MUKADIMAH
SEJAK kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Manis Muka Mohd. Darah dari Parti Warisan Sabah (Warisan) pada 17 November lalu, kawasan itu tidak mempunyai wakil rakyat.
Rentetan proklamasi darurat setempat, Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak dilaksanakan, walhal negara sudah menyaksikan beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, Melaka, Sarawak dan tidak lama lagi, Johor. Ironinya, kesemua negeri itu dinaungi parti-parti politik kerajaan yang situasinya berbeza di Bugaya apabila Warisan sebagai pembangkang mentadbir kawasan berkenaan.
Dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, baru-baru ini, Ketua Wirawati Warisan Semporna, FARADIBAH SABARDIN yang juga anak Manis Muka menyuarakan kemusykilan mengapa terlalu lama untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan PRK DUN Bugaya.
Anak jati suku kaum Bajau ini antara lain tidak menolak jika diberi peluang menjadi calon baharu sekali gus meneruskan legasi politik keluarganya.
UTUSAN: Apa perkembangan politik di DUN Bugaya?
FARADIBAH: Sejak ibu saya meninggal dunia akibat sakit buah pinggang, sehingga kini Warisan sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya tetapi sekarang masih ditangguhkan. Saya rasa ‘pihak sebelah’ sana sengaja melengah-lengahkan pelaksanaan pilihan raya. Kenapa PRN Sarawak, Melaka dan terbaru, Johor boleh dilakukan sedangkan Bugaya terpaksa menunggu terlalu lama? Adakah DUN Bugaya ini berada di luar negara?
Dalam tempoh setahun dua ini juga ketika pandemik Covid-19 masih merebak, kami tetap melakukan kerja-kerja politik, mendengar aduan dan rintihan masyarakat serta memberikan bantuan. Jadi, bukan kami ‘tidur’ atau tidak bergerak langsung.
Dalam parti, saya cuma menyandang jawatan Ketua Wirawati Warisan, tetapi sejak pemergian ibu, saya seolah-olah meneruskan kerjanya. Orang datang macam biasa ke rumah untuk berurusan. Namun, saya tidak mampu menghulurkan sumbangan wang, cukup dengan barangan asas seperti beras. Saya ingat lagi, ada penduduk yang sanggup datang ke rumah sambil membawa cupak.
Adakah anda akan meneruskan legasi kerusi keluarga?
Sebenarnya, saya agak terganggu kerana sekarang sudah disebut-sebut sebagai pengganti ibu. Itu pun kalau diberi peluang oleh pimpinan tertinggi parti, tetapi saya tidak pernah meminta posisi itu. Saya tidak mahu fikir siapa akan menggantikan ibu. Saya mahu terus bekerja dalam parti. Cuma, kalau diberi peluang, kenapa tidak saya cuba?
Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir mahu berjuang menjadi calon, tetapi apabila ibu sudah meninggal dunia, saya berperanan menjadi wakil dan ejen pilihan rayanya. Jadi, saya rasa ada pengalaman menjadi ‘calon’ selain ketua wirawati. Saya bukan sahaja bekerja di DUN Bugaya, malah bekerja untuk ketiga-tiga DUN dalam Parlimen Semporna.
Jika bakal calon bukan dalam kalangan ahli keluarga?
Saya dan adik-beradik lain sudah berbincang. Kami tetap akan turun bantu dan mengundi di DUN Bugaya.
Anda rasa Warisan akan mempertahankan kerusi DUN Bugaya melawan UMNO?
Saya tidak mahu cakap besar, tetapi Warisan lahir di Semporna. Untuk orang lain (parti politik) mencuba mungkin boleh sahaja. Tetapi dengan jentera kami yang masih tidak pernah berhenti bekerja, saya yakin Warisan akan mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya nanti.
Sejak awal Warisan dibentuk, semangat kami memang lain dan membuak-buak. Shafie (Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) menang besar di DUN Senallang, Datuk Jaujan Sambakong menang di DUN Sulabayan dan ibu saya di DUN Bugaya. Mereka tidak pernah dikalahkan oleh calon-calon lain. Bukannya saya sombong dan bongkak, tetapi ini kenyataannya di Semporna. Apatah lagi dengan pilihan raya yang sudah lama ditangguh, membuatkan rakyat tertanya-tanya dan ternanti-nanti, bila ia boleh dilaksanakan?
Apa janji-janji Allahyarhamah yang belum tertunai?
Ibu pernah membawa usul termasuk membina balai polis dan klinik kesihatan. Ia sudah diutarakan di peringkat DUN tetapi selepas itu beliau sudah tidak sihat dan tidak dapat hadir ke mesyuarat DUN sebanyak dua kali. Pun begitu, dalam tempoh setahun lebih, alhamdulillah sudah terbina kompleks sukan, dewan-dewan terbuka di sekolah dan baik pulih jambatan.
Anda akan teruskan janji tersebut?
Ya, saya akan teruskan dan mungkin menambah baik lagi. Di pihak ibu, saya mohon maaf kerana pilihan raya ini tertangguh.
Anda bertanggungjawab mendekati golongan muda berikutan pelaksanaan Undi18?
Setiap tahun akan ada takwim dan sudah terlalu banyak program saya lakukan (dengan orang muda) termasuk penjanaan ekonomi, kursus kemahiran seperti jahitan.
Dalam tempoh tiga tahun lebih sejak menyandang jawatan ini, saya belajar sedikit demi sedikit, mengumpul pengalaman dan terus belajar.
Di Sabah khususnya Semporna sering kali menyaksikan pertembungan politik sesama ahli keluarga?
Keluarga tetap keluarga dan politik tetap politik. Inilah keunikan politik di Semporna kerana dalam berlawan-lawan pun, akhirnya calon dihadapi juga adalah individu terdekat, paling tidak pun masih ada hubungan kekeluargaan.
Macam Shafie sendiri, beliau bertanding dengan sepupunya, Datuk Seri Nasir Sakaran (BN-UMNO). Mohd. Daud Tampokong (PN-Bersatu) juga sepupu ibu dan dalam kenduri masih boleh berjumpa, boleh duduk semeja.
Tidakkah menjejaskan hubungan kekeluargaan?
Saya tidak rasa begitu. Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan juga adik-beradik tetapi bertanding sesama sendiri dalam pilihan raya. Selepas kemenangan atau sesiapa pun, sama seperti ibu saya, mereka masih boleh berpimpin tangan masuk ke dalam dewan untuk penamaan calon, dan mungkin saya akan ikut cara ibu saya.
Saya tidak akan bermusuh dengan keluarga. Budaya di sini bukan melemparkan kata-kata kesat dan memburuk-burukkan keluarga. Ia sebenarnya berbalik kepada hala tuju parti itu sendiri. Kalau pilih Warisan atau UMNO, apa hala tujunya? – UTUSAN










