Kenapa kita masih pengotor? - Utusan Malaysia

Kenapa kita masih pengotor?

SIKAP masyarakat yang suka membuang sampah ke dalam longkang dan saliran menyebabkannya tersumbat selain air sungai jadi tercemar dan berbau busuk. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASYARAKAT kita perlu mewujudkan kehidupan yang sihat terutama selepas berakhir musim banjir. Kebersihan bukan sahaja tertumpu pada tubuh badan, makanan, pakaian dan tempat tinggal malahan kawasan persekitaran kita juga perlulah bersih.

Antara yang kerap berlaku sewaktu dan selepas banjir adalah demam kepialu (tifoid), taun, hepatitis A, jangkitan usus dan keracunan makanan. Gejala penyakit ini adalah seperti cirit-birit, muntah, demam, sakit perut dan sakit kepala.

Cara jangkitan penyakit ini adalah melalui minum air atau makan makanan yang dicemari kuman penyakit terbabit. Ia sangat mudah berjangkit dan bahaya. Penyakit ini boleh berjangkit kepada manusia yang terdedah atau bersentuhan secara langsung dengan air atau air banjir dicemari air kencing haiwan yang dijangkiti bakteria ini.

Masyarakat perlu memahami situasi ini. Kurangnya kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan menyebabkan persekitaran menjadi kotor dan tidak sihat. Sikap lepas pandang yang disengajakan boleh menyebabkan suasana persekitaran tidak lagi kondusif dan merimaskan.

Sebagai contoh, amalan membuang sampah bukan pada tempat disediakan boleh menyebabkan persekitaran kita menjadi kotor. Apatah lagi ia secara sengaja dibuang ke dalam sungai atau tepi pantai yang boleh menyumbang kepada pencemaran, menyakitkan mata dan penyebaran bau kurang menyenangkan.

Sampah dibuang ke dalam longkang dan saliran menyebabkannya tersumbat, air sungai tercemar dan berbau busuk. Pemandangan tempat awam dan kawasan perumahan juga menjadi tidak elok dan menyumbang kepada keadaan sekeliling tidak selesa.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila penyakit menular melalui bantuan binatang pembawa seperti tikus, lipas, lalat dan nyamuk. Perkara seperti ini jika tidak ditangani sedari awal sudah tentu akan membebankan diri kita, keluarga, masyarakat dan negara.

Isu pembuangan sampah khususnya di kawasan sungai dan air terjun tular dalam media sosial sebelum ini. Keadaan ini membawa kepada kebimbangan terhadap tahap kebersihan kawasan tersebut yang menjadi tumpuan orang ramai. Kita semua bertanggungjawab menjaga kebersihan dan persekitaran tempat tersebut, tempat rekreasi, tempat awam dan sebagainya.

Hari ini, didapati kawasan rekreasi dan riadah mula menjadi tumpuan ramai sejak kelonggaran diberikan oleh kerajaan terhadap negeri yang sudah beralih ke Fasa 3 dan 4 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). Rekreasi luar boleh dilakukan secara sendirian ataupun melalui aktiviti sosial yang memerlukan penglibatan kumpulan kecil mahupun di peringkat komuniti.

Lazimnya, bagi mendapatkan pengalaman rekreasi yang optimum adalah menerusi interaksi manusia dengan alam dan interaksi manusia sesama manusia. Kini didapati orang ramai mengambil peluang beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan di taman rekreasi terpilih seperti di sungai, air terjun dan hutan simpan. Namun, kita sedih dan amat kecewa apabila kebebasan untuk beriadah dan berekreasi ini disalahgunakan oleh individu atau berkumpulan yang sebenarnya gagal berperanan untuk menjaga kebersihan. Mereka tanpa rasa segan dan bersalah membuang sampah merata-rata sehingga mencemarkan kawasan rekreasi awam.

Ditambah negara sekarang masih bergelut dengan penularan wabak Covid-19, sikap segelintir masyarakat tidak bertanggungjawab mencerminkan wajah bangsa Malaysia yang tidak mengambil endah terhadap kebersihan dan penjagaan alam sekitar.

Realitinya, kita perlu mendisiplinkan diri, ataupun memang kita sudah selesa berada dalam komuniti wabak ini. Sebelum memulakan sebarang aktiviti rekreasi, masyarakat seharusnya diberi kefahaman berkaitan punca pencemaran dan kenal pasti risiko yang akan mereka terima nanti.

IMUN

Ada kawasan tertentu di mana sampah sarap dibiar begitu sahaja tanpa diambil peduli oleh masyarakat sehingga wujud persekitaran kurang enak. Ada pengunjung lain terpaksa mengutip dan membersihkan kawasan dipenuhi sampah sarap demi keselamatan masyarakat yang berkunjung ke kawasan berkenaan.

Sikap tidak membuang sampah di merata tempat perlu ada dalam setiap diri masyarakat kerana ia adalah tanggungjawab sosial. Masyarakat seharusnya mendidik diri dan keluarga untuk menjadi individu atau kumpulan bertanggungjawab dan menjadi sebahagian penyelesaian kepada masalah yang berpunca daripada kesilapan sendiri.

Berbasikal, berkhemah, mendaki gunung ataupun bersukan di taman memang tidak salah dan sepatutnya digalakkan bagi membina generasi yang sihat dan cergas. Yang salahnya apabila hilangnya rasa tanggungjawab sosial yang sepatutnya menjadi amalan bersama.

Selain mengamalkan makanan sihat untuk menguatkan sistem imun, senaman ringan boleh membantu melancarkan peredaran darah dan menguatkan otot kaki dan belakang serta mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah. Biasanya aktiviti ini dilakukkan di tempat-tempat riadah dan taman-taman rekreasi. Selesakah kita melakukan aktiviti-aktiviti tersebut dalam suasana sekeliling yang tercemar dengan bau kurang enak untuk dihidu?

Bagi mereka yang sihat pula, perlu merebut peluang melakukan aktiviti riadah seperti di taman rekreasi yang memiliki daya tarikan alam semula jadi menghijau. Tarikan alam semula jadi yang menghijau dapat melapangkan fikiran dan melepaskan tekanan, seterusnya mendorong diri untuk mengekalkan gaya hidup sihat dan berfikiran positif.

Ada berpendapat, keperluan untuk melantik jawatankuasa dan pegawai yang lebih lantang dan penguatkuasaan ketat seperti denda sebagai peringatan kepada masyarakat agar menjadi lebih bertanggungjawab. Soalnya sekarang, apakah denda yang dikenakan itu dapat menjadi penyelesai mutlak kepada isu pencemaran dan kekotoran yang berpunca daripada perbuatan sebahagian ahli masyarakat itu sendiri ?

Sepatunya masyarakat memainkan peranan dalam menjaga kebersihan persekitaran kawasan rekreasi dan tempat-tempat lain yang menjadi tumpuan sosial agar tidak menjadi penyebab kepada masalah kesihatan dan sebaran penyakit. Justeru, orang ramai, aktivis dan masyarakat perlu melalui revolusi pemikiran mengenai aspek kebersihan. Kita perlu berfikiran realis berasaskan norma bertujuan membawa perubahan baik pada diri, masyarakat dan negara.

Menjaga kebersihan merupakan sebahagian semangat patriotisme kerana budaya yang diamalkan ini berupaya menyumbang imej yang baik kepada negara.

DATUK Seri Dr. Wee Jeck Seng ialah Ahli Parlimen Tanjung Piai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN