MUKADIMAH
DIBERI mandat oleh Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu kelewatan, kerosakan dan projek terbengkalai Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) kerana bagi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Keluarga Malaysia yang bahagia segala-galanya bermula di rumah adalah tugas mencabar.
Cabaran itu disambut Pengerusi PR1MA yang baharu, DATUK DR. FATHUL BARI MAT JAHYA, melalui pendekatan turun padang bagi melihat projek sakit dengan berpegang kepada 5M iaitu melawat, menganalisis dan menilai, menekan, menyelesaikan serta memantau.
Dalam sesi temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, FARIZ RUSADIO di Petaling Jaya, baru-baru ini, beliau yang 20 Februari ini genap 100 hari menjawat jawatan itu turut memaklumkan telah mengambil inisiatif menjawab sendiri sebahagian besar masalah yang diadu terus kepadanya melalui platform media sosial.
ISU AWAM
UTUSAN: Apakah yang menjadi keutamaan setelah dilantik ke jawatan baharu ini?
FATHUL BARI: Pada saya isu perumahan ini isu rakyat, jadi sesiapa sahaja berhak komen di media sosial dan ia secara automatik menjadi isu awam.
Jadi, bila pembeli membeli rumah PR1MA, harapan dia ia siap dalam tempoh yang dijanjikan dan siap dalam keada-an rumah tersebut berkualiti. Ini dua perkara besar yang semua pembeli harapkan.
Jadi, bila saya menyertai PR1MA, perkara paling utama saya nak tahu kategori pembeli kita ini, apa kedudukan dan status pembeli serta rumah-rumah yang mereka beli?
Sebab orang sudah bayar, terutama kalau dibuat melalui potongan gaji seperti Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).
Kalau rumah tak siap atau lambat siap, walaupun PR1MA kita bayar ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) yang diberikan kepada pembeli tetapi masih lagi orang terpaksa membayar dua perkara, satu buat potongan gaji dan keduanya terpaksa membayar sewa rumah sedia ada.
Bila masuk rumah pula ada isu kerosakan yang perlu diselesaikan. Sebab itu, hari pertama saya masuk pejabat, saya petang itu selepas ber-kenalan dengan pengurusan tertinggi, terus ke Melaka untuk melawat projek kita di sana.
Bukankah melawat tapak projek adalah rutin pihak pengurusan sesuatu organisasi?
Saya bukan melawat biasa kerana saya ada pelan 5M iaitu melawat, menganalisis dan menilai, menekan, menyelesaikan serta memantau. Saya kena turun melawat semua (projek) dan untuk makluman semua pembeli. Bila melawat ini saya menganalisis dan menilai projek dengan mengadakan perbincangan bersama kontraktor dan dengan perunding pengurusan kontrak (CMC) kita di sana yang memberikan laporan kepada saya.
Kemudian saya menekan kontraktor. Sebab PR1MA memberikan kepada kontraktor untuk melaksanakan projek. Tidak adil orang nak marah kita semata-mata. Kita minta apa yang dilakukan ini mendapat sokongan juga daripada pembeli, kena memberi tekanan kepada kontraktor.
Kita tidak nafikan ada kontraktor-kontraktor ini, dia nakal sikit, lambat siap, tanpa alasan yang kukuh. Alasan kekurangan pekerja akibat Covid-19, betul kita tidak nafikan untuk berlaku adil kepada kontraktor. Tetapi bukan perumahan sahaja menghadapi isu ini, bahkan industri lain pun mengalami masalah kekurangan pekerja.
Sepanjang tempoh Co-vid-19 ini, untuk memastikan kontraktor cepat ataupun siapkan pada tempoh dijanjikan, kita bagi pakej rangsangan (dalam bentuk wang) kepada kontraktor.
Jadi, yang saya katakan nakal tadi adalah apabila pakej rangsangan dapat tetapi kerja tak buat lagi dan lambat siap. Ini turut melibatkan kontraktor yang terdiri daripada syarikat-syarikat besar juga.
Pakej rangsangan ini diberi tetapi harga rumah tidak naik, ini akan memberi kesan kepada aliran tunai kita. Ini dibuat supaya pembeli beroleh manfaat, sebab PR1MA agensi kerajaan yang bukan berorientasikan keuntungan. Kalau nak kira untung dan rugi, baik kita potong semua kos. Tapi kita tak nak buat itu untuk memastikan rakyat mendapat rumah yang sesuai didiami.
TEKANAN
Apa bentuk tekanan yang diberikan kepada kontraktor?
Bila kita lihat ada kesilapan dan kesalahan yang perlu kita perbetulkan dan perbaiki, kita beri tekanan kepada kontraktor dengan memberikan surat amaran. Ada kes tuntutan bayaran kontraktor utama kita bayar terus kepada subkontraktor setelah mereka mengadu tidak menerima bayaran.
Bila tidak dapat bayaran, apa perasaan kita sedangkan sudah buat kerja habis semua. Ada subkontraktor melakukan perkara-perkara yang agak serius seperti merosakkan kerja-kerja di tapak sebagai tindak balas.
Bila bayar terus kepada subkontraktor, baru dia baiki dan betulkan balik. Saya kena beritahu benda ini, supaya pembeli dan orang awam faham (punca kerosakan dan kelewatan projek).
Apakah tekanan yang diberikan kepada kontraktor projek Perumahan Residensi Tebrau di Johor Bahru yang mengalami kelewatan?
Di Tebrau, kita tamatkan kontrak kontraktor terbabit. Bukan senang kita hendak tamatkan begitu sahaja sebab implikasinya akan balik kepada pembeli.
Dalam kes ini, kita telah lantik kontraktor baharu dan projek sudah disiapkan dan diduduki. Cuma kerosakan yang ditinggalkan oleh kontraktor lama masih ada. Kita masih lagi dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP) tetapi dekat nak habis sudah.
Pada saya, isu kerosakan ini mana-mana pun ada, cuma oleh kerana kita ini rumah dibina kerajaan, jadi orang akan berikan tumpuan kepada kita. Ada yang kecil dan ada yang serius macam di Tebrau. Kerosakan yang saya boleh katakan banyak, hampir 80 peratus rumah ada kerosakan.
TOD
Apakah yang Datuk nak cakap kepada pembeli rumah PR1MA yang berada dalam kategori projek sakit?
Pertama kali, saya kena minta maaf, walaupun saya bukanlah orang yang bertanggungjawab nak tanggung kesalahan (pengurusan terdahulu). Saya baru tiga bulan, tetapi sebab saya pegang peranan dan tanggungjawab ini, saya tetap kena tengok, saya tidak boleh letakkan perkara ini ke tepi. Saya tidak boleh tidur kalau tidak dapat selesaikan isu-isu pembeli.
Apakah inisiatif baharu PR1MA?
Walaupun tumpuan kita pada isu kelewatan, kerosakan dan projek terbengkalai, namun itu tidak boleh menjadikan kami pasif sehinggakan tidak boleh memikirkan agenda baharu.
Kita ada 1,800 ekar tanah yang perlu dibangunkan dengan projek-projek baharu termasuk perumahan untuk orang muda dan projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang sebelum ini tidak dilaksanakan secara serius.
Kita juga sedang proses perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk kemasukan tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ke perumahan PR1MA.
Kita juga kaji untuk melaksanakan pertumbuhan mampan dalam agenda alam sekitar (ESG) dan karbon sifar di perumahan kita dengan perkara asas adalah memberi tumpuan kepada kebersihan dan sistem pembuangan sampah yang lebih terurus.
PARTI BERSATU CAKAP BESAR?
Adakah Datuk hanya memberi tumpuan sebagai Pengerusi PR1MA?
Saya memakai dua topi, satu topi Pengerusi perbadanan ini dengan inisiatif-inisiatif baharu yang akan saya umumkan nanti. Satu lagi, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Politik adalah sebahagian daripada saya, saya tak dapat lari. Saya juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar.
Hubungan UMNO dengan Pas nampaknya semakin retak?
Dalam konteks Perlis, hubungan kami (UMNO negeri) dengan Pas negeri sangat baik.
Kami tiada masalah. Kenapa kami nak kena terlibat dalam krisis Pas di Pusat? Saya kira Pas (Pusat) pun kalau kita lihat, ada krisis dalaman dan perbezaan pendapat antara dua kumpulan berbeza.
Saya tak nak masuk campur tentang urusan kekeluargaan Pas. Bagi mereka uruskan, cuma pada saya yang tak bergaduh kenapa nak digaduhkan?
Sangat positif, kalau waktu itu pilihan raya, saya rasa dua pertiga senang-senang sahaja (dapat). Jadi, kenapa kerana isu-isu kecil sahaja, yang sepatutnya kita boleh cari titik temu untuk memperkasakan kembali Muafakat Nasional (MN), bukan mencari jalan untuk pecahkan?
Komen tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mahu jadi parti dominan?
Bersatu partinya tidaklah besar, kecil sahaja tetapi cakapnya itu besar. Nasihat saya kepada Bersatu, perlu lihat maslahat (faedah) umum itu lebih besar daripada maslahat kepartian politik semata-mata. Sekarang ini sikap Bersatu, Pas dan sebahagian daripada pemimpin UMNO sendiri telah menyulitkan kedudukan kerajaan.
UGUTAN
Boleh jelaskan maksudnya?
Yalah, macam mana tidak menyulitkan, Perdana Menteri daripada UMNO iaitu naib presiden parti. Pas dengan Bersatu duduk menyerang UMNO. Perdana Menteri memerlukan sokongan daripada semua pihak. Kita dan semua orang pun tahu, Perdana Menteri tidak dapat mandat penuh sekarang dan kita kerajaan yang tidak stabil.
Jadi, tak adil untuk dihukum Perdana Menteri dan diperkotak-katikkan dia punya keputusan, tak boleh. Contohnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin umum di Johor Bahru, tekan butang. Pada saya, tak sepatutnya sebagai Presiden (Bersatu) buat ugutan yang macam itu. Parti politik, parti politiklah. Kerajaan harus berjalan sampai tempohnya.
Jadi, ugutan-ugutan macam ini tidak bagus, sebab kita (kena) bagi peluang kepada Perdana Menteri. Okey cuba tengok dari awal, Datuk Seri Ismail Sabri naik, baru nak buat perancangan untuk bajet diumum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, akibatnya bajet tenggelam.
Apakah yang sepatutnya dilakukan parti politik?
Pada saya, kita tidak boleh terlalu berpolitik sangat, tidak adil untuk Perdana Menteri. Kita ha-rapkan satu sahaja, tindakan-tindakan yang boleh menyulitkan kedudukan sebagai Perdana Menteri (dihentikan).
Tidak adil untuk kita menghukum beliau sebagai Perdana Menteri yang gagal sebab beliau tidak boleh fokus. Orang pun tertumpu kepada PRN, dan soal banjir. Walhal bila kita duduk dengan Perdana Menteri, banyak inisiatif yang dia sudah buat dan akan buat.










