Kartel memang ada, tapi kita pantau - Utusan Malaysia

Kartel memang ada, tapi kita pantau

Ahmad Parveez Ghulam Kadir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

BANJIR buruk dan pandemik ternyata memberi kesan terhadap banyak sektor negara. Misalnya, industri sawit, yang menyumbang ratusan bilion ringgit kepada negara, terjejas teruk susulan kekurangan tenaga buruh asing.
Menyedari kepentingan industri terhadap ekonomi negara, selain peluang kerja yang ditawarkan kepada anak tempatan, maka wartawan Mingguan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, FAHMI FAIZ dan jurugambar FAUZI BAHARUDIN, mendapatkan pandangan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, DATUK DR. AHMAD PARVEEZ GHULAM KADIR.
Dalam wawancara ini, beliau turut menyentuh sedikit sebanyak usaha MPOB mengekang kegiatan kartel penyeludupan dan sedut curi minyak sawit yang sebelum ini berleluasa. Ikuti juga penjelasan beliau mengenai corak kartel yang biasanya berkumpul di satu-satu lokasi untuk sedut minyak sawit dari lori tangki, sebelum dicampur dengan air.

 

MINGGUAN MALAYSIA: Sejauh mana industri sawit mencorakkan ekonomi negara?
AHMAD PARVEEZ: Industri sawit memang cukup penting. Dari industri ini, pendapatan eksport kita hasil daripada produk berkaitan sawit, berjumlah RM106 bilion pada tahun lalu. Malah dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) minyak sawit itu sendiri, ia menyumbang kira-kira 3.2 peratus untuk sembilan bulan pertama 2021.
Kalau KDNK sektor komoditi pula, industri sawit ini menyumbang 49 peratus. Malah apa yang penting, hasil sawit ini merupakan pendapatan yang kita hasilkan dari dalam negara itu sendiri, maksudnya kita tanam di sini, kita proses di sini dan kita jual.

Boleh ulas lebih terperinci dan beri perbandingan dengan industri lain?
Misalnya, kalau dibandingkan dengan petroleum atau produk elektronik, bezanya sawit ini hampir semua aktiviti bersifat domestik dan sangat sedikit import dari luar. Elektronik, sebahagian besar komponennya kita import. Katakan kita import sekian banyak pun, tapi nilai sebenar (real value addition) dari dalam negara itu kurang, sebab kita banyak import. Sawit pula, kita import tak banyak, cuma sedikit dari Indonesia. Sebab itulah, sumbangan industri ini kepada negara cukup penting.

CABARAN PEKERJA ASING
Susulan pandemik, Malaysia kekurangan pekerja asing. Apa impaknya ke atas industri sawit yang bergantung tinggi kepada tenaga buruh luar?
Apa yang berlaku, industri sawit terlalu bergantung kepada buruh. Sebab di ladang, semua proses membaja, merumpai, menanam dan paling penting untuk kait buah sawit, memerlukan tenaga buruh. Pokok sawit ini besar, boleh mencapai 20 meter. Jadi memerlukan kepakaran untuk kenal pasti buah, kemudian kemahiran untuk kait buah, jadi memang kerjanya penat, berat dan tidak glamor. Malah dalam ladang sawit ini, mana ada penghawa dingin, malah mahu dapat internet untuk WhatsApp pun susah.

Buruh di ladang-ladang dalam kalangan warga asing atau tempatan?
Boleh kata, 90 peratus kerja-kerja di ladang sawit bergantung kepada buruh asing, khususnya dari Indonesia. Maksudnya, 90 peratus dari segi proses penuaian. Ini kerja yang paling sensitif, dan itulah sebenarnya paling penting. Selagi buah tidak jatuh ke tanah, selagi itulah hasil pokok itu kosong. Bila buah diturunkan, barulah proses lain boleh berjalan, seperti pergi ke kilang, pergi proses dapat minyak dan sebagainya.

Macam mana pula guna tenaga dalam seluruh industri?
Kalau dari segi keseluruhan guna tenaga dalam industri sawit, kita bergantung 70 peratus kepada buruh asing.

