Jadilah ibu bapa berjiwa besar - Utusan Malaysia

Jadilah ibu bapa berjiwa besar

TANGGUNGJAWAB sebagai ibu bapa bukan lagi berpasak atas hubungan darah daging semata-mata sebaliknya turut dipikul oleh orang lain. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALLAH SWT memberikan martabat istimewa kepada ibu bapa dengan pengorbanan yang mereka lakukan kepada anak-anak bermula dari alam kandungan sehinggalah dewasa. Di alam Nusantara ini, kita masih berpegang dengan budaya tersendiri dalam menghormati golongan tua khususnya ibu bapa. Antara nilai-nilai kesopanan ini adalah menunduk sedikit badan ketika berjalan di hadapan orang tua sebagai tanda memuliakan dan menghormati, bertutur dengan bahasa baik, merendahkan nada suara, menjaga nama baik orang tua, meminta izin ketika ingin beredar, mencium tangan kedua-dua orang tua ketika bersalaman dan tidak berjalan mendahului mereka.

Begitulah cara syariat dan adat meletakkan kedudukan yang tinggi kepada orang tua, khususnya ibu bapa. Sebenarnya tanggungjawab sebagai ibu bapa pada hari ini juga bukan lagi berpasak atas hubungan darah daging semata-mata. Sebaliknya, tanggungjawab ini turut dipikul oleh orang lain seperti ibu bapa tiri, ibu bapa angkat, mentua, guru dan jiran. Pepatah Afrika menyebut yang bermaksud seisi kampung diperlukan untuk membesarkan seorang anak.

Justeru, menjadi ibu bapa bukanlah satu pengiktirafan percuma dan memberi manfaat kepada sebelah pihak sahaja. Sebaliknya, bertimbal balik dengan tanggungjawab besar yang dipikul. Anak-anak ibarat kain putih yang bersih. Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua-dua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.” (Hadis riwayat Bukhari 1385)

3M

Sebagai ibu bapa, adakah kita mempunyai pilihan untuk mengelakkan tanggungjawab terhadap anak kandung atau anak jagaan kita sendiri? Sudah tentulah tidak melainkan tanggungjawab itu gugur disebabkan oleh beberapa keadaan tertentu. Jadi, apabila keluar data mengenai anak-anak tahap satu yang belum menguasai 3M (membaca, menulis, mengira) atau seramai 21,316 murid berhenti sekolah sejak Mac 2020, apa kita perlu lakukan?

Walaupun anak sendiri tidak menjadi sebahagian daripada statistik ini, kita tetap mempunyai tanggungjawab sebagai guru, ahli persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), jiran dan masyarakat setempat. Keciciran dalam menerima pendidikan atau menguasai pengetahuan asas tidak lagi boleh berlaku pada zaman ini. Ibu bapa perlu berjiwa besar untuk mendorong anak-anak kekal dalam sistem persekolahan agar mereka berpeluang mengubah nasib diri sendiri.

Sesi persekolahan yang bakal bermula beberapa hari lagi menuntut kita sebagai ibu bapa untuk berjiwa besar demi masa depan anak-anak. Kita perlu bersedia untuk sentiasa memberi panduan yang betul kepada mereka. Pandanglah setiap mereka dan generasi muda umpama anak-anak sendiri. Setiap daripada mereka berhak mendapat peluang untuk mengubah