Politik: Kita ikut acuan sendiri - Utusan Malaysia

Politik: Kita ikut acuan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH akan tercatat apabila 5.8 juta pengundi baharu berusia 18 tahun ke atas boleh mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti. Undian anak-anak muda ini pastinya memberi impak agak besar kepada keputusan PRU15.

Apakah yang diimpikan anak muda? Ramai yang mahukan pendidikan percuma, pekerjaan baik, gaji tinggi. Kami dambakan kehidupan lebih baik, sebuah kerajaan yang kuat, amanah serta negara yang makmur.

Itulah juga yang dijanjikan oleh kebanyakan pemimpin politik dalam usaha mereka untuk memancing undi anak muda. Sama ada hanya sekadar janji politik atau benar-benar akan dikotakan, hanya masa dapat menentukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anak muda harus celik ilmu politik dan kenegaraan agar tidak mudah diperkotak-katikkan oleh mereka yang berkepentingan. Berpijaklah di bumi nyata, jangan tertipu janji bulan dan bintang.

Bagi saya, amalan politik sesebuah negara seharusnya bergantung kepada asas kenegaraan dan sejarah negara serta sosiobudaya rakyatnya.

Sebagai pelajar asasi sains kemanusiaan, salah satu subjek yang saya pelajari ialah Sains Politik. Apa yang menarik tentang subjek ini, ia memberi saya peluang untuk memahami dan mendalami kaedah kajian politik.

BARAT

Jika dahulu saya memerhati suasana politik negara dari sudut luaran, kini saya berpeluang melihatnya secara lebih mendalam. Dahulu, perihal politik turut mengambil kira faktor etika, sejarah dan pandangan agama setempat. Namun, sejak 1920-an, ilmu politik dijadikan suatu kajian sains menggunakan kaedah saintifik berdasarkan fakta politik tertentu. Langkah ini untuk menyejagatkan ilmu politik tanpa mengambil kira demografi berbeza dari tempat ke tempat.

Namun, ilmu politik yang dikatakan sejagat itu pada dasarnya adalah berat sebelah, dipengaruhi ideologi pemikir politik Barat. Sudah tentu subjek yang dirangka orang Barat adalah berdasarkan cara mereka. Hakikatnya, kaedah politik negara-negara Barat belum tentu sesuai bagi tempat lain.

Kita tidak dapat menafikan walaupun kajian politik cuba dijadikan kajian saintifik, namun amalan politik masih akan mengikut aliran budaya masyarakat tempatan.

Contohnya, walaupun United Kingdom (UK) mengamalkan sistem raja berperlembagaan dengan demokrasi berparlimen, namun sistemnya berbeza. Tidak seperti di UK, sistem pemerintahan Malaysia adalah bertonggakkan kedaulatan raja. Malah, kita mempunyai perlembagaan bertulis, sedangkan perlembagaan UK tidak bertulis.

Jangan ada antara kita yang cuba menjemput masuk pengaruh politik asing dan menjadikannya tatacara untuk mengubah sistem kita. Peribahasa Inggeris sendiri mengatakan, when in Rome, do as the Romans do. Kita tidak pernah memaksa orang Barat mengikut amalan pemerintahan kita dan mereka juga sepatutnya begitu.

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×