Adakah bermaksud, nisbah pekerja tempatan berbanding asing ialah 1:9?
Ya betul, begitulah nisbahnya. Untuk proses kait buah sawit iaitu proses paling penting, nisbahnya 1:9. Bermaksud, daripada keseluruhan tenaga buruh ladang di Malaysia, nisbahnya cuma seorang pekerja tempatan berbanding sembilan buruh asing.

Adakah pandemik jejaskan pengeluaran buah sawit, sebab faktor kekurangan buruh asing?
Ya, sebab itulah pengeluaran buah sawit kita pada tahun lepas berkurangan sebanyak 5.8 peratus, daripada 87 juta tan kepada 91.4 juta tan saja, sebab faktor kekurangan buruh asing.

GALAKKAN PEKERJA TEMPATAN
Apa langkah MPOB mahu galakkan penyertaan rakyat tempatan dalam industri, khususnya di ladang yang memang memerlukan tenaga kerja?
Kerajaan memang banyak mengadakan promosi untuk mendapatkan penglibatan pekerja tempatan terutama Orang Asli. Malah kementerian juga ada mengadakan karnival kerjaya berkaitan industri perladangan dan komoditi yang mana pihak industri juga terlibat. Ini juga disertai syarikat-syarikat besar dalam industri, mereka buat temuduga untuk ambil pekerja.

Macam mana sambutan dalam kalangan warga tempatan?
Bagaimanapun, sebab skop kerja yang kita panggil 3D, iaitu kerja yang kotor, bahaya dan sukar, maka memang rakyat kita tidak bersedia dan kurang sambutan. Bukan tiada langsung, cuma cukup kurang, adalah sekali sekala, macam sebelum ini seorang perempuan yang tular kait dan angkat buah sawit. Bukan tiada langsung, cuma macam kita cakap tadi, lebih kurang 10 peratus penyertaan.

MPOB sendiri ada anjurkan sebarang program untuk tarik minat pekerja tempatan ceburi industri?
Kita ada anjurkan kursus yang dipanggil Kursus Operasi Mekanisasi Ladang (KOMAL). Kita buat di stesen penyelidikan kita di Keratong, Pahang. Saya rasa lebih 2,000 pelajar dalam kalangan anak muda tempatan dari seluruh negara menyertainya. Ia ditanggung sepenuhnya kerajaan dan mereka dilatih bekerja dalam ladang kita, diajar menggunakan jentera dan sebagainya. Mereka juga disediakan kursus perlesenan mengendalikan jentera-jentera, malah diuji pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Jadi bila tamat, secara tak langsung mereka sudah ada lesen mengendalikan jentera.

BANJIR
Apa kesan banjir buruk baru-baru ini ke atas ladang-ladang sawit seluruh negara?
Bila banjir, katakan banjir yang biasa-biasa, ia menyebabkan kita tak boleh masuk ke ladang untuk ambil buah. Jadi kalau mahu kait buah pun, nanti buah akan jatuh dalam air banjir. Maka, banjir baru-baru ini mengakibatkan ada ladang yang mana buahnya tidak dapat diambil.

Ada kerosakan pada pokok akibat banjir?
Mana-mana kawasan yang airnya terlalu tinggi, kalau pokok terendam setakat seminggu, pokok itu biasanya akan selamat, tapi mungkin dalam masa beberapa bulan, hasil memang tiada sebab buah dan bunga sawit akan rosak. Kalau mahu cakap soal angka kerugian, saya difahamkan tiada survei yang dibuat sebab angka kerugiannya sangat rendah.

BOIKOT PIHAK ASING
Apa cerita sebalik tindakan boikot oleh negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) terhadap minyak sawit kita? Kenapa mereka boikot?
Sebenarnya tindakan boikot ini, apa yang berlaku mereka mahu melindungi dan mempertahankan industri mereka sendiri. Contoh di AS, banyak menghasilkan minyak soya dan terlalu banyak subsidi. Di negara Eropah, mereka hasilkan pokok bunga matahari, minyak canola (rapeseed oil) dan sebagainya, yang mana banyak subsidi disalurkan kerajaan masing-masing. Antara lain tindakan boikot, diakibatkan juga oleh faktor kos, yang mana minyak sawit murah sebab dihasilkan oleh negara dunia ketiga.

Boleh ulas lanjut?
Hasil kita lebih kurang lima ke 10 kali ganda lebih tinggi daripada pokok lain. Sawit boleh hasilkan tiga ke empat tan minyak bagi satu hektar, soya lebih kurang 0.4 tan sahaja. kita tanam sawit 20-25 tahun. Sekali berbuah sehingga boleh cecah 40 tahun. Kita sekarang sedang buat penyelidikan hendak rendahkan ketinggian pokok. Maksudnya, sekali tanam, hasil banyak dan berterusan. Tanaman soya pula, setiap tahun kena tanam semula, maka kos jadi tinggi. Jadi, banyak kelebihan menyebabkan kita dapat jual pada harga yang lebih baik.

Apakah tindakan boikot ini turut menggunakan sentimen tenaga alternatif, seperti biodiesel yang mana minyak sawit turut menjadi bahan utama penghasilannya?
Ya, ia berlaku baru-baru ini apabila mereka mahu pergi ke arah hijau iaitu biodiesel. Bila mereka mahu hasilkan biodiesel, sebenarnya dari segi saintifik dan kegunaan, membuktikan penggunaan sawit jauh lebih cekap bila ditukar biodiesel. Bila mana sawit masuk ke negara Eropah untuk biodiesel, mereka perlu subsidi. Sekarang ini mereka sudah banyak subsidi untuk minyak, sekarang negara mereka pula banyak beli minyak. Jadi kita sokonglah, malah tak ada negara yang tolak.

Apa bentuk sabotaj yang negara luar buat ke atas minyak sawit kita?
Itu yang terjadi menggunakan tekanan badan bukan kerajaan (NGO), yang mendakwa minyak sawit ini mencemarkan alam sekitar, menurunkan populasi orang utan, kemusnahan biodiversiti. Alasan ini digunakan untuk sabotaj dan melahirkan rasa benci dalam kalangan rakyat mereka oleh NGO-NGO ini. Mereka mengatakan kita membunuh orang utan, mengamalkan penyahutanan dan sebagainya, sedangkan sejak 1992, ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ketika itu, beliau telah berucap di Rio De Janeiro di Brazil, mengatakan kita akan kekalkan 50 peratus hutan. Malah sehingga kini kita masih ada 55 peratus hutan di seluruh Malaysia.

Bagaimana pula tindakan sabotaj pihak AS?
AS pula mereka melihat dari segi kita sebagai pesaing. Awal 2000, memang minyak soya merupakan minyak utama dunia, namun selepas itu sawit mula ambil alih dan sejak itu kita mula mendominasi dan semakin jauh tinggalkan mereka. Awal-awal dulu kita banyak isu dengan persatuan soya, mereka kata kita guna asid lemak, lemak tepu yang boleh menyebabkan penyakit jantung. Ini berlaku sebab kita bersaing dengan mereka. Sekarang, mereka sudah jauh tertinggal.

Apa langkah kerajaan hadapi gerakan boikot antarabangsa ini?
Apa yang kita buat di peringkat kerajaan, kita berusaha mengamalkan matlamat pembangunan lestari. Kerajaan juga telah melaksanakan skim mandatori Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang berkuatkuasa 1 Januari 2020.
Pada 2017, di pihak Kesatuan Eropah, ada tujuh negara mengatakan mulai 2020, mereka hanya akan import minyak sawit yang dihasilkan secara mampan, maka dari situ kita mandatorikan sistem kita agar bergerak seiring. Sistem kita merujuk kepada standard antarabanagsa. KIta ada badan bebas yang bertindak sebagai pemantau, untuk melihat dan memastikan kita memenuhi SOP.

SAINGAN CHINA
Apa reaksi MPOB, apabila China tanam sawit dalam negara mereka? Adakah ini akan kurangkan eksport kita, seterusnya menjejaskan pendapatan negara dari produk sawit?
Saya telah melawat salah satu ladang cubaan di wilayah Hainan di China. Ia kawasan tropika, namun banyak serangan taufan. Pada Oktober 2016 saya melawat ke sana dan dapati banyak pokok getah yang ditanam di ladang cubaan itu patah, tapi pokok sawit tidak.
Pada asalnya, di sana untuk penyelidikan getah, tapi ditanam juga sawit. Bagaimanapun, kawasan mereka kecil saja, dalam anggaran 700,000 hektar yang sesuai untuk pertanian daripada keseluruhan 35 juta hektar tanah di wilayah Hainan.
Malah, sebahagian besar sebenarnya ditanam pokok-pokok seperti kelapa, mangga dan buah-buahan lain. Sawit dengan getah baru saja ditanam, malah kalau mahu tukar seluruh pulau di Hainan itu pun memang tetap tidak cukup sebab keperluan mereka dalam enam juta tan minyak setahun. Kalau berjaya sekali pun tanaman sawit di China, ia cuma serba sedikit dapat kurangkan import mereka, tapi disebabkan faktor penduduk dan kawasan tanaman sawit yang terhad, kami tak rasa ia cabaran, cuma sebahagian cara China cuba kurangkan import.

