KEDATANGAN Tahun Baharu Cina menggamit perasaan rindu akan kenangan indah bersama arwah nenek. Walaupun tidak merayakan sambutan Tahun Baharu Cina, nenek tidak pernah lupa menyediakan hidangan istimewa pada malam tahun baharu sebagai simbolik kepada majlis makan besar.
Makanan khas untuk tahun baharu seperti kuih bakul dan limau mandarin biasanya nenek beli sejak awal lagi. Tidak ketinggalan juga pohon limau, buluh bertuah, pokok kekwa serta pussy willow yang begitu sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina. Secara tidak langsung, nenek mendidik kami mengenali dan mengingati tradisi keturunannya.
Saat paling menyeronokkan ialah apabila saya dan kakak-kakak bersama-sama mengucapkan, “Kong Hee Fatt Choy, nenek” pada pagi tahun baharu. Inilah istilah dalam bahasa Cina yang diajar oleh nenek ketika saya masih kecil. Nenek lebih suka menggunakan ucapan Kong Hee Fatt Choy berbanding Gong Xi Fa Cai, iaitu ucapan yang sama dalam Mandarin.
Keluarga nenek sebelah ibu berasal dari China. Menurut cerita arwah moyang, ayahnya, Abdullah Sulaiman Al-Yunani bersama dua saudara bertekad meninggalkan tanah asal mereka untuk mencari tempat baharu di mana mereka dapat bebas menunaikan amal ibadat.
Buyut belayar meninggalkan Guangdong dan memulakan perniagaan di Singapura sebelum akhirnya menetap di Kuala Terengganu. Kedatangan mereka disambut baik oleh pemerintah dan masyarakat Melayu tempatan. Pemerintahan Kesultanan Melayu Terengganu di bawah Almarhum Sultan Zainal Abidin III mengamalkan konsep keterbukaan dan mahabbah.
Almarhum mengalu-alukan kedatangan para ulama serta pedagang luar, khususnya yang beragama Islam untuk menetap dan bersama- sama memakmurkan negeri itu.
BATIK
Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Sikap inilah yang menjadi amalan hidup keluarga nenek. Memahami bumi yang dipijak bukan milik mereka, maka mereka berusaha menjaga adab agar tidak mengganggu perasaan penduduk tempatan. Hasilnya, buyut tidak hanya fasih berbahasa Melayu, malah boleh menulis dan membaca dalam tulisan Jawi dengan baik.
Bak kata pepatah, masuk ke dalam kandang kambing mengembek, masuk ke dalam kandang kerbau menguak. Keluarga nenek tidak mengasingkan diri daripada komuniti Melayu. Mereka selesa hidup dalam masyarakat Melayu walaupun terdapat komuniti Cina peranakan yang tinggal berdekatan. Malah, mereka juga tidak kekok belajar mengasimilasi budaya tempatan ke dalam kehidupan mereka.
Generasi moyang pula berusaha mengamalkan cara hidup Melayu sepenuhnya sehinggakan rata-ratanya mereka tidak lagi bertutur dalam bahasa Cina. Apabila ada majlis keramaian, yang lelaki bangga berbaju Melayu dan bersongkok sementara wanitanya pula berbaju kurung dan bertudung. Mereka juga berkain batik dan berpelikat seperti kebiasaan orang Melayu Terengganu.
Sungguhpun begitu, mereka sentiasa menghayati warisan budaya nenek moyang kami. Nenek sering berkata, walaupun dia berbangsa Melayu tetapi hakikatnya dia juga ‘orang Cina.’ Warna kegemaran nenek adalah merah, iaitu warna yang disifatkan oleh orang Cina sebagai pembawa ong. Nenek juga sukakan angka lapan dan sering memakai gelang jed berwarna hijau.
Dalam soal makanan pula, nenek berbangga menghidangkan kami pelbagai jenis masakan Cina yang enak. Malah ibu saya handal memasak pelbagai hidangan Cina yang kini menjadi kegemaran kami sekeluarga. Semua ini berjaya mengikat kami sebagai generasi kelima dengan asal usul darah keturunan nenek.
ahmad Saya berasa amat bersyukur kerana mempunyai asal usul keluarga sebegini. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya ke atas roh-roh mereka yang telah mendahului kita, amin.
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










