KUALA LUMPUR: Tiada mana-mana undang-undang di dunia yang memberikan kebebasan mutlak kepada media untuk melaporkan atau menyatakan apa sahaja tanpa sebarang batasan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebebasan media tetap tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk membabitkan Perdana Menteri serta pengamal media
“Tidak ada yang saya tahu, undang undang di dunia yang memberi kebebasan mutlak kepada semua media untuk menyatakan apa saja. Tidak ada.
“Perdana Menteri dan pengamal media terikat dengan undang-undang. Tapi saya setuju, jangan mengheret wartawan dengan mudah dalam kes-kes yang difikir oleh jabatan kerajaan. Sebab itu sekarang ini ada Majlis Media.
“Setahun yang lalu tidak ada kes langsung dengan wartawan walaupun banyak laporan tidak senangi dari banyak pihak. Tapi keputusan kita mewujudkan Majlis Media ini memudahkan kerana kalau ada mana-mana ketelanjuran oleh media, dia dirujuk pada majlis media,” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang meminta pendirian kerajaan berhubung kerangka perundangan sedia ada, khususnya berkaitan wartawan atau pengamal media yang masih tertakluk kepada tindakan di bawah undang-undang seperti Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA), yang didakwa berpotensi menjejaskan kebebasan media.
Tambah Anwar, bidang kuasa Majlis Media hanya melibatkan organisasi media yang berdaftar atau syarikat media yang menjadi anggota badan berkenaan, dan tidak merangkumi pandangan peribadi individu, pendirian parti politik atau pihak lain yang bukan tergolong sebagai pengamal media.
“Cuma Majlis Media ini hanya untuk akaun yang tetap atau syarikat-syarikat yang tetap. Ia tidak terlibat dengan pendirian perseorangan, pandangan parti dan sebagainya yang bukan menjadi anggota media.
“Tetapi bagi wartawan daripada media yang wujud ini, mereka tidak automatik didakwa atau disiasat kerana proses sekarang ini perlu dirujuk kepada Majlis Media sebelum apa-apa tindakan diambil,” katanya. – UTUSAN










