor, cara Johor. Johor juga adalah tanah kelahiran ramai tokoh politik yang banyak berjasa kepada negara.

Mungkin sejarah Kesultanan Johor yang panjang dan ternama telah melakarkan suasana celik politik dalam kalangan warganya.

Justeru, apakah penampilan Parti Bangsa Malaysia dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mampu memberi impak kepada senario politik di Johor?

KREATIF

Saya menjangkakan ramai muka baharu dicalonkan, sementelahan terdapat penambahan 700,000 pengundi muda dalam PRN ini. Jika sebahagian besar daripada mereka keluar mengundi, sudah tentu akan memberi impak signifikan kepada keputusan PRN. Adakah mereka akan berpihak kepada parti yang dipimpin oleh orang muda? Atau adakah mereka akan memilih kestabilan?

Bagi mengekang penyebaran virus Covid-19, cara berkempen juga tentunya berbeza. Tambahan pula jumlah kes positif meningkat secara ketara akhir-akhir ini. Hal ini akan membawa kepada penggunaan pelbagai strategi baharu yang lebih kreatif dan menarik, khususnya untuk memancing undi golongan muda dan atas pagar.

Saya ternanti-nanti isu utama yang akan dimainkan oleh parti-parti yang bertanding serta manifesto mereka. Kita juga menunggu siapakah calon-calon menteri besar serta poster boy yang bakal diketengahkan. Faktor poster boy juga penting dalam permainan politik untuk mempengaruhi pengundi.

PRN Johor adalah ujian besar kepada PN dan PH yang kalah teruk dalam PRN Melaka baru-baru ini. Mereka mesti menebus maruah agar dilihat relevan oleh golongan atas pagar dalam PRU15 nanti. Adakah BN Johor mampu mengulangi kejayaan di PRK Parlimen Tanjung Piai dahulu? Kini pilihan di tangan pengundi. Semoga Bangsa Johor membuat pilihan yang tepat dan pengundi muda menggunakan hak yang diberi dengan bijak dan amanah.

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN