Sebak lihat koleksi buku musnah - Utusan Malaysia

Sebak lihat koleksi buku musnah

PENULIS (depan) dan keluarga diselamatkan dari kawasan banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, menggunakan bot.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANJIR besar melanda beberapa kawasan baru-baru ini merupakan kejadian amat mendukacitakan dan menambah penderitaan orang ramai yang sedia terhimpit akibat penularan wabak Covid-19.

Banjir besar di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor mendapat liputan luas kerana kerosakan dan kemusnahan dialami amat besar.

Bagi penduduk lama di situ, kejadian 18 Disember lalu mengingatkan mereka pada insiden sama, hampir 26 tahun dahulu. Malah, banjir kali ini lebih teruk dan paras air lebih tinggi.

Keluarga saya turut menjadi mangsa apabila tingkat bawah rumah yang didiami sejak 2000 tenggelam sepenuhnya. Saya, isteri, anak dan emak mentua yang uzur sempat naik ke tingkat satu dan dua apabila paras air mula naik. Ubat-ubatan, komputer riba dan beberapa dokumen penting sempat dibawa dalam keadaan kelam-kabut itu.

Hampir separuh ruang di tingkat bawah merupakan perpustakan mini yang menempatkan koleksi buku saya, anak dan isteri sejak dua dekad lalu. Kami cuba meletakkan sebahagian buku di atas meja dengan harapan banjir tidak naik melebihi paras pinggang. Akan tetapi, siapa sangka paras air menenggelamkan keseluruhan tingkat bawah.

Kami hanya mampu duduk di tangga tingkat satu dan menahan sebak melihat lebih 2,000 buku dimusnahkan air banjir secara berperingkat-peringkat. Menjelang pukul 11 malam, saya mengemaskini paparan di media sosial untuk memberitahu rakan-rakan bahawa keseluruhan koleksi buku saya sudah musnah.

Kami sebenarnya lebih bernasib baik berbanding penghuni rumah setingkat. Pasti mereka tidak mampu menyelamatkan apa-apa harta dan dokumen. Mungkin mereka mencari suaka di atas bumbung. Bekalan elektrik sudah lama terputus dan rangkaian telefon juga bermasalah. Keadaan ini menjadikan pengalaman mangsa lebih menakutkan, apatah lagi jika ada anak kecil.

Sepanjang Ahad, paras air kekal pada kedudukan dua meter (di dalam rumah saya). Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) datang menaiki bot menghulur bantuan makanan dan minuman menjelang tengah hari. Air banjir berlumpur berada pada paras bumbung tingkat bawah.

Saya menggunakan penukul untuk memecah jeriji pada tingkap tingkat satu lalu berjalan di atas bumbung bagi mengambil makanan dan minuman untuk keluarga. Tentu sahaja pengalaman kami sekeluarga tidak seburuk dan seteruk ramai mangsa lain yang berdepan pelbagai cabaran dan penderitaan. Kisah-kisah sedih mereka mendapat liputan meluas media cetak, elektronik dan portal dalam talian.

Orang ramai dan sukarelawan segera tampil menghulurkan bantuan. Tanpa mereka, tentu kesukaran lebih teruk dialami mangsa. Hakikat yang terpaksa diakui adalah pihak berkuasa dan agensi kerajaan memang lambat bertindak.

Taman Sri Muda terdiri daripada penduduk pelbagai kaum, agama, profesion dan sosioekonomi. Malah, ada ramai migran dari India, Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan sebagainya. Dalam situasi bencana ini, saya perhatikan mereka (kami) saling cuba membantu dan memberi kata-kata semangat.

MENANGIS

Apabila bantuan dihantar oleh wakil NGO, penduduk yang berada di balkoni tingkat satu mengambil makanan dan minuman, lalu mengedarkannya kepada jiran sebelah yang menghadapi masalah untuk keluar melalui tingkap. Bot-bot NGO dan sukarelawan mula datang menyelamatkan mangsa banjir.

Beberapa jiran meninggalkan rumah masing-masing menaiki bot berkenaan. Saya, isteri dan anak tentu boleh melakukan perkara sama, tetapi mentua terlalu uzur untuk keluar melalui tingkap dan berjalan di atas bumbung. Maka, kami memutuskan untuk terus menunggu sehingga banjir surut sekurang-kurangnya hingga paras pinggang.

Selepas lebih 24 jam, banjir mulai surut sedikit demi sedikit. Barulah kami mampu menarik nafas lega. Pada masa sama, kami dapat membayangkan kerisauan sahabat dan saudara mara yang tidak dapat dihubungi dan tidak dapat menghubungi kami.

Keluarga terdekat ialah abang saya yang tinggal di Bandar Nusa Rhu. Kami yakin keluarganya sedang berusaha untuk datang menyelamatkan kami.
Pada Isnin, sekitar 8 pagi, isteri dan anak saya menangis dari tingkap tingkat dua sebaik sahaja ternampak Harveen Sankar, anak saudara berumur 22 tahun datang dengan bot bersama dua sukarelawan.

Rupa-rupanya Harveen menunggu di lebuh raya berdekatan sejak dua malam. Seorang sukarelawan (pemuda Cina) masuk ke dalam rumah dan memangku emak mentua saya dari tangga tingkat satu masuk ke dalam bot.

Saya, isteri dan anak meredah banjir untuk keluar. Kami tahu, kaki kami sedang memijak buku-buku yang sudah musnah. Akhirnya kami dibawa ke kawasan berhampiran sebelum menaiki kereta menuju ke rumah abang.

Sempat juga kami menyaksikan situasi mangsa banjir yang terpinga-pinga dan kehilangan segala harta.

Pada hari Krismas, selepas banjir surut sepenuhnya, kami membersihkan rumah dengan bantuan rakan-rakan dan sukarelawan. Sekumpulan kakitangan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) turut datang membantu meringankan kerja. Individu yang tidak dikenali juga datang sebagai sukarelawan susulan paparan di media sosial.

Hampir keseluruhan barangan di tingkat bawah musnah sepenuhnya dan terpaksa dibuang. Kerja yang memang memenatkan dan menyedihkan apabila melihat satu per satu barangan yang rosak akibat banjir. Kereta saya dan isteri turut rosak, sebagaimana kenderaan milik majoriti penduduk di sini.

Namun begitu, di sisi positif, saya menyaksikan sendiri semangat kerjasama dan saling tolong-menolong antara masyarakat pelbagai kaum tanpa menunggu bantuan politikus dan kuasawan. Slogan Kita Jaga Kita ternyata benar dan merupakan budaya yang wajar dipelihara dan diperkukuh.

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN