MENGIKUT portal rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), separuh penduduk bumi (3.5 bilion orang) kini tinggal di bandar dan pada 2030, angka ini dijangka mencecah lima bilion. Trend pertumbuhan penduduk bandar ini akan lebih banyak berlaku di negara sedang membangun, berbanding negara maju.
Yang merunsingkan adalah fakta 828 juta orang menduduki kawasan kumuh, sesak dan kotor (slum area), bukan yang lestari atau mampan. Ini hakikatnya di kebanyakan tempat di benua Asia sekarang.
Pada 2050, 70 peratus penduduk dunia akan menetap di kawasan bandar, selebihnya di pinggir dan luar bandar (kampung dan desa). Peristiwa banjir besar yang berlaku pada akhir tahun lalu jelas membuktikan masih banyak kawasan bandar di negara kita tidak lestari (sustainable) atau selamat didiami (liveable).
SDG
Jika kita lihat kembali semua 17 matlamat pembinaan lestari (SDG) dibentangkan di Perhimpunan Agung PBB pada September 2015 di New York, Amerika Syarikat (AS) yang kini menjadi teras agenda pembangunan lestari di negara kita juga, didapati agenda pertamanya adalah ‘Tiada Kemiskinan’, manakala agenda ke-11, ‘Bandar dan Masyarakat Lestari’ dan ke-16, ‘Keamanan, Keadilan dan Institusi Yang Kukuh’.
Agenda pertama bererti menamatkan kemiskinan dalam semua bentuk di mana-mana. Agenda ke-11 bererti menjadikan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan lestari dan agenda ke-16 bererti mempromosikan masyarakat yang aman dan inklusif demi pembangunan lestari, memberi akses kepada keadilan untuk semua dan membina institusi yang berkesan, bertanggungjawab dan inklusif di semua peringkat.
Isu ini pernah dibangkitkan pada Julai 2018 oleh Timbalan Perdana Menteri (pada masa itu), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semasa beliau menyampaikan ucapan dalam Sesi Teknikal Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana di Ulaanbaatar, Mongolia.
Kata beliau, “SDG mengenai kemiskinan adalah sasaran global untuk membina daya tahan golongan miskin dan mereka yang berada dalam situasi terdedah termasuk wanita dan kanak-kanak terhadap peristiwa ekstrem berkaitan iklim, kejutan ekonomi dan sosial serta alam sekitar dan bencana pada 2030.
SDG membabitkan bandar dan komuniti lestari bermatlamat mengurangkan jumlah kematian dan bilangan mangsa, sekali gus mengurangkan kerugian disebabkan bencana seperti banjir dengan tumpuan melindungi golongan miskin dan orang yang berpotensi menjadi mangsa bencana pada 2030. Mara laju (fast forward) dari tarikh itu ke akhir 2021 dan tanya diri kita, apakah yang telah kita capai?
Peristiwa banjir besar yang melanda negara pada Disember lalu membuktikan kita masih belum mampu melaksanakan sepenuhnya agenda besar dalam SDG 2030. Apa yang kita kata belum dapat kita kotakan. Cakap belum serupa bikin.
LAPORAN BRUNDTLAND
Mengikut Laporan Brundtland 1987, istilah ‘pembangunan lestari’ bererti pembangunan yang memenuhi keperluan generasi sekarang tanpa mengorbankan keperluan generasi masa depan. Ini bermakna sekiranya suatu projek pembangunan menjahanamkan khazanah alam sedia ada (seperti sungai, pantai, hutan dan tanah lapang), menyebabkannya tidak boleh dinikmati lagi oleh generasi masa depan, itu bukan pembangunan lestari.
Begitulah juga sekiranya suatu projek pembangunan hanya mendatangkan manfaat ekonomi (kepada pemaju dan kerajaan) tetapi menjejaskan alam sekitar dan gagal memelihara kebajikan rakyat, ia bukan pembangunan lestari.
BERPINDAH KE LOKASI LAIN
Akal dan logik mengajar kita jangan jadikan kawasan rendah, tepian sungai atau kawasan yang selalu banjir sebagai penempatan rakyat. Anehnya, beberapa bandar di negara kita dibina dan dibiarkan terus kekal di kawasan mudah banjir. Barangkali pada asalnya, risiko banjir amat minimum.
Bagaimanapun, setelah banyak tahun berlalu dan bandar atau kawasan penempatan itu sering dilanda banjir, kenapa tiada usaha memindahkan bandar itu (atau penduduknya yang sanggup) ke suatu lokasi lain yang lebih selamat? Mengikut satu kajian, penempatan semula penduduk dari satu kawasan mudah banjir ke satu lokasi lain yang lebih selamat pernah dilakukan sejak 1971 melibatkan 1,672 keluarga di Kelantan dan 2,715 di Pahang.
Apabila saya tanya sahabat (pengamal perancangan bandar) tentang kemungkinan memindahkan penduduk dari satu bandar atau kawasan biasa dilanda banjir ke suatu lokasi lain yang lebih selamat, dia menjawab, perkara begini ada dilakukan oleh pihak berkuasa di luar negara termasuk AS dan Australia.
Kira-kira satu dekad lalu, banjir besar berlaku di beberapa kawasan di Queensland (Australia) termasuk Toowoomba, Lokyer Valley, Brisbane dan Ipswich. Di Lockyer Valley, banjir besar ala tsunami mengorbankan 21 penduduk dan memusnahkan puluhan rumah. Pihak berkuasa tempatan memberi pilihan (peluang) kepada penduduk yang sanggup berpindah untuk ditempatkan semula di suatu lokasi lain lebih selamat. Hasil inisiatif ini, lebih 70 peratus penduduk setuju dipindahkan ke lokasi ditetapkan.
Ramai rakyat negara ini tahu, Taman Sri Muda di Shah Alam, Selangor dilanda banjir setiap tahun tetapi banjir pada Disember lalu adalah paling teruk sekali. Ramai juga sedar, tempat ini bukan satu bandar lestari yang diimpikan penghuninya. Hakikatnya, ia satu kawasan yang dihimpit oleh overdevelopment kiri dan kanan, depan dan belakang.
Mengikut Anbarasan Many (penduduk lama di bandar itu), ada jirannya yang tinggal di situ selama 30 tahun akhirnya berpindah kerana tidak tahan lagi. “Kalau ramai meninggalkan bandar ini, akhirnya bandar ini akan jadi ghost town (bandar tinggal),” katanya.
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.










