Uighur: Antara fakta dan emosi - Utusan Malaysia

Uighur: Antara fakta dan emosi

ANTARA fakta yang tidak mampu dijawab Barat sehingga hari ini sekiranya China menjalankan pembunuhan ke atas komuniti Uighur sejak sekian dahulu lagi, mengapa populasi Uighur di Xinjiang pada 2020 meningkat sehingga 11.62 juta berbanding 3.6 juta pada 1953? – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

XINJIANG, wilayah terbesar di China tidak perlu lagi diperkenalkan secara terperinci memandangkan ia sangat dekat di hati masyarakat kita terutama dalam kalangan umat Islam yang sentiasa peka dengan segala hal berlaku di sana. Namun, persoalan perlu dirungkai, adakah segala maklumat dan fakta diterima dan dihadam itu bertepatan dengan realiti atau sekadar dicedok daripada sumber-sumber berat sebelah yang tiada asas?

Sekilas tentang wilayah autonomi yang kaya dengan sumber alam ini, Xinjiang berkeluasan 1.66 juta persegi serta dihuni lebih 25 juta orang, iaitu kira-kira 75 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia. Asal usul nama Xinjiang juga diambil daripada perkataan xin (baharu) dan jiang (tanah baharu atau lebih tepatnya sempadan baharu).

Sejak 2016, komuniti antarabangsa mula berbicara soal wilayah integriti China ini yang kononnya berlaku apa yang disebut sebagai genocide atau pembunuhan beramai-ramai di bawah arahan kerajaan China terhadap umat Islam di sana. Ketika itu, umat Islam di negara ini termasuklah saya sendiri begitu marah dan sedih dengan malapetaka menimpa saudara seagama kita.

Peristiwa itu juga secara tidak langsung menghumban China ke dalam sebuah naratif baharu yang lebih negatif dan mencoret citra wajah para pemimpin mereka. Namun, pandangan saya terhadap negara yang berpopulasi lebih 1.4 bilion ini berubah dengan drastik setelah meluangkan masa untuk meneliti dan menjalankan kajian terperinci seputar isu-isu berbangkit.

Apa yang saya boleh perkatakan, segala kisah pendiskriminasian dan laporan berkenaan tragedi hitam ke atas umat Islam di sana perlu dikaji dan dikupas semula dengan sumber rujukan lebih adil. Tambahan pula segala laporan media Barat yang berlegar dalam media sosial cukup meragukan, apatah lagi melihatkan modus operandi Barat dalam menuduh umat Islam dengan keganasan global juga sama dan sekata.

Oleh kerana itulah, banyak negara seperti Arab Saudi, Pakistan, Rusia, Sri Lanka serta sebahagian negara-negara Afrika dan Amerika Selatan menyatakan sokongan terhadap dasar polisi China ke atas Uyghur seperti penubuhan pusat latihan dan vokasional yang memfokuskan kepada latihan perindustrian dan kemahiran dalam membantu menaikkan taraf kehidupan masyarakat Uighur.

Polisi dan dasar diperkenalkan itu juga bersifat kebangsaan, selaras dan seiring dengan wilayah-wilayah China lainnya sebagai sebuah negara sama dan bersatu padu.

Sokongan negara-negara tersebut dibuat atas dasar realiti dan bukan sentimen emosi semata-mata.

Bukankah kita sendiri sedia maklum, media-media Barat seperti BBC, CNN dan seangkatan dengannya sering merosakkan imej negara-negara Islam dan Asia dengan laporan palsu dan fitnah semata-mata? Dalam hal ini, tidak terlepas dengan China yang dilihat bakal menguasai ekonomi dunia dalam beberapa tahun akan datang sekali gus menjadi mimpi ngeri buat Barat.

Antara fakta yang tidak mampu dijawab Barat sehingga hari ini sekiranya China menjalankan pembunuhan ke atas komuniti Uighur sejak sekian dahulu lagi, mengapa populasi Uyghur di Xinjiang pada 2020 meningkat sehingga 11.62 juta berbanding 3.6 juta pada 1953? Peningkatan ini bukanlah sekali ganda tetapi empat kali ganda!

Dalam perkembangan lain, beberapa bulan lalu, Barat mendesak China menangani isu buruh paksa dalam kalangan etnik Uyghur di Xinjiang. Ketika itu, satu dunia termasuk masyarakat di negara ini menjadi kecoh dan mendesak agar barangan China diboikot.

FANTASI

Walhal hakikatnya tuduhan-tuduhan itu tidak berasas sama sekali. Gambar-gambar yang turut disertakan kononnya berniat untuk menguatkan asas tuduhan yang dilemparkan itu juga sangat meragukan.

Sehingga hari ini, saya tidak lagi menjumpai bukti-bukti konkrit kegiatan songsang seperti dilaporkan. Rujukan-rujukan yang terdapat di internet dan televisyen hanya datang dari sumber-sumber Barat, lalu adakah ia boleh dipercayai?

Kalau kita dengan mudah boleh menafikan laporan Barat terhadap Turki dalam beberapa perkara, maka mengapa tidak kita lakukan hal sama terhadap China? Adakah kerana China bukan negara Islam? Adakah kebenaran sesebuah laporan itu diukur mengikut agama?

Sebahagian rakyat Malaysia yang beremosi sudah tentu terpedaya dengan kisah-kisah ‘fantasi’ tersebut. Tidak kurang ramai yang mula memuji Uncle Sam yang dilihat sebagai pelindung Uighur dengan berterusan menekan kerajaan China dari segenap aspek.

Akhirnya apa yang berlaku? Uncle Sam juga yang menuduh kononnya kilang-kilang di negara kita mengamalkan buruh paksa. Itu belum lagi isu sawit yang diboikot Eropah sejak beberapa tahun lepas. Segala macam cerita fitnah berkenaan sawit dan kilang tempatan terus dijaja secara meluas oleh Barat.

Ikut logik akal, sekurang-kurangnya China tidak pernah menghantar angkatan tentera mereka menjajah negara-negara Islam seperti dibuat Amerika Syarikat dan sekutunya, bahkan China terus berusaha mengukuhkan hubungan lebih akrab dan mesra dengan negara-negara Islam.

Kadang-kadang kesian dengan China. Segala bantuan yang disalurkan kepada kita seolah-olah dilihat hanya sekadar sandiwara sedangkan China antara negara paling awal tampil membantu kita dalam beberapa perkara.

Saya sama sekali tidak pro kepada China tetapi pro kepada fakta. Saya tidak lagi sanggup menelan naratif berat sebelah ciptaan Barat yang tidak pernah adil dalam berbicara apatah lagi melihatkan kebiadaban dan keangkuhan mereka terhadap dunia.

Hubungan Malaysia dan China terjalin sejak era Dinasti Han lagi, begitu juga hubungan akrab Kesultanan Melayu Melaka yang pernah mengirim utusan bertemu maharaja Dinasti Ming. Kisah Puteri Hang Li Po, anak perempuan Maharaja Yongle yang mengahwini Sultan Mansur Syah.

Oleh itu, janganlah kita dengan mudah memutuskan hubungan terjalin sejak beratus tahun dahulu hanya disebabkan termakan cerita-cerita fitnah Barat yang tidak pernah mempunyai rekod sejarah manusia yang baik.

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN