MUKADIMAH
DATUK ARMISHAH SIRAJ mencatat sejarah tersendiri apabila pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada tiga Menteri Besar (MB) Kedah yang berbeza parti politik.
Peluang bersama dengan tiga menteri besar iaitu masing-masing dua dari Barisan Nasional (BN) dan terbaharu, Pas ternyata memberi pengalaman berharga serta cabaran kepada Armishah sejak mula bertugas pada 1999.
Ikuti perkongsian pengalaman beliau bersama wartawan Utusan Malaysia, ZAID MOHD. NOOR dan jurufoto, SHAHIR NOORDIN di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
UTUSAN: Bagaimana permulaan kerjaya Datuk dalam perkhidmatan tadbir negeri?
ARMISHAH: Alhamdulillah, sejak lebih tiga dekad lalu, saya ditakdirkan berkhidmat selaku salah seorang pegawai tadbir kerajaan negeri Kedah. Antara paling berkesan bagi saya ialah selaku Pentadbir Tanah Daerah Langkawi lebih lima tahun, Setiausaha Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Taman Teknologi Tinggi Kulim, dan paling lama tentunya selaku Ketua Setiausaha Sulit di Pejabat MB di bawah arahan tiga MB yang berbeza parti dan zaman berbeza.
Tiga MB itu ialah Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dari 1999 hingga 2005, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanifah (2016-Mei 2018) dan Datuk Seri Muhamad Sanusi Md. Nor (Mei 2020 hingga kini).
Kepelbagaian pengalaman dalam perkhidmatan ini membolehkan saya memahami dan mengenali secara dekat budaya, aspirasi rakyat Kedah, selain pendekatan paling sesuai mengikut zaman untuk terus memacu dalam memajukan masyarakat dan negeri ini.
Cabaran berkhidmat di bawah tiga MB?
Saya akui apabila ditugaskan di sebuah pejabat ‘politik’ dalam masa sama adalah penjawat awam, pendirian dan pegangan politik akan menjadi satu isu. Setiap MB pula mempunyai pendekatan, cara dan gaya kepimpinan berlainan, namun ketiga-tiganya saya harus akui amat mementingkan soal keperluan rakyat, pembangunan dan kemakmuran negeri.
Lantaran itu, berkat pemahaman tentang konsep perkecualian penjawat awam dan keperluan selaku pegawai untuk serve government of the day, maka isu ini dapat diminimumkan.
Bagaimana Datuk mempertahankan sikap profesionalisme?
Siapa pun MB dan dari parti mana sekalipun dia datang, teras utama fungsi Pejabat MB adalah melayan rakyat yang berkunjung ke pejabat serta menyelesaikan dua isu berbangkit, iaitu keperluan rakyat meliputi pelbagai golongan daripada petani sehinggalah usahawan korporat dan keperluan pentadbiran.
Inilah the hidden beauty kerana MB dari parti mana sekalipun, prioriti mereka adalah membuat keputusan saban hari bagi membolehkan permasalahan rakyat dirungkai dan ditangani.
Jika tidak, ia akan menjadi liabiliti terhadap diri MB itu sendiri dan parti yang diwakilinya terutama dari segi imej dan sistem penyampaian perkhidmatan.
Dalam hal inilah, ia membantu saya untuk lebih memahami perjalanan proses, dasar yang digubal, isu rakyat, kaedah menyelesaikannya dan impak hasil daripada kesemua proses berkenaan. Inilah antara lain political input and knowledge yang cukup berharga kerana saya dapat merasainya secara amali dan real di ground zero, bukan sekadar teori dan idea.
Implikasinya, pelaksanaan tindakan kita tidak mewakili mana-mana sentimen politik kepartian sebaliknya bermatlamatkan usaha untuk memenuhi keperluan rakyat yang datangnya dari pelbagai aliran, fahaman politik, kaum, agama dan latar sosial.
Apa formula terbaik bagi seorang penjawat awam mempertahankan integriti dan profesionalisme meskipun berkhidmat di pejabat ‘politik’?
Pada saya, tindakan kita mesti adil, clear conscious dengan falsafah demi rakyat Kedah. Selain itu, pelaksanaan tindakan harus telus dan prinsip paling pentingnya, jangan lebih sudu dari kuah.
Arahan daripada MB wajib ditaati dan jika ada keperluan musyawarah atau diskusi tentang sesuatu isu, lazimnya proses konsultasi dilakukan dengan baik. Alhamdulillah, sepanjang pengalaman saya di bawah tiga MB, spirit of consultation and complement of ideas among each other itu wujud.
Apa tugas rasmi Datuk?
Tugas hakiki ialah ibarat pepatah Inggeris, from nothing to everything, you have to be around your boss all the time to execute orders and instructions.
Tugas rutin ialah menyusun jadual mesyuarat pentadbiran melibatkan urusan rasmi kerajaan sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan dan perjumpaan MB dengan pelbagai golongan berkepentingan daripada petani, rakyat biasa hinggalah usahawan besar, menteri Kabinet dan pegawai kementerian.
Selain itu, turut terlibat dalam penyusunan program rasmi atau tidak rasmi melibatkan kehadiran MB serta menjadi perantara antara ahli politik dan penjawat awam negeri.
Selama bertugas dengan Syed Razak, Ahmad Bashah dan Muhammad Sanusi, apa pengalaman boleh diambil sekiranya Datuk mahu menjadi seorang pentadbir atau ahli politik pada masa hadapan?
Pengalaman terbaik dapat saya cerap adalah melaksanakan sesuatu tindakan secara hands on, action oriented, bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menjayakan agenda kemajuan dan perubahan, perlu bersikap people’s friendly.
Dengan pengalaman pentadbiran dan politik yang luas, Datuk berkeinginan menjadi calon daripada mana-mana parti dalam pilihan raya umum akan datang?
Untuk berlaku adil, jawapan kepada soalan ini saya serahkan kepada kebijaksanaan penilaian pucuk pimpinan parti. Merekalah yang lebih layak menilai selain pengundi.
Jika saya dirasakan sesuai dan layak untuk mewakili dan dikehendaki menabur bakti di tempat asal kelahiran saya, maka berdasarkan semangat, latihan yang saya diasuh selama lebih tiga dekad untuk akur dan patuh pada arahan pihak atasan, maka saya akan patuh dan laksana secara terbaik.
Kedua, jika sudah takdir Allah SWT menghendaki saya untuk melanjutkan khidmat bakti dalam medium berbeza iaitu politik secara sepenuhnya, maka pastilah saya tidak boleh menggelaknya.
Harapan Datuk untuk pembangunan dan kemajuan negeri serta masyarakat di Langkawi khususnya pada masa akan datang?
Mata pencarian lebih 90 peratus daripada 120,000 penduduk Langkawi bergantung kepada pelancongan manakala sumbangan industri itu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri dan negara secara puratanya mencecah antara RM4 hingga RM6 bilion setahun.
Harapan dan keinginan saya selaku anak jati Langkawi dalam jangka sederhana dan jangka panjang ialah mewujudkan persekitaran industri pelancongan menyeluruh dan mampan bagi menarik lebih ramai pelancong pada masa hadapan.
Kita mahu keindahan alam dikekalkan, modenisasi dan nilai tambah dalam produk pelancongan dipelbagaikan. Aspek kebersihan ditingkatkan, keceriaan, hospitaliti dan budaya masyarakat digilap, produk jenama tempatan diminati dan dicari oleh pelancong, selain kemudahan awam termaju di pulau ini.
Paling utama dan paling penting, impak daripada kesan ekonomi limpahan menerusi industri pelancongan dinikmati bukan sahaja dari segi kuantiti malah kualiti dalam kalangan penduduk tempatan.











