PARTI Sosialis Malaysia (PSM) merupakan salah sebuah parti berhaluan kiri yang menarik untuk diberi perhatian secara serius. Walaupun sudah lebih sedekad didaftarkan, iaitu Ogos 2008, namun parti ini dilihat masih kurang dikenali dalam kalangan masyarakat kita.
Saya meluangkan masa menjalankan sedikit pengkajian terhadap PSM. Saya bertemu beberapa aktivis dan pemimpin mereka. Perkara pertama yang menarik perhatian saya adalah simbol genggaman tangan kiri sebagai bendera rasmi mereka.
Kata mereka, simbol tersebut melambangkan perpaduan rakyat yang berjuang untuk melahirkan masyarakat lebih adil, sama rata dan demokratik. Melihat bendera PSM, mungkin ada yang rasa bersemangat. Disebabkan tarikan itu jugalah, terdapat beberapa parti baharu di negara ini turut menggunakan lambang sedemikian.
Saya sama sekali tidak pro-PSM tetapi saya yakin mereka sewajarnya diberi peluang untuk bersuara serta berkongsi pandangan dan idea kepada masyarakat. Kalau kita boleh ulas tentang Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti lain, mengapa tidak PSM?
Pada Oktober lalu, saya berpeluang bertemu bekas Pengerusi PSM, Dr. Mohd. Nasir Hashim, 75. Beliau juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara (2008-2013) di bawah tiket PKR.
“Rakyat perlukan bimbingan. Kita perlu pulihkan mereka segera kerana mereka sudah hilang keyakinan diri, harga diri sehingga mencetuskan masalah sosial pada diri, keluarga dan masyarakat. Golongan cerdik pandai dan profesional berkerumun cuba menyelesaikan masalah sosial walhal masalah-masalah tersebut berpunca daripada penindasan di tempat kerja atau dimanipulasi orang tengah.
“Orang tengah merupakan darah daging dalam sistem kapitalis ini. Golongan profesional cuba menyembuhkan simptom atau gejala penindasan, bukan punca penindasan.
Maka kepincangan negara dan masalah sosial akan terus melarat,” katanya yang kini menumpukan masa dengan menulis buku.
Beliau turut mendakwa pada masa kini, rakyat seperti dijadikan robot. Golongan kapitalis dan ulama songsang turut mengekalkan budaya ini. Rakyat dijadikan bidak catur semasa pilihan raya dan bermain kad perkauman dan sentimen agama demi meraih undi.
“Tugas seorang wakil rakyat bukan semata-mata memberi rakyat makan ikan, tapi lebih afdal lagi sekiranya rakyat diajar cara untuk menangkap ikan.
“Dengan ini mereka tidak menyusahkan sesiapa dan boleh hidup sepanjang usia,” ujarnya.
Pada pandangan saya, idea-idea sosialisme seharusnya diketengahkan secara meluas dalam setiap saluran supaya masyarakat faham dan sedar bahawa masih terdapat alternatif lain yang mampu mengubah nasib kehidupan mereka. Sebelum ini kita sering dimomokkan dengan fahaman sosialisme dan komunisme sedangkan kedua-duanya adalah konsep berbeza.
Saya tertarik dengan sepotong ayat tulisan Pengerusi PSM, Michael Jeyakumar Devaraj, 66, dalam bukunya berjudul Visi Alternatif Untuk Malaysia. Pada halaman 12 beliau menyebut, dalam dunia yang lebih baik ini, sistem ekonomi menyediakan keperluan majoriti dan bukan sebaliknya.
Rakyat mesti didahulukan sebelum keuntungan. Inilah hakikat sebenar mengapa seseorang wakil rakyat itu dipilih, iaitu untuk membantu rakyat yang susah, tertekan dan tertindas dengan merangka strategi dan langkah-langkah proaktif yang boleh membantu perkembangan ekonomi sekali gus mengubah nasib rakyat kepada lebih baik.
Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Wakil rakyat yang dipilih itu pula dilihat kaya-raya dengan segala macam bentuk kelebihan selaku orang kenamaan (VIP).
Adakah mereka ini layak digelar dan dipanggil sebagai Yang Berhormat (YB)? Rakyat seharusnya sedar hakikat ini dan jangan lagi beri peluang kepada mereka yang tidak amanah untuk mengemudi negara.
PSM tidak diwakili sesuatu kaum sahaja. Ia merupakan sebuah parti berbilang bangsa. Penyertaan anak-anak muda dalam kalangan orang Melayu juga dilihat sangat memberangsangkan. Konsep yang dibawa oleh PSM dalam mengekang masalah perkauman juga sangat menarik.
Dalam era sekarang, tidak ada lagi apa yang disebut sebagai pertembungan antara Melayu bumiputera dengan Cina dan India. Ia dilihat tidak lagi relevan. Sebaliknya, ia perlu dilihat dalam bentuk baharu, iaitu kelas bawahan lawan kelas atasan. Menarik bukan? Adakah dengan menjadi seorang rasis dapat membantu sesuatu kaum keluar dari jurang kemiskinan dan penindasan?
Untuk mencapai hasrat tersebut, maka perlu diperkenalkan istilah kelas bawahan dan kelas atasan ini secara lebih meluas kepada masyarakat supaya kita sedar bahawa musuh bukanlah sesebuah bangsa atau etnik tetapi mereka yang berkuasa dan tidak amanah. Sekalipun begitu, selain salah faham dan fitnah ke atas golongan sosialis sehingga membuatkan masyarakat keliru dengan perjuangan PSM, PSM juga perlulah bertindak sebagai sebuah parti politik, bukan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Mereka perlu bergerak lebih aktif dan agresif dalam memperjuangkan nasib rakyat. Selagi mana barisan kepimpinan PSM tidak melakukan perubahan, selagi itulah mereka sukar diterima masyarakat dan impian untuk memenangi walau satu kerusi dalam pilihan raya pun pasti tidak akan menjadi kenyataan. Selamat berjuang PSM.
PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.










