KEPUASAN tidak terungkap melihat kanak-kanak berusia lima tahun melompat girang sejurus menjejak kaki di kediaman transit, petang menjelang Hari Raya Aidilfitrii.
Riak kegembiraan terpancar pada wajahnya menjelaskan jerih perih dilalui lebih setengah tahun bersama ibunya yang hamil tujuh bulan dan ayahnya berusia 47 tahun menumpang teduh di pondok ‘kitar semula’ di hutan mini berjirankan menara gading di pinggir kota.
Ini hanyalah sebuah kisah daripada sejumlah 23 keluarga di penempatan pinggiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak yang kini dikenali sebagai Desa
Sejahtera. Isunya bukan sekadar kemiskinan dan pendidikan, bahkan merentas aspek sosial, ekonomi dan persekitaran.
Hasil profil komuniti dan pemetaan isu yang dilakukan bersama komuniti setempat, beberapa solusi jangka masa pendek dan sederhana dikenal pasti agar aspek pendidikan dan kesihatan, peluang pekerjaan dan pembinaan kapasiti serta persekitaran yang sihat dan selamat diberi perhatian sewajarnya. Mengambil kira latar belakang dan keperluan yang pelbagai, UIAM menerusi Pusat Kepakaran Serantau (RCE) Greater Gombak, rakan-rakan sinergi serta pemegang taruh pelbagai peringkat berganding bahu dalam mencari penyelesaian jangka masa panjang.
Demikian kisah Desa Sejahtera dan salah satu usaha memanusiawikan pendidikan. Dengan acuan sentuhan murni libatsama komuniti berorientasikan komuniversiti, keterlibatan ahli akademik, pentadbir dan pelajar membawa bersama keseluruhan warga universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat setempat, agensi kerajaan dan sektor perniagaan bergabung membantu masyarakat dalam rangka Transformasi Menyeluruh Komuniti (TMK) ke arah masyarakat mampan.
Ini merupakan sebahagian daripada usaha ke arah mengetengahkan konsep komuniversiti di mana universiti dan komuniti bekerjasama rapat sebagai wadah pembelajaran, penyelidikan bertanggungjawab dan pemberdayaan masyarakat.
Berbeza dengan projek-projek khidmat masyarakat yang kebiasaannya bersifat touch ‘n go, libatsama masyarakat berorientasikan komuniversiti bermula dari peringkat awal lagi. Universiti tidak lagi seperti menara gading menetapkan semuanya, sebaliknya komuniti turut terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan.
Usaha-usaha ini adalah seiring dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memasyarakatkan universiti selari dengan Pelan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi.
Ditubuhkan pada Mac 1995 sebagai pusat khidmat masyarakat, Sayap Belia RCE Greater Gombak, CENSERVE kini menaungi 17 kelab berteraskan kesukarelawanan.
Seiring dengan salah satu misi UIAM dalam menyediakan persekitaran yang menumbuhkan jiwa tanggungjawab sosial dalam kalangan warganya, semangat dan komitmen UIAM diperutuh dengan penubuhan Pusat Sejahtera untuk Kelestarian dan Kemanusian. Salah satu fungsi utamanya iaitu Kejiranan Sejahtera direalisasikan menerusi platform RCE selaku Sekretariat RCE Greater Gombak (RCE G2).
Dengan rangkaian lebih 170 pusat RCE Global, CENSERVE selaku sayap belia RCE G2 memiliki pentas yang lebih luas dalam mengangkat kejayaan di peringkat komuniti setempat ke peringkat global serta menjalinkan rantaian kolaborasi merentas dunia.
PEMENTORAN
CENSERVE-RCE G2 Youth Wing turut menghubungkan belia dan warga kampus di Kuantan, Pagoh dan Gambang melalui Makmal Alami Kesihatan Lestari RCE G2@IIUM Kuantan dan Makmal Alami Edu-Pelancongan RCE G2@IIUM Pagoh. Di Gombak pula, Pusat Akar Budi (ABC) UIAM berperanan sebagai Makmal Alami TMK.
