TAN Sri Dr. Rais Yatim yang mengetuai Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Parlimen Malaysia menyifatkan ada perkara lebih besar lain lagi selain isu saham dihadapi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. Iaitu JKMR mahu pihak berkuasa negara ini segera memperbaiki dan memperbetulkan perihal berkaitan aspek-aspek mengekang rasuah dan penyelewengan kuasa.
Tugas utama JKMR antaranya menasihati Perdana Menteri mengenai apa-apa aspek rasuah di negara ini.
“Negara kita tidak mampu lagi diliputi rasuah kiri kanan atas bawah. Rakyat dan dunia akan pandang kita hina-hina berterusan. Anak cucu kita akan digelumangi budaya jijik,” kata Rais kepada Utusan Malaysia, semalam.
Antara pengamatan serta syor JKMR dinyatakan Rais kepada saya menerusi kolum ini:
BARANG KES
1. Barang kes yang hilang misalnya wang lebih AS$6 juta yang dicuri atau dilarikan dari bilik besi SPRM. Pendakwaan sudah bermula 4 Januari 2022. Penghargaan kepada SPRM. Demikian juga atas kejayaan-kejayaan besar terdahulu sehingga pendakwaan dapat dilaksanakan dan nama baik antirasuah SPRM meningkat.
2. Semua barang kes dalam bentuk wang jumlah besar harus disimpan dalam Bank Negara.
3. Semua kes rasuah perlu disiasat secara adil dan saksama tidak mengira pangkat atau kedudukan. Jika baju oren perlu dipakaikan atas apa pun alasan munasabah, maka semua yang menghadapi perbicaraan jenayah di mahkamah perlu layanan sama. Jangan ada berbaju oren dan ada pula pakai kot dengan tali leher berjela. Implikasi Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan wajib dihormati.
KES JENAYAH MEMAKAN MASA
4. Kes-kes jenayah khasnya kes-kes rasuah berprofil tinggi melibatkan khazanah rakyat bernilai berbilion ringgit harus ada lunas penyegeraan tempoh. Amalan tempoh dan proses rayuan wajib berada pada tahap berpatutan lagi munasabah dengan mengambil kira maksimum perundangan ‘keadilan yang dilewatkan adalah keadilan yang dinafikan’ (justice delayed is justice denied).
5. Untuk mengatasi hal ini, wujudkan Mahkamah Mengenai Rasuah.
Sebelum ini terdapat mahkamah mengenai kesalahan jalan raya dan mahkamah jenayah komersial. Mahkamah jenayah komersial boleh diperbesarkan menjadi mahkamah antirasuah atau mahkamah mengenai rasuah.
Menerusinya, semua kes boleh diatur pihak berkuasa mahkamah. Akan lebih cepat penyelesaian kes seperti itu sampai ke perenggan Mahkamah Persekutuan. Isu akan timbul kalau kes-kes rasuah besar lambat diselesaikan, sekali gus imej negara tergantung dan dikritik masyarakat.
PEROLEHAN ASET SAHAM OLEH PEGAWAI AWAM
6. Perisytiharan aset termasuk saham bagi pegawai dan kakitangan kerajaan wajib mematuhi prosedur dan penentuan Perkhidmatan Awam 1993 dan 2002. Ketua Setiausaha Negara atau Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam wajar lebih cekal dan waspada dalam penentu-patuhan dalam hal ini.
ISU SAHAM AZAM: TECHNICALITY?
1. Isu saham dihadapi Azam Baki melibatkan aspek technicality perkhidmatan awam sendiri, iaitu kealpaan melaporkan kepada pihak berkuasa tentang perolehan saham.
Ada pula diragui sama ada beliau membeli saham untuk diri sendiri atau bagi pihak adiknya.
Setelah beliau membeli saham itu pada 2015, perkhidmatan awam seharusnya bertindak. Tetapi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak bertindak. JKMR mendapat tahu hal ini sebab Azam telah pun melapor kononnya hal ini kepada pihak tertentu, tetapi tidak dalam bentuk formal.
Sepatutnya ketua jabatan Azam pada masa itu bertindak. Dalam satu hal tidak boleh dikatakan Azam bersalah 100 peratus. Beliau telah memaklumkan tetapi kenapa tidak diformalkan?
2. Justeru, Azam harus sedia untuk disiasat mengikut lunas rule of law atau keunggulan undang-undang oleh badan penyiasat berwajib. Hal ini hendaklah dilakukan secara telus dan adil kerana transaksi itu berlaku pada 2015 iaitu semasa beliau belum lagi menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM.
3. Semasa siasatan dilakukan, Azam wajar menimbang untuk bercuti rehat bagi melunaskan perimbangan keadaan semasa dalam siasatan sama ada oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Sekuriti. Cadangan ‘cuti sebentar’ itu bukanlah mengandungi anggapan bersalah, tetapi sekadar mengikut amalan rule of law yang terpakai.
4. Bagaimanapun, ada pandangan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu tidak perlu cuti rehat dalam tempoh siasatan kerana dalam beberapa segmen perkhidmatan lain di negara ini, ada pemegang jawatan tertinggi pentadbiran yang tidak bercuti semasa proses siasatan dan pendakwaan berlaku. Dalam kes-kes 1MDB ini jelas terbukti sedemikian.
5. Lantaran perolehan atau belian saham oleh semua pihak merupakan hak individu, yang mungkin menjadi isu hanyalah jumlah nilai yang dibenarkan bagi seseorang pegawai awam, maka adakah perisytiharannya dibuat kepada pihak yang ditauliahkan seperti ketua Jabatan, Ketua Setiausaha Negara atau Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam? Dan jika tidak diisytiharkan, kenapa tidak? Dengan siasatan teratur lagi bertauliah, semua isu ini boleh dijelaskan.
6. Hal ini terbaik disiasat dan dinilai oleh jawatankuasa yang bertauliah di bawah perkhidmatan awam sendiri dengan mengambil kira syarat-syarat yang dikuatkuasakan bagi penjawat awam di bawah peraturan Pemilikan dan Perisytiharan harta oleh Pegawai-Pegawai Awam 2002 khususnya berkaitan belian saham, sama ada untuk diri sendiri ataupun bagi kepentingan proksi atau benefisia.









