Jangan talak ketika marah - Utusan Malaysia

Jangan talak ketika marah

Memansuhkan Seksyen 498 seperti menghalalkan lelaki berlaku curang dengan isteri orang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Laporan muka depan Utusan Malaysia, Selasa lalu tentang 69,205 pasangan bercerai di luar mah­ka­mah sepanjang 2018 hingga Ok­tober tahun lalu yang mana se­bahagian besar suami didapati menyalahgunakan kuasa ta­lak mengundang kegusaran.

Angka itu adalah sebaha­gian daripada 212,080 kes per­­ce­raian yang direkodkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menerusi pen­daftaran kes pembubaran perkahwinan di mahkamah syariah dalam tem­poh berkenaan yang turut melibatkan permohonan talak, khu­lu’ atau tebus talak dan taklik.

Apa yang menambahkan kegusaran, angka menghampiri 70,000 kes itu menunjukkan rapuhnya institusi kekeluargaan orang Islam. Walhal bernikah atau berkahwin itu adalah antara sunnah Rasulullah SAW.

Ia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Bernikah itu adalah sunnahku., siapa yang tidak mengikut sunnahku maka bukanlah dia daripada golonganku.” (Riwayat Ibn Majah)

Allah SWT yang Maha Mengetahui yang menganugerahkan rasa kasih tatkala Nabi Adam melihat Hawa menciptakan manusia itu berpasang-pasangan.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.” (al-Rum: 21)

Bagaimanapun, realiti hidup berumahtangga tidak sunyi daripada salah dan silap serta perselisihan faham. Sementelah kita manusia yang lemah dan serba kekurangan.

Kita sering terpedaya dengan nafsu ammarah.

Ini sebagaimana ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan aku tidak (menyatakan) diriku bebas (daripada kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Yusuf: 53)

Ada tiga bentuk konflik yang biasa dihadapi oleh pasangan suami isteri iaitu:

1) Nusyuz
Dilakukan oleh salah seorang daripada pasangan. Ini boleh dikesan melalui komunikasi pasangan seperti muka kelihatan masam, wajah selamba atau tidak mahu bertentangan masa. Bercakap kasar atau tidak mahu bertegur sapa, pura-pura tidak mendengar atau berkomunikasi melalui perantaraan.

2) Syiqaq
Perselisihan faham suami isteri yang sudah sampai ke tahap saling cerca-mencerca dan pukul-memukul.

3) Dharar
Penganiayaan suami kepada isteri sedangkan isteri adalah wanita yang baik akhlaknya. Walaupun Islam membenci perceraian, ia dihalalkan kerana agama Islam mendokong nilai-nilai perikemanusiaan.

Pengalaman antara Thabit bin Qais dengan isterinya yang bercerai secara khulu’ ialah antara contoh bagaimana Islam merai dan mengiktiraf perasaan seseorang apabila merasakan sudah tidak mempunyai keserasian hidup bersama sekalipun tidak ada perselisihan antara mereka.

Ini dijelaskan dalam sabda Nabi SAW: “Daripada Ibnu “Abbas, bahawasanya isteri Tsâbit bin Qais mendatangi Nabi SAW dan berkata: ‘Wahai, Rasulullah. Aku tidak mencela Tsâbit bin Qais pada akhlak dan agamanya, namun aku takut berbuat kufur dalam Islam,” maka Nabi SAW bersabda: “Apakah engkau mau mengembalikan kepadanya kebunnya?” Ia menjawab,”Ya, Rasulullah SAW,” lalu baginda bersabda: “Ambillah kebunnya, dan ceraikanlah ia.” (Riwayat Bukhari)

Yang mendukacitakan, perceraian yang selalunya berlaku bukanlah episod menggembirakan. Sebaliknya, penamat atau pembubaran ikatan pernikahan yang dibina dengan tugu kasih sayang suatu waktu dahulu sering menjadikan golongan bekas isteri sebagai mangsa.

Banyak juga kes di mana bekas suami culas bayar nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak sehingga bertahun-tahun lamanya. Ini tidak termasuk ada juga yang bertindak menghalau bekas isteri keluar dari rumah yang didiami walaupun dalam tempoh idah.

Itulah sebabnya yang membawa kepada pemakaian peruntukan Seksyen 47 Undang-Undang Keluarga Islam dan pemansuhan Seksyen 57 akta yang sama.

Seksyen 47 undang-undang berkenaan memperuntukkan kuasa kepada mahkamah syariah untuk mempertimbangkan dan membenarkan suami melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie.

Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, peruntukan ini diwujudkan bagi memastikan suami melafazkan talak dalam keadaan yang terbaik di mana hakim akan menyiasat sama ada sesuatu perkahwinan itu boleh dise­lamatkan atau tidak.

Bagaimanapun, langkah tidak mengiktiraf lafaz talak di luar mahkamah boleh menimbulkan keraguan dalam masyarakat sekali gus mengakibatkan berlaku kes perceraian yang tidak didaftarkan.

Apa pun, antara punca utama perceraian atau talak adalah kerana marah. Apabila marah menguasai, suami hilang pertimbangan dan kewarasan menyebabkan mudah jatuhkan talak sehingga ada yang menyesal apabila marah sudah reda. Namun apakan daya, nasi sudah jadi bubur.

Demikian sifat talak. Sama ada sungguh-sungguh atau bergurau, talak tetap jatuh. Kalau talak satu dan dua masih ada peluang untuk rujuk. Sebaliknya, kalau talak tiga, itu yang orang Melayu kata ‘gila talak’. Yang penting, jangan jatuhkan talak ketika sedang marah.

Nabi SAW berpesan dalam hadisnya yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan, dan syaitan diciptakan daripada api neraka, dan api akan dipadam dengan air. Maka, jika salah seorang daripada kamu marah hendaklah berwuduk.” (Riwayat Abu Daud)

Menurut Imam al-Ghazali, marah tidak boleh dihilangkan sama sekali tetapi boleh dilemahkan atau ditahan melalui latihan. Sebabnya, marah itu berfaedah juga untuk mencegah perbuatan mungkar dan melaksanakan tugas-tugas kebaikan. Jalan latihan itu, misalnya, dengan mujahadah iaitu membiasakan diri berbuat lembut dan menyimpan rasa marah.

Imam Ghazali menyarankan, apabila sedang marah segera berwuduk. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW. Selain itu, cara lainnya bisa dengan mengucapkan ta’awwudz (berdoa agar dijauhkan daripada syaitan). Ini kerana marah itu berasal daripada setan.

Apabila kita mampu menahan marah, kita tergolong orang yang takut kepada Allah. Ini kerana kita boleh mengalahkan godaan syaitan. Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada (meminta) ampunan dari Tuhanmu dan kepada (masuk) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa, (iaitu) orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sulit dan orang yang menahan marahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan. (ali-Imran: 133-134).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×