Bermula Julai 2017, ABC UIAM di Batu 12, Jalan Gombak menjadi medan pelajar UIAM menawarkan perkhidmatan pementoran kepada pelajar sekolah di komuniti setempat. Pasca Covid-19 menyaksikan potensi ABC dimanfaatkan dengan aktiviti-aktiviti pemberdayaan komuniti setempat melalui projek Jarum Emas, Jemari Hijau dan bengkel usahawan. Sebelumnya, inisiatif awal dimulakan menerusi projek Singgah Sedekah yang dikemudi pesara UIAM dengan kerjasama para alumni dan warga kampus UIAM.
Bangunan ABC yang juga menempatkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Gombak membolehkan pelaksanaan aktiviti intergenerasi antara warga emas, pelajar UIAM serta warga kampus amnya. Ini menjadi batu loncatan dalam membantu usaha Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam mencapai penuaan aktif, positif, sihat dan penuaan produktif sebagai persediaan menghadapi negara tua menjelang 2030.
Melebarkan sayap, ABC yang berjiran dengan masyarakat peribumi (menghimpunkan lebih 16 suku kaum) membuka ruang pembangunan Modul Naturegogy yang dikemudi oleh rakan sinergi berpusat di Makmal Alami Ilmu Tradisi RCE G2@IPG KTAA, Kuala Lipis.
Fasa baharu ABC UIAM dalam memacu agenda komuniversiti turut menyaksikan integrasi libatsama komuniti dalam pendidikan formal dan bersifat transdisiplin. Antara projek-projek libatsama komuniti meliputi Pendidikan Transformatif, Pembangunan Kapasiti, Pembangunan Luar Bandar, Pemberdayaan Ekonomi, Pendidikan Alam Sekitar dan Bandar Mampan. Projek-projek ini terlebih dahulu melalui proses profil dan pemetaan komuniti.
Usaha ini bukan sahaja membantu proses kesalinghubungan dan dokumentasi aktiviti libatsama komuniti di peringkat universiti, malah membantu melahirkan pelajar yang lebih peka dengan tanggungjawab sosial.
Melangkaui pendidikan tradisi, ia memberi peluang pembelajaran pengalaman bersama komuniti di lapangan. Tidak terhad sekadar ‘belajar untuk pengetahuan’ dan ‘belajar untuk bertindak’ tetapi juga ‘belajar untuk kemenjadian’ dan ‘belajar hidup dalam kebersamaan’ dalam usaha menterjemahkan ‘rahmat untuk semua.’
Menjelang 2023, genaplah usia UIAM menyumbang bakti kepada masyarakat di tanah air dan antarabangsa hampir empat dekad. Namun, apakah sistem penilaian sedia ada menghargai serta melihat peranan universiti terutama impak terhadap masyarakat dengan sewajarnya? Dalam usaha memasyarakatkan universiti, UIAM bersama empat universiti awam lain dengan sokongan KPT mengorak langkah memperkenalkan Sistem Penilaian Universiti Pasca-Covid berorientasikan komuniversiti.
Natijahnya, projek-projek sentuhan murni libatsama komuniti berorentasikan komuniversiti ini bukan sahaja memenuhi tuntutan kemanusiaan sejagat (Matlamat Pembangunan Lestari), malah lebih utama lagi memenuhi tuntutan agama dengan memelihara nyawa, akal dan harta misalnya. Dengan demikian, mengisi dan memaknai keberadaan UIAM ditengah-tengah masyarakat setempat dan global sebagai sebuah komuniversiti. – UTUSAN
PENULIS ialah Pegawai Tadbir di Sejahtera Centre for Sustainability and Humanity, Universiti Islam Anatarabangsa Malaysia (UIAM), merangkap Sekretariat RCE Greater Gombak.










