MUKADIMAH
TINDAKAN Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bersuara agar Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara dalam arena politik disifatkan Ketua Penerangan PKR Selangor, HALIMEY ABU BAKAR sekadar drama untuk melonjakkan populariti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang nampak ‘kusam’.
Halimey mengingatkan Mukhriz yang juga Presiden Pejuang agar berhenti ‘menyibuk’ isu PH, sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembangunan partinya.
“Pejuang sebuah parti baharu yang nampak gayanya mereka ini tak sehebat parti baharu lain.
“Jadi, usah bicara dan tumpu kepada parti lain. Lebih baik fikir bagaimana Pejuang nak dikenali oleh orang lain,” katanya.
Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dengan Halimey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia di pejabatnya di Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini.
UTUSAN: Boleh YB (Yang Berhormat) ulas kenyataan Mukhriz berhubung Anwar bukan lagi calon sesuai untuk menjadi Perdana Menteri?
HALIMEY: Sepatutnya Mukhriz perlu berkata perkara yang sama kepada bapanya. Minta Tun Dr. Mahathir Mohamad berhenti daripada berpolitik. Umur bapanya sudah hampir 100 tahun, jadi kita minta Mukhriz menasihati bapanya terlebih dahulu untuk berbuat demikian sebelum menasihati Anwar.
Dan kita juga tahu punca kejatuhan PH disebabkan Dr. Mahathir yang dikatakan gagal menepati perjanjian bersama antara pimpinan dan Pengerusi PH sehingga menyebabkan kerajaan tumbang dan diambil alih oleh Perikatan Nasional (PN).
Bagaimana Pejuang di mata YB?
Pejuang sebuah parti baharu yang nampak gayanya mereka ini tak sehebat parti baharu lain. Malah masih ramai yang tak kenal Pejuang kecuali nama Dr. Mahathir dan Mukhriz. Hanya dua beranak ini dikenali. Jadi, usah bicara dan tumpu kepada parti lain. Lebih baik fikir bagaimana Pejuang nak dikenali oleh orang lain. Sekarang ni orang tak nampak Pejuang, orang hanya nampak Dr. Mahathir.
Bagaimana pula dengan Mukhriz?
Mukhriz yang kita tahu bertanding dalam UMNO pun kalah. Beliau hanya bawa nama bapanya dan disebabkan itu beliau menjadi Menteri Besar Kedah untuk dua penggal, itu pun tak habis. Apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pegang pun sama, masih ada masalah dengan Mukhriz.
Jadi, nampak Mukhriz bukan orang politik yang hebat. Orang pun tak kenal dia. Pemilihan dalam perhimpunan agung pun dia kalah.
Lebih baik beliau kembali kepada kehidupan asal sebagai seorang ahli perniagaan. Jika mahu berpolitik sekali pun, janganlah sehingga terlalu fokus terhadap parti lain, sebaliknya tumpulah perhatian kepada perjuangan Pejuang.
Kenapa agaknya Pejuang ‘sibuk’ dengan urusan PH?
Kerana Pejuang bukan parti politik popular. Jadi, dengan cara ini bolehlah nampak popularnya parti itu. Ingatlah, mana-mana pemimpin Pejuang termasuk Dr. Mahathir dan Mukhriz sendiri pernah bertanding atas tiket PH sehingga mendapat sokongan rakyat. Rakyat sokong sebabkan PH. Mereka diangkat kerana perjuangan Anwar, PH dan PKR. Bukannya disebabkan nama mereka.
Adakah PH akan terima Pejuang?
Ramai berpendapat Dr. Mahathir punca PH jatuh. Ikut perjanjian persefahaman (MoU), Anwar akan jadi Perdana Menteri selepas Dr. Mahathir letak jawatan tetapi perkara itu tidak berlaku.
Pandangan saya, tidak setuju jika mereka mahu kembali dalam PH. Ini kerana sebelum ini rakyat terpaksa memaafkan beliau kerana Anwar menerima Dr. Mahathir dalam parti. Ketika itu ramai yang menentang tetapi Anwar atas dasar seorang pemimpin, menerima (Dr. Mahathir) dengan hati terbuka sehingga menyebabkan rakyat juga perlu terima dengan terbuka.
Dan mereka perlu sedar, pengundi menerima bukan kerana Dr. Mahathir tetapi perjuangan Anwar dalam menegakkan kebenaran dan keadilan.
Relevan lagi Dr. Mahathir dalam arena politik?
Cukuplah perjuangan beliau. Kita tak nafikan sejarah beliau yang ada baik dan buruk tetapi dalam usia sebegini, saya sarankan beliau berehat. Dr. Mahathir sudah banyak kali bercakap mahu bersara tetapi sehingga kini tidak juga.
Ada ura-ura kata Mukhriz mahu jadi Perdana Menteri. Pendapat YB?
Beliau belum lagi layak. Mengapa saya kata begitu? Kerana beliau belum pernah diuji atau disakiti sebagaimana Anwar kena dan belum susah sebagaimana Anwar susah.
Apa kata putus daripada PKR? Ada perbincangan berhubung isu serap Pejuang dalam PH?
Belum ada lagi perbincangan tetapi saya berpandangan seharusnya parti mengkaji semula seandainya ada tawaran daripada Pejuang untuk menyertai PH.










