DALAM kes mahkamah tentang keabsahan sekolah vernakular di sisi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, persoalan peranan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan dalam memupuk perpaduan negara dan integrasi nasional, identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat bersekali sebilangan persoalan lain ikut diutarakan semasa perbicaraan. Bagaimanapun, ia dicadangkan sebaik-baiknya ditangani badan perundangan dan badan pemerintah, bukannya oleh badan kehakiman.
Ini kerana proses pembentukan negara bangsa yang antaranya menyangkut juga persoalan mutu rendah pendidikan bahasa Melayu di sekolah vernakular dipercayai mempunyai dampak besar kepada proses penyatuan negara dalam konteks dua identiti itu, tiada tempatnya dalam perlembagaan secara tersurat kecuali sedikit pada Akta Pendidikan 1996. Oleh itu, ia semacam tiada kuasa untuk diputus mahkamah apabila diperlukan berbuat demikian di sisi perundangan negara.
Dengan ini, wajar sekali ia dibahaskan di Parlimen dengan terbuka lagi jujur untuk diambil tindakan sesuai oleh kerajaan. Ini kerana ia sudah lama tertangguh semenjak kita memulakan proses pembentukan negara bangsa setelah menubuhkan negara.
Perpaduan negara, iaitu hubungan etnik Melayu-Cina-India yang baik di Semenanjung dan integrasi nasional yakni hubungan wilayah Semenanjung-Sabah-Sarawak yang mesra bukan sahaja perlu dipertingkat untuk masa mendatang, ia juga hendaklah dipastikan tidak merosot pada masa ini.
Seperti dilakukan untuk soal integrasi nasional melalui pengemaskinian Perjanjian Malaysia 1963 oleh badan perundangan di Parlimen yang kini dilaksanakan oleh badan pemerintah oleh kerajaan, soal perpaduan negara juga perlu diperlaku sedemikian.
Dengan ini, ia hendaklah dirungkaikan di Parlimen, antaranya peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan yang harus diakui tidak pun berjaya sedangkan ia dihajatkan sebegitu oleh Penyata Razak 1956 dan dipertegas pada Penyata Rahman Talib 1960 yang kemudiannya menjadi peruntukan dalam Akta Pendidikan 1961 dan 1996.
Sehubungan ini, ia hendaklah dicari kaedah untuk bukan sahaja mengesan sebab kegagalannya tetapi lebih penting lagi mengenal pasti cara baharu untuk menjayanya.
Sebenarnya bahasa sebagai alat penyatuan bukan ungkapan kosong, ia hakikat yang terbukti sepanjang zaman di merata tempat. Untuknya berjaya, ia hendaklah bermula dengan penerimaan ikhlas bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara oleh setiap rakyat untuk diketahui bagi menguasainya.
Inilah petuanya yang harus diakui tidak berlaku sebelum ini. Oleh itu, ia hendaklah diatasi dengan apa-apa jua cara pada kali ini. Dengan ini baharulah langkah seterusnya boleh dicapai, iaitu homofili.
Ia merujuk kepada keadaan semua pihak berkongsi banyak perkara dan yang penting ialah tanggapan sama sebagai asas interaksi khususnya untuk pembentukan negara bangsa. Natijahnya di sini, terdapatnya kesamaan antara rakyat dalam pelbagai perkara.
HETEROFILI
Antaranya sikap, latar dan nilai yang dikongsi seperti melalui sejenis persekolahan sahaja. Oleh itu, sistem pendidikan negara hendaklah dipastikan tiada perbezaan signifikan dari segi aliran persekolahan khususnya mewujudkan perkongsian nilai yang sama.
Dengan kata lain, kita harus memastikan tidak wujudnya heterofili, iaitu perbezaan mengenai banyak hal, yakni keadaan berlawanan homofili.
Walaupun hubungan manusia ditentukan pelbagai sifat serta keadaan berlainan yang kemudiannya berkembang secara tidak sama, namun homofili masih penting untuk mewujudkan kesamaan sebagai asas penting dalam interaksi sesama kita.
Dengan ini, ia hendaklah dipupuk agar kita semua bukan sahaja bergaul mesra tetapi terikat kuat antara satu sama lain. Keterikatan ini sebenarnya kerana nilai yang kita kongsi bersama-sama.
Sehubungan nilai ini, ia terbentuk melalui peranan organisasi. Antara yang terpenting ialah sistem pendidikan untuk melahirkan anak bangsa yang berfikir secara serupa tentang negara tanpa mengira etnisiti dan status. Ini kerana homofili menganjurkan kita semua berfikir dalam cara yang sama untuk membangunkan negara.
Sehubungan ini, interaksi sesama mereka yang sama didapati berlaku pada tahap tinggi berbanding dengan yang tidak sama dari segi pemikiran asas. Ini berlaku kerana homofili dapat mempermudah koordinasi, memperbaiki interaksi dan lebih penting lagi mempertingkat kepercayaan sesama mereka apabila berinteraksi. Dengan ini, unsur kesamaan pada homofili tidak sesekali akan menjanakan rasa benci antara satu sama lain.
Dalam pada ini, homofili yang menekankan kesamaan tidak dapat dinafikan boleh mengurangkan kepelbagaian. Dengan ini, ia mungkin tidak sesuai untuk memupuk penyatuan dalam kepelbagaian seperti yang diuar-uarkan itu. Ini kerana ia menganjurkan hal yang sebaliknya, iaitu penyatuan dalam kesamaan. Namun setelah dihemati, kesamaan itu merujuk kepada cara pemikiran khususnya tentang perkara pokok lagi asas mengenai ehwal negara.
Oleh itu, ia tidak sesekali bertentangan dengan sifat kemajmukan kependudukan negara. Sesungguhnya kesamaan dalam pembangunan dan urusan kenegaraan adalah lebih baik daripada kepelbagaian.
Ini kerana ia boleh diramalkan dengan lebih tepat selain bersifat lebih stabil ekoran pemikiran yang sama dalam kalangan rakyat. Sebaliknya kepelbagaian bukan sahaja tiada dua ciri itu, ia juga bersifat tidak teratur dan kemas kerana celaru dengan bermacam-macam di dalamnya.
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.










