Czechia atau Republik Czech?

Czechia atau Republik Czech?

NAMA rasmi pendek Republik Czech dalam bahasa Inggeris diwartakan sebagai Czechia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA menaip di komputer riba dalam sebuah hotel dekat Presint 2, Putrajaya baru-baru ini, saya didatangi seorang diplomat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Asalnya lelaki Eropah itu cuma tertarik melihat cara santai saya bekerja dan secara kebetulan Pejabat PBB Malaysia atau disebut UNMA terletak bersebelahan.

Namun, apabila saya bercerita pernah bekerja di Meja Luar Negara Utusan Malaysia, perbualan kami bertukar lebih ‘sejagat’ dengan pelbagai topik antarabangsa. Antara isu diketengahkannya ialah pemerhatian beliau mengenai tahap literasi media di Malaysia berhubung kepelbagaian nama negara agak kurang tepat.

Dalam kes terpencil, beliau bersetuju dengan pandangan saya ada juga pengecualian tertentu untuk pemahaman mudah pembaca yang mungkin bukan latar belakang sains politik global. Contoh klasik paling senang ialah Korea Selatan dan jirannya, Korea Utara yang masing-masing sepatutnya ditulis Republik Korea (RoK) dan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK).

Setakat ini, hanya Kementerian Luar Negeri atau lazim disebut Wisma Putra menggunakan nama formal ditetapkan oleh PBB itu dalam semua urusan termasuk kenyataan akhbar. Sebaliknya, media negara ini seperti juga di luar negara (kecuali China) tidak pernah menulis nama dua negara tetangga tersebut sebagai RoK dan DPRK dalam laporan mereka.

Beliau ‘terperasan’ banyak media tempatan masih merujuk sebuah negara Eropah terus kekal dengan nama lama era kejatuhan bekas Kesatuan Soviet pada 1992. Ia susulan lawatan kerja Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar ke Czechia yang ditulis Republik Czech.

MALAS

Mungkin isu ini tampak kecil tetapi bagi orang luar, ia menunjukkan petugas media Malaysia ‘malas’ membaca atau membuat rujukan nama rasmi negara yang ditetapkan ikut standard PBB.

Sekadar renungan, nama Czechia sudah lama digunakan negara itu lebih 30 tahun lalu dan diperakui oleh Kumpulan Kerja Pakar Nama Geografi PBB dalam pelbagai bahasa pada 2017. PBB masih menggunakan nama formal negara itu sebagai Republik Czech tetapi nama rasmi pendek dalam bahasa Inggeris diwartakan Czechia.

Semua negara di dunia yang tiada sistem beraja memang pun ialah republik. Logiknya, kalau mahu berlaku adil, hanya 43 negara yang ada pemerintahan monarki tidak dianggap republik. Namun, pelik kenapa Czechia sahaja perlu ditulis sebagai Republik Czech?

Lagipun bukankah lebih jimat masa, tenaga selain tidak banyak makan ruang apabila nama Czechia cuma ada dua suku kata berbanding Republik Czech yang panjang empat suku kata.

Jangan bimbang, selain RoK dan DPRK, PBB ada menyenaraikan hanya lapan negara di dunia ketika ini yang wajib ada perkataan republik pada nama rasmi. Antaranya Dominica dan Congo untuk mengelak kekeliruan pula dengan negara jirannya yang turut menggunakan nama serupa walaupun kedua-duanya memang tiada sistem beraja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×