SOROK MINYAK MASAK
Apa komen MPOB berhubung tindakan segelintir pihak yang dilihat cuba sorok minyak masak bersubsidi, sebab tinjauan mendapati bekalan di pasaran tidak konsisten, sekejap ada sekejap tiada?
Kalau lihat dari segi data stok, memang rendah tapi stok masih ada. Sebenarnya stok yang terakhir pada bulan Disember hampir 1.58 juta tan. Namun, minyak masak bersubsidi ini, ia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP).
Sebab itu kita tidak siasat underground. Kalau apa-apa di bawah lesen kita, maka yang itu memang kita akan siasat. Jadi, soal tindakan pihak yang sorok minyak masak bersubsidi ini, saya tak boleh komen.

Bagaimana pula isu penyeludupan minyak masak bersubsidi?
Itu pun di bawah kuasa KPDNHEP. Kalau penjualan minyak masak pada kuantiti 25 kg ke bawah, itu adalah tanggungjawab kementerian. MPOB tidak terlibat dari segi itu. Kita cuma kalau mereka buat packaging dalam jumlah yang banyak, mereka akan dapatkan lesen daripada MPOB. Bila sudah bungkus, semua tanggungjawab dari segi pengurusan, penjualan terletak di bawah tanggungjawab kementerian.

Boleh jelaskan kuota pembungkusan minyak masak seluruh negara mengikut kaum?
Kita tiada maklumat. Sebelum 2016, memang kuota di bawah kementerian kami. Namun sejak 2016, ia dipindahkan ke KPDNKHEP.

KARTEL PENYELUDUPAN
Apa pandangan MPOB terhadap kartel seludup minyak subsidi ke negara jiran, susulan harga kita yang rendah berbanding negara lain?
Dari segi kartel ini, contohnya mereka membuat penyeludupan dan aktiviti mencuri minyak atau dipanggil sedut curi. Untuk memantau kegiatan ini, kita ada sistem dipanggil sistem pemantauan sawit. Setiap lori tangki daripada kilang, contohnya dari kilang sawit minyak dihantar ke kilang penapisan, kita ada pasang alat pengesan. Ini bermakna pergerakan setiap lori-lori tangki di seluruh negara, memang ada kawalan.
Pun begitu kita tak nafikan, dulu-dulu memang berlaku, misalnya pemandu-pemandu lori tangki minyak sawit tertumpu pada satu lokasi, sedut minyak dalam lori tangki lain, campur air dan sebagainya. Namun kegiatan itu kita sedang atasi dan memang banyak kejayaan kita mengatasi kegiatan sebegitu.

Atasi macam mana?
Misalnya, pergerakan mereka akan dipantau menggunakan alat pengesan yang dipasang dalam lori-lori tangki. Jika contohnya, kita nampak seperti lama sangat lori-lori tangki minyak sawit berhenti di satu lokasi yang sama, maka kita tahu ada sesuatu sedang berlaku, dan kita akan buat serbuan.

Adakah kegiatan sebegini berlaku dalam setahun dua kebelakangan ini?
Memang ada, tapi tak banyak. Sekarang ini, kes seperti sedut curi sudah kurang sebab yang dinyatakan tadi, iaitu kita sentiasa kawal dan pantau menggunakan sistem berteknologi tinggi.
Selain itu, kes seperti tipu timbang, tahun lepas kita ada banyak kerjasama dengan kementerian dan buat pemantauan dan serbuan berdasarkan maklumat daripada orang ramai. Kita akan pantau, masa buat serbuan kalau apa-apa sahaja tindakan bertentangan dengan akta kita, seperti buah disiram atau buah muda, maka kita akan ambil tindakan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN