Menang dua pertiga tak bagus?

Menang dua pertiga tak bagus?

SEJAK Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, tidak banyak politiking dilihat kerana pemimpin dan rakyat fokus kepada kerja mereka. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMORANDUM Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai pada 13 September 2021 antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan adalah satu langkah yang baik. Satu langkah musyawarah yang mahu merentas parti, yang mahu berbincang untuk kepentingan awam, kepentingan rakyat dan kepentingan negara.

Walaupun begitu pada akhirnya kita sebagai rakyat yang perlu membuat keputusan melalui peti undi. Saya fikir kehendak rakyat wajib dihormati, dan selepas era Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), banyak pihak berpendapat tidak akan ada mana-mana perikatan ataupun sebuah parti menang majoriti mudah seperti dahulu.

Bagi saya, tiada pihak menang secara bersendirian ini bukan sesuatu yang buruk, bukan semestinya membawa ketidakstabilan. Mungkin itulah suatu norma baharu yang perlu dipelajari, diterima dengan hati terbuka kerana bila tidak ada sebuah parti mempunyai majoriti cukup, mereka tidak boleh memerintah sendiri.

Ini bermakna mereka, iaitu parti-parti yang menang tadi akan menghubungi satu sama lain untuk duduk, berbincang, berkompromi dan mencari persefahaman bagi membentuk kerajaan. Dan ini tidak semestinya perkara yang buruk. Ia buruk hanya bila ada wakil rakyat melompat ke sana sini.

Bagi saya, tidak ada sebuah parti mendominasi kerusi majoriti, maka itu sesuatu yang bagus kerana biarlah pemimpin-pemimpin parti-parti itu berkompromi antara satu sama lain. Ini bagus kerana kita sudah saksikan bukan sahaja di Semenanjung, malah di Sabah dan di Sarawak juga, bila parti menang dua pertiga kerusi, ia tidak prihatin kepada suara rakyat.

Sebab itu bila kawan-kawan tanya saya tentang pilihan raya negeri (PRN) di mana-mana sahaja, saya cukup selesa kalau mana-mana parti hanya menang tipis. Menang dua pertiga kerusi itu jangan lagi kalau boleh kerana parti yang ada dua pertiga kerusi atau lebih, ia kurang peka kepada suara rakyat malah kadang-kadang bongkak dengan mandat besar itu.

Bagaimanapun, dalam PRN Melaka dan PRN Sarawak yang baru lalu, disebabkan kelemahan parti-parti pembangkang, parti-parti kerajaan menang lebih dua pertiga kerusi. Kita kena hormati pilihan pengundi yang mungkin sudah jemu dengan politiking berlebihan tetapi kecenderungan begini tidak semestinya berterusan di negeri-negeri lain atau di peringkat nasional.

Bidang sains politik mengajar kita mengundi itu hanyalah salah satu daripada cara melibatkan diri dalam proses politik tetapi kuasa rakyat tidak berhenti selepas kita mengundi. Kita masih boleh melobi, menyampaikan hasrat, permintaan, kehendak, kemahuan kepada pemimpin walaupun selepas PRN atau PRU berakhir.

Dalam sesetengah amalan demokrasi, ada diperuntukkan kalau tidak senang dengan wakil rakyat, kita ada hak untuk meminta mereka turun dengan membuat petisyen dan sebagainya. Jadi, saya yakin dalam era baru selepas PRU14 ini, rakyat sudah mula sedar tentang pelbagai saluran yang boleh diguna untuk melibatkan diri dalam proses politik.

TIKTOK

Apa lagi dalam suasana pilihan raya sekarang, yang mana tidak membenarkan berkempen seperti biasa, jadi orang sudah mula menggunakan bermacam-macam cara baharu termasuk media sosial seperti TikTok dan mesej ringkas yang dalam masa pantas selepas dikirimkan oleh seseorang sudah boleh mencapai ratusan malah ribuan orang lain melalui perkongsian.

Jadi, inilah benda-benda baharu yang membangkitkan semangat yang mahu didengar oleh rakyat sekarang ini. Dan saya melihat ini sebagai sesuatu yang bagus tetapi malangnya kerajaan-kerajaan lama melihat ini sebagai satu cabaran kepada mereka.

Kitalah kerajaan sebenarnya, bukan perdana menteri, bukan ketua menteri, bukan menteri. Sebenarnya kuasa mereka itu kerana kita, bukan mereka duduk di situ kerana mereka.

Jadi, setinggi mana pun kedudukan kita dalam politik, sepatutnya seseorang itu lebih membumi, lebih mahu menyelesaikan masalah rakyat, bukan bila kita duduk dalam kerusi tinggi maka rakyat perlu menyembah dia. Saya rasa itu terbalik. Menteri sepatutnya bekerja untuk rakyat bukan rakyat perlu bekerja untuk menteri kerana gaji mereka datang daripada duit rakyat.

Setakat ini sejak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil-alih sebagai Perdana Menteri, kita tidak melihat banyak politiking. Ini baik kerana ia menunjukkan pemimpin dan rakyat fokus kepada kerja mereka. MoU antara PH dan kerajaan adalah suatu langkah yang baik kerana ia menunjukkan ahli-ahli politik sanggup bekerjasama untuk rakyat.

Dalam PRU15, kita tidak pasti apakah akan ada parti-parti politik yang mendapat mandat untuk memerintah secara sendirian tetapi seperti dinyatakan tadi, ketiadaan mandat kukuh bukan sesuatu yang buruk. Ini kerana mereka akhirnya terpaksa bekerjasama selepas PRU untuk membentuk pakatan setelah melalui proses tawar-menawar yang baik untuk semua pihak.

Pemimpin yang tidak mempunyai kuasa authoritarian akan disukai oleh rakyat. Saya sendiri mahu perdana menteri, ketua menteri dan menteri takut kepada saya sebab kita yang meletakkan mereka di sana. Bila kita yang menaikkan mereka, maka kita juga berkuasa menurunkan mereka. Demokrasi kita akan sihat bila rakyat sedar kuasa yang mereka ada. – UTUSAN

PROFESOR Datuk Dr. Jayum Jawan ialah penyandang Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×