Pelancong, orang luar sama meriah

Pelancong, orang luar sama meriah

TAMAN Negara Tanjung Piai merupakan titik penghujung paling selatan bagi tanah besar Asia. – UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POTENSI ekonomi biasanya berkait rapat dengan kemampuan ekonomi yang ada dalam daerah yang mungkin dan layak dikembangkan sehingga menjadi sumber kehidupan rakyat. Serentak itu dapat membantu perekonomian daerah berkembang dalam keadaan berkesinambungan.

Potensi dalam kegiatan ekonomi bermakna sesuatu peluang yang ada dapat dikembangkan dan ditingkatkan nilainya. Pada masa sama dapat memanfaatkan sumber daya alam agar lebih terarah kepada kegiatan bentuk ekonomi. Untuk menggali potensi ini, perlu dirancakkan kegiatan dan aktiviti yang menyumbang kepada perolehan hasil pendapatannya.

Pemanfaatan sumber daya alam boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk kegiatan dan disesuaikan dengan sumber daya alam yang dimiliki. Kegiatan yang boleh dimanfaatkan ini mempunyai potensi sumber daya alam bagi meningkatkan roda ekonomi masyarakat setempat dan daerah sekitar.

Ekopelancongan merujuk kepada jenis pelancongan melibatkan kunjungan atau lawatan ke kawasan semula jadi yang mempunyai nilai pelancongan berimpak rendah sebagai alternatif kepada pelancongan komersial. Sebenarnya ekopelancongan dilihat lebih terarah kepada usaha menggalakkan pemuliharaan alam semula jadi bertujuan menyumbang impak sosioekonomi positif kepada penduduk setempat yang mengelilingi tempat yang menjadi daya tarikan tersebut.

Pendekatan ekopelancongan ini pula lebih kepada tabungan bersama atau menyediakan dana untuk pemuliharaan ekologi bertujuan menyedarkan perasaan kebertanggungjawaban secara bersama. Elemen pelancongan ini memberi fokus kepada alam semula jadi sesuatu kawasan termasuk budaya aslinya. Kewujudan ekopelancongan membolehkan usaha mengekalkan perkongsian budaya warisan tempatan untuk jangka masa panjang kepada pelancong yang mengunjunginya.

Pada masa sama, ekopelancongan dapat mendedahkan perspektif sejarah masyarakat setempat dan keistimewaan alam semula jadi yang dikekalkan asetnya sebagai khazanah berharga.

Taman Negara Tanjung Piai adalah contoh terbaik bagi menggambarkan keadaan dan suasana tersebut. Hutan Bakau Tanjung Piai diisytiharkan sebagai taman negara memandangkan di sini terdapat kekayaan khazanah alam semula jadi iaitu hutan, hutan paya bakau serta pelbagai spesies flora dan fauna.

Taman ini juga menjadi tempat kediaman pelbagai jenis unggas dan hidupan paya bakau lain seperti ketam nipah, ikan tembakul serta kera pemangsa ketam. Sebelum diisytiharkan sebagai taman negara, Tanjung Piai adalah sebahagian daripada Hutan Simpan Bakau Sungai Pulai di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan. Tanjung Piai diluluskan oleh kerajaan negeri sebagai Taman Negara Johor pada 1997.

Sebenarnya nama Tanjung Piai dikatakan diambil sempena pokok bijirin tempatan dikenali sebagai paku piai. Masyarakat Tanjung Piai sepatutnya berbangga dengan nama yang diberi kepada Tanjung Piai sebagai pengiktirafan hubungan tempat ini dengan khazanah semula jadi yang sangat bernilai pada pandangan umum.

Hutan bakau yang luas di sini digazetkan sebagai Hutan Simpan Paya Bakau oleh Jabatan Perhutanan negeri. Hutan bakau ini membentuk koridor paya bakau yang menyambungkan Pulau Kukup dengan tanah lembap Sungai Pulai. Taman Negara Tanjung Piai merupakan Titik Penghujung Paling Selatan bagi Tanah Besar Asia.

NANAS

Tanjung Piai terletak kira-kira 75 kilometer dari bandar raya Johor Bahru. Untuk sampai ke sini, jika perjalanan anda melalui Lebuh Raya Utara-Selatan, susur keluar ke Simpang Renggam menuju Benut.

Eksplorasi ke Taman Negara Tanjung Piai sangat menarik untuk dijadikan pengalaman baharu bagi pencinta alam semula jadi. Kawasan berkeluasan 926 hektar ini menyimpan pelbagai khazanah berharga alam semula jadi yang kaya dengan hutan dan hidupan paya bakau memang memukau pandangan. Tambahan pula kawasan taman negara ini mempunyai hampir 30 spesies tumbuhan bakau. Di sini dikatakan terdapat lima spesies burung air dan tujuh spesies burung pantai.

Selain mewarnakan mata dengan pelbagai kecantikan alam semula jadi, pengunjung boleh merasai buah nanas tempatan yang senang dibawa bersama semasa ekspedisi.

Nanas yang memang sinonim dengan Pekan Nanas merupakan buah tropika yang berasal dari Amerika Selatan khususnya Brazil. Buah nanas ini dipercayai dibawa ke Tanah Melayu pada abad ke-16.

Di peringkat awal, nanas ditanam secara komersial di Pekan Nanas dan bermula dari situlah disebut dengan nama Pekan Nanas sehingga kini.

Pembangunan Pekan Nanas selari dengan arus globalisasi. Banyak kilang didirikan di sini antaranya Shimano, Mastersofa, kilang memproses dan mengetin nanas dan pelbagai lagi.

Selain itu, terdapat pelbagai jenis tanaman kontan dan komersial ditanam di Pekan Nanas menjadikannya sangat sinonim dengan tanaman kontang. Di sini, setiap inci tanah mempunyai nilai tersendiri dan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penduduk setempat.

Memperkatan tentang Pekan Nanas dan Tanjung Piai bermakna merapatkan diri dengan ekopelancongan yang bukan asing lagi kepada penduduk setempat. Kerajaan mula membangun dan mempopularkan ekopelancongan ini dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RM7) dan Rancangan Malaysia Kelapan (RM8). Ekopelancongan dilaksanakan secara serius melalui penubuhan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan (2016-2025) pada 2015.

Masyarakat dapat membezakan antara ekopelancongan dengan pusat pelancongan popular yang biasa dikunjungi seperti Menara Berkembar KLCC, Menara Kuala Lumpur, Zoo Negara dan sebagainya. Ia juga berbeza dengan konsep pelancongan massa yang sememangnya begitu popular dalam kalangan masyarakat berbanding ekopelancongan.

Ekopelancongan berkonsepkan alam semula jadi dan berkait rapat dengan elemen pendidikan dan pembelajaran. Ia berorientasikan pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi. Pada masa sama, ekopelancongan berpotensi menyumbang kepada aliran ekonomi setempat melalui perolehan pendapatan tukaran wang asing.

Penduduk Tanjung Piai sentiasa ceria menerima kehadiran pelancong. Kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi sedikit kelegaan kepada masyarakat Tanjung Piai. Di samping menyambut kehadiran pelancong, kedatangan ‘orang luar’ memeriahkan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung Mac nanti juga bakal mewarnai musim keceriaan menyambut tetamu yang datang. – UTUSAN

DATUK Seri Dr. Wee Jeck Seng ialah Ahli Parlimen Tanjung Piai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×