Mujur nilai kemanusiaan masih ada - Utusan Malaysia

Mujur nilai kemanusiaan masih ada

JELEBU yang merupakan kawasan paling kurang menerima taburan hujan menjadi daerah paling teruk terjejas dalam kejadian banjir di Negeri Sembilan, baru-baru ini. – UTUSAN/MOHD.SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUJAN lebat berterusan sejak malam 17 Disember lalu, saya dan beberapa rakan wartawan sering ingat mengingatkan supaya berkongsi maklumat jika tahu ada kawasan yang dinaiki air di Negeri Sembilan. Sebagai pengamal media, menyampai dan melaporkan maklumat dengan pantas sudah tentu menjadi tuntutan.

Sebenarnya perasaan bimbang lebih menyelubungi hati. Khuatir berlakunya apa-apa kejadian buruk, apatah lagi petang itu beberapa kawasan di Selangor teruk ditenggelami banjir. Negeri Sembilan tidak terlepas, Port Dickson antara paling awal terjejas.

Jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Shahjehan Maamin seawal pukul 4 pagi pada 18 Disember sudah keluar dari rumahnya di Bandar Springhill untuk meninjau keadaan dan menjalankan tugas hakiki. Tidak lama kemudian, dia memaklumkan pekan Lukut dan taman-taman perumahan sekitarnya sudah dinaiki air.

Lebih banyak maklumat diterima kemudian. Tanah runtuh di Sendayan dan banyak kawasan sudah mula banjir termasuk Kampung Jimah dan Linggi di Port Dickson, Kampung Keru (Tampin), Nilai dan Rantau (Seremban) serta Lubok China dan Sungai Timun (Rembau).

Pusat pemindahan sementara (PPS) satu demi satu dibuka.

Pada malam Sabtu itu, hujan masih belum reda. Hujan sangat lebat di daerah Jelebu sehinggalah tersebar maklumat berlaku tanah runtuh di Bukit Tangga, laluan utama antara Seremban ke daerah itu.

SELUT

Pada waktu sama, beberapa kawasan lain di Seremban mula dinaiki air. Kawasan sepanjang Jalan Jelebu berhampiran Sungai Linggi tenggelam termasuklah kampung kelahiran ibu saya, Kampung Mayor, Pantai.

Jelebu yang diketahui kawasan paling kurang menerima taburan hujan di negara ini, menjadi daerah paling terjejas di Negeri Sembilan. Jalan utama ke daerah tersebut iaitu Bukit Tangga terhalang dek tanah runtuh.

Semua yang mahu ke daerah itu termasuk untuk memberikan bantuan terpaksa ikut jalan jauh melalui Kuala Pilah dan terus ke Simpang Pertang.

Ada yang kata seperti dibadai tsunami, ada yang kata seperti dilanggar garuda, namun kesannya tetap serupa. Rumah habis ranap, ada yang tinggal bumbung sahaja.

Tidak kurang yang hilang tempat tinggal, hilang harta benda, tanaman musnah, ikan diternak mati tenggelam dalam lumpur.

Bencana kali ini kesannya luar biasa. Banyak kisah sayu dan pilu dipaparkan, namun di sebalik semua itu mujurlah nilai kemanusiaan masih tetap ada.

Terima kasih kepada semua yang menghulurkan bantuan terutama anggota penyelamat dan pasukan keselamatan. Tidak lupa wakil rakyat dan pemimpin setempat yang menjadi antara terawal bersama penduduk di kawasan masing-masing.

Sukarelawan dari pelusuk negara berpusu-pusu datang bersama limpahan bantuan. Wang, makanan, pakaian sehinggalah tilam dan bantal. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Buat mangsa-mangsa banjir, didoakan semoga terus tabah dan cekal. Percayalah, rakyat Malaysia tidak akan biar kalian bersendirian menghadapi ujian kali ini.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN