KAUM India di Malaysia pasti kenal burung yang dinamakan kuyil dalam bahasa Tamil. Burung berkenaan yang biasanya dikatakan berwarna hitam juga digelar koel (Hindi), kukil (Kannada) dan kokilah (Sanskrit). Menerusi kajian bertajuk Etymology of Sanskrit Kokilah dalam jurnal Zeitschrift Der Deutschen Morgenlandischen Gesellschaft (2017), Niels Hammer menyebut, namanya berasal daripada kuku dalam bahasa Proto-Indo-Eropah.
Ada banyak lagu filem Tamil dari India yang mengangkat kuyil dalam lirik bagi menggambarkan suara gadis yang merdu. Sastera klasik dalam pelbagai bahasa di India juga selalu menyebut tentang burung ini yang pemalu kerana sentiasa berselindung di sebalik daun-daun pokok.
Dalam teks Manusmriti yang merupakan undang-undang klasik di India, ditegaskan burung kuyil perlu dilindungi daripada sebarang bencana.
Penyair agung India, Subramania Barathi menulis puisi panjang Kuyil Paatu (1923) yang menceritakan tentang seekor burung kuyil betina yang pandai bermadah kasih dengan seekor monyet, seekor lembu dan si penyair.
Penulis tempatan, Joseph Selvam menterjemah puisi itu dengan judul Nyanyian Burung (1979) manakala G. Soosai menterjemahkannya sebagai Madah Unggas Merana (1986). Walaupun kemerduan suara serta kecantikan bulu burung kuyil ditampilkan dengan nada penuh romantik dalam karya seni India klasik dan moden, burung itu yang dikenali juga sebagai Asian Koel, Eurosian Cuckoo dan burung sewah ada kisah hitam yang kurang diketahui umum.
Apatah lagi penghuni kota yang mungkin tidak pernah pun melihat burung ini. Kajian ilmiah bertajuk Interactions Between the Asian Koel and Its Hosts oleh Sajeda Begum, Arne Moksnes, Eivin Roskaft dan Bard G. Stokke di jurnal Behaviour (2011) mendedahkan pelbagai fakta yang mungkin boleh melunturkan imej romantik burung kuyil yang sinonim dengan simbol cinta dan rindu. Misalnya, kuyil yang bersuara merdu ialah burung jantan berwarna hitam, bermata merah dan berekor panjang. Burung betina pula berbulu warna perang dengan garisan putih bukan pemilik kepada suara merdu yang menggoda penyair dan seniman sejak zaman dahulu.
Burung kuyil adalah satu daripada 20 spesies burung Cuckoo yang terdapat di negara-negara Asia. Burung jantan menyanyi merdu pada musim mengawan untuk menggoda sang betina.
Penyanyi legenda India, KS Chithra diberi julukan Chinna Kuyil kerana kemerduan suara. Secara logik, hanya burung jantan yang bersuara merdu (ku ku) manakala burung betina tidak merdu (kik kik). Kes sajak panjang Kuyil Paatu oleh Subramania Barathi lebih malang kerana tentulah si penyair, lembu jantan dan monyet jantan jatuh cinta dengan seekor burung jantan bersuara merdu!
Kita tahu ayam dan pelbagai burung seperti merpati dan merbuk bertelur beberapa biji untuk dieram sehingga menetas. Burung kuyil pula hanya menghasilkan satu atau dua telur pada satu musim. Malah, pasangan burung ini yang memiliki jangka hayat 12 hingga 15 tahun tidak membuat sarang untuk bertelur.
Pasangan burung ini akan memperhatikan sepasang burung daripada spesies lain yang sudah mengawan dan bersedia untuk bertelur. Burung kuyil yang bersuara merdu dan diangkat sebagai simbol cinta dalam karya sastera, sebenarnya spesies parasit induk (brood parasite) yang memanipulasi dan mempergunakan spesies lain. Misalnya, burung gagak dan murai sering menjadi mangsa penipuan burung kuyil di India. Burung tiung menjadi mangsa di Bangladesh, Thailand dan Malaysia.
PARASIT INDUK
Budaya parasit induk oleh kuyil juga diperhatikan oleh pengkaji di China, Pakistan, Nepal, Sri Lanka, Maldives, Singapura, Indonesia dan Australia.
Pasangan burung kuyil akan menunggu dan mengintai sehingga burung tiung, gagak atau murai selesai bertelur. Kemudian, apabila sarang tidak berpenghuni, pasangan kuyil datang mematuk dan membuang telur dari sangkar.
Selepas itu, kuyil betina bertelur di sana. Kemudian, pasangan itu meneruskan hidup dengan bebas tanpa rasa tanggungjawab terhadap telur berkenaan. Burung tiung, gagak atau murai pula biasanya tidak menyedari penipuan yang berlaku. Burung betina bertelur lagi sebelum mengeram sehingga kesemua telur menetas. Jenayah dan penipuan pasangan kuyil langsung tidak diketahui.
Hal yang memeranjatkan tidak berakhir di situ. Telur burung kuyil biasanya menetas lebih dahulu berbanding telur gagak, murai dan tiung. Misalnya, telur burung gagak mengambil masa 17 hingga 20 hari untuk menetas, manakala telur burung kuyil hanya memerlukan masa 13 hingga 16 hari.
Si anak kuyil yang baru menetas tergamak pula mematuk dan membunuh anak-anak burung gagak, tiung atau murai yang menetas kemudian. Naluri semula jadi ini merupakan usaha memastikan anak kuyil tidak perlu berkongsi makanan yang dibawa ibu bapa angkatnya.
Budaya dan wajah sebenar burung kuyil turut didedahkan menerusi sebuah rencana di akhbar The Hindu (24 Jun 2016) di mana penulis menyifatkannya “unggas parasit licik yang sangat agresif.”
Pelbagai kajian saintifik membuktikan gagak adalah burung yang amat bijak dan memiliki daya kognitif tinggi. Masih ingat cerita gagak memasukkan batu-batu kecil ke dalam pasu untuk minum air? Kebijaksanaan gagak bukan hanya rekaan dan dongeng. Akan tetapi, para pengkaji masih tertanya-tanya bagaimana gagak gagal mengesan telur kuyil yang diseludup masuk ke dalam sangkarnya.
Ada pandangan mengatakan, gagak memiliki sifat penyayang dan tidak sanggup meminggirkan telur kuyil walaupun disedari bukan miliknya. Gagak dan kuyil jantan sama-sama berbulu hitam. Sering juga orang India menggunakan perbandingan untuk menegaskan, “mustahil gagak boleh menjadi kuyil.”
Sebenarnya jika difikirkan, mustahil kuyil boleh hidup dan bersuara merdu tanpa pengorbanan gagak bersuara parau yang sudi mengeramkan telur dan memberi makan kepada anak burung kuyil yang diketahui bukan anak sendiri. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










