KKM tolonglah rungkai kerisauan rakyat - Utusan Malaysia

KKM tolonglah rungkai kerisauan rakyat

Kerisauan ramai tentang kesan dos penggalak perlu ditangani secara bijak dengan fakta oleh Kementerian Kesihatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila sudah ada banyak kes kematian mengejut yang dikaitkan selepas mendapat dos penggalak sepatutnya ini adalah masanya Kementerian Kesihatan tampil memberi penerangan dengan sejelas-jelasnya. Meminta orang ramai jangan berspekulasi dan beranggapan ini permainan golongan antivaksin tentunya ia tidak dapat meredakan kerunsingan orang ramai.
Bila beberapa kes kematian mengejut ketika ini akibat sakit jantung selepas menerima booster, tentu ramai tertanya-tanya adakah dos penggalak ini menjadi trigger kepada penyakit kronik yang ada dalam tubuh seseorang?
Kita masih menunggu siasatan KKM mengenai laporan daripada Penjara Kajang yang tular dalam media sosial baru-baru ini berkenaan 18 kes mengalami kesan advers susulan imunisasi (AEFI) serius dalam kalangan penerima vaksin Covid-19 melalui Program Vaksinasi Banduan Penjara Kajang.
Saya tidak mahu menyebut kes-kes kematian mengejut yang tular dalam media sosial yang dikaitkan dengan dos penggalak yang dinafikan oleh KKM. Nanti kata saya buat kesimpulan sendiri pula. Tetapi hal-hal sebegini, ia mudah mencetuskan kerunsingan. Bukan antivaksin pun runsing. Tak payah kiralah pasal yang antivaksin itu. Laju saja menambah perisa.
Dan kerunsingan rakyat ini harus diuruskan dengan sebaik-baiknya. Sebabnya, nyawa tiada galang ganti yang boleh dibeli di pasar raya. Apatah lagi, tidak lama lagi kanak-kanak pula akan divaksin. Sudahkah kita bersedia dan boleh hadam jika adanya risiko walaupun nanti dipanggil kes terpinggir atau terasing? Tertanya juga, kenapa selepas suntikan BCG, Rubella, Polio, Hepatitis B, Tetanus dan lain-lain doktor tidak menasihatkan jangan bersukan dalam tempoh tertentu. Adakah vaksin Covid-19 ini cukup kuat kesannya pada organ-organ dalaman?
Dan yang mendabik dada, diri tidak terkesan apa-apa selepas menerima vaksin atau dos penggalak pun janganlah terus menuduh yang dapat ‘macam-macam’ sakit selepas vaksin itu antivaksin yang sekadar mahu memburuk-burukkan vaksin.
Penerimaan dalam tubuh badan kita tak sama. Ada yang demam berhari-hari, sakit kepala, sakit lengan dan ada yang masih semput, sesak nafas, degup jantung laju dan badan berasa lesu walaupun setelah berbulan menerima vaksin.
Oleh itu, sewajarnya juga KKM membuat kajian mengapa vaksin ini teruk penerimaannya kepada sesetengah orang.
Baru-baru ini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai yang punya sakit kronik perlu mendapat nasihat doktor terlebih dahulu sebelum menerima vaksin atau vaksin itu dilakukan di hospital. Soalnya, apa jadi kalaulah doktor membenarkan dan pesakit kronik berkenaan bertambah teruk selepas itu atau paling teruk meninggal dunia. Adakah risiko tanggung sendiri? Bukan doktor atau kerajaan?
Sebab itu, perlu ada garis panduan tertentu sebelum vaksin dibenarkan pada setiap orang. Jangan terus main suntik saja. Ada yang bertanya, kenapa tidak jadikan dos penggalak sebagai pilihan bukan paksaan? Ramai sudah lengkap dua dos vaksin. Kekalkan saja begitu. Lain-lain ikut SOP lah. Kes harian Covid-19 di negara ini pun di bawah 5,000 kes. Bukan lagi mencecah 25,000 seperti dulu. Itupun ada cakap-cakap pasal dos penggalak ke-4 pula.
Dan kita boleh mengucapkan tahniah kepada KKM apabila ketika ini 99 peratus kes Covid baru adalah tahap 1 dan 2. Kes juga tidak tinggi seperti dahulu. Terima kasih dengan usaha-usaha yang dilakukan KKM.
Tetapi soalnya dengan 99 peratus kes adalah tahap 1 dan 2, kes pun berkurangan, adakah keperluan mendesak untuk mendapatkan dos penggalak, lebih-lebih lagi vaksin untuk kanak-kanak?
Disebut-sebut juga kes-kes serius vaksin terlalu kecil peratusnya. Tapi jika kes serius itu terkena pada batang hidung sendiri, ia tetap satu nyawa. Sesiapa pun yang tidak bernasib baik ini mungkin seorang ibu, bapa atau anak-anak yang dikasihi oleh keluarga. Soal nyawa bukan main-main.
Ya betul, kita risau kematian akibat Covid-19 dan pada masa sama vaksin juga tidak mahu dikaitkan dengan kematian. Jadi, Kementerian Kesihatan tolong rungkaikan kebimbangan rakyat ini. Itu saja.
Saya ada terbaca komen seorang wanita dalam ruangan komen media sosial milik seorang doktor yang doktor ini bertanyakan reaksi ibu bapa tentang vaksin kanak-kanak.
Komen wanita itu – Biarlah anak sakit kena kesan sampingan vaksin, jangan sakit kena Covid-19. Pilihlah mana satu. Tapi bagi saya, saya tidak mahu memilih mana satu. Dua-dua pun saya tidak mahu ia berlaku pada anak saya. Titik.

Penulis ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya