Olimpik: Percaturan strategik China - Utusan Malaysia

Olimpik: Percaturan strategik China

SUKAN Olimpik Musim Sejuk menjadi sandaran strategik China dalam mengangkat kedudukan, imej dan pengaruh setelah terpaksa menempuh persepsi serta tanggapan buruk terhadapnya. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKAN Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing yang sedang berlangsung menjadi medan pertaruhan kepentingan geopolitik antara China dan kuasa Barat diterajui Amerika Syarikat (AS). Temasya Olimpik kali ini menjadi pentas diwarnai polemik kontroversi dan kemelut kehangatan penguasaan pengaruh dan kepentingan strategik kuasa besar berpaksikan pertembungan dua ideologi dan kepentingan berbeza AS dan China.

Sukan Olimpik Musim Sejuk ini menjadi sandaran strategik China dalam mengangkat kedudukan, imej dan pengaruh negara Tembok Besar itu setelah terpaksa menempuh persepsi serta tanggapan buruk terhadapnya daripada sebahagian besar masyarakat global terutama sejak sedekad lalu.

Antara faktor pencetus utama terhadap kegusaran luar serta keruduman persepsi positif termasuk tindakan agresif dalam memperluas cengkaman ke atas wilayah strategik, rencana hubungan ekonomi yang dilihat sebagai cerminan licik untuk penguasaan kepentingan geopolitik, tindakan autoritarian yang menghakis demokrasi dan hak asasi manusia serta dampak pandemik Covid-19 di mana ia terus dikritik sebagai punca penularan wabak yang telah memporak-porandakan kelangsungan global.

Beijing sedar kesan kumulatif negatif hasil daripada polisi serta tindakan tersebut, namun dilihat perlu serta kritikal dalam meneruskan agenda pemerkasaan China sebagai kuasa baharu dunia yang akan membawa keseimbangan dan keharmonian kepada jalinan sistem sedia ada berlunaskan pengaruh AS. Sukan Olimpik Musim Panas 2008 di Beijing melakar kemuncak permulaan kebangkitan kedudukan China di persada hadapan global untuk memberikan saingan dan tekanan kepada AS dan sistem Barat.

Tahun 2008 juga menjadi titik mula kepada kebangkitan China sebagai alternatif efektif dan penyelamat kepada sistem kewangan dan ekonomi dunia setelah melihat kelemahan dan kemunduran AS yang bergelumang dengan krisis kewangan 2008 hasil kepincangan struktur dalaman berpanjangan Washington. Tempoh dominasi pengaruh positif China tidak bertahan lama terutama setelah kemunculan Presiden Xi Jinping yang menyaksikan perubahan dasar dan polisi strategik untuk memacu kepentingan negara itu melalui pelbagai pendekatan.

Kegusaran pihak luar terus dipalu dengan taktik dan teknik agresif dan dilihat sebagai tersusun dan licik dalam menelusuri perancangan jangka masa panjang pada 2050 untuk menjadi kuasa dominan global dengan era baharu, seperti diimpikan oleh Presiden Xi. Momentum soft power yang dimiliki sejak 2008 dan selepas Olimpik Beijing 2008 terus terhakis sejak sedekad lalu dengan krisis wabak Covid-19 yang menyemarakkan lagi sentimen anti-China.

VAKSIN

Presiden Xi yang menjadi nadi dan perencana utama dalam kejayaan Sukan Olimpik Beijing 2008 terus menyusun strategi sama untuk menjadikan Olimpik Musim Sejuk kali ini sebagai pemangkin untuk mengembalikan kepercayaan dan sentimen masyarakat global melalui rangkaian dan jalinan diplomasi melalui sumbangan vaksin kepada negara-negara membangun.

Beijing menjadi bandar raya pertama sebagai hos kepada kedua-dua Olimpik Musim Panas dan Musim Sejuk, seterusnya mencipta penanda aras baharu kepada kecemerlangan penganjuran temasya Olimpik di mana China bertekad untuk mempertahankan kejayaan dan impak yang dicipta.

Pentas sukan ini juga dilihat berupaya untuk memberikan tarikan positif kepada negara Barat yang lain memandangkan ia lebih ditujukan kepada negara-negara di hemisfera utara bermusim sejuk. Ia mula mendatangkan hasil awal di mana kebanyakan negara di Eropah tidak mengikuti jejak langkah AS, United Kingdom, Kanada, Australia dan beberapa negara lain dalam melaksanakan boikot diplomatik ke atas Sukan Olimpik ini.

Faktor pendorong utama dalam boikot ini iaitu kritikan kepada China yang melakukan penindasan kepada warga Uighur di Xinjiang termasuk tuduhan pembunuhan beramai-ramai, tindakan ke atas Hong Kong serta pelbagai penindasan dan pelanggaran hak asasi manusia lain.

Tajaan yang mencecah hampir AS$2 bilion (RM8.36 bilion) daripada pelbagai syarikat global utama termasuk Coca-Cola, Visa, Procter & Gamble dan Airbnb menjadi pertaruhan. Tersepit antara polisi AS untuk mengekang penindasan di Xinjiang serta sekatan dikenakan dan keperluan untuk memastikan kesinambungan pasaran kritikal di China dengan kuasa dan pengaruh 1.4 bilion penduduk, syarikat-syarikat gergasi ini terpaksa membisu dan kebanyakannya mempertahankan usaha tajaan mereka atas dasar kesukanan yang tidak terpalit dalam kancah percaturan politik. Ini tidak disenangi kebanyakan ahli Kongres AS. Intel Corporation sebagai contoh, terpaksa mengeluarkan pernyataan maaf selepas menerbitkan kenyataan di laman webnya yang meminta pembekal untuk menghindari sumber bekalan diperoleh dari Xinjiang.

China tidak berganjak untuk meneruskan momentum bagi mengubah persepsi dan cengkaman soft power bermula daripada Olimpik Musim Sejuk ini, namun Barat dan AS juga meneruskan usaha mengekang kebangkitan China dan melambatkan daya tujahan yang dimiliki China. Harapan Beijing untuk menjadikan platform Olimpik ini serta krisis di Ukraine sebagai pengalih perhatian kepada AS dan kuasa Barat lain tidak berhasil. AS memberi mesej serta amaran jelas kepada Beijing bahawa ia tidak terjejas dengan krisis di Ukraine dan tetap komited kepada kepentingan di Indo-Pasifik dengan latihan ketenteraan laut besar-besaran dengan Jepun minggu lalu melibatkan kapal pengangkut pesawat, USS Carl Vinson dan USS Abraham Lincoln serta kehadiran kapal selam berkuasa nuklear dan berkapasiti peluru berpandu kelas Ohio di Guam.

Jendela konflik berpanjangan telah pun dibuka dan pentas politik global akan terus diwarnai persengketaan di antara kedua-dua entiti tersebut di pelbagai lapangan.

PENULIS ialah Penolong Pendaftar di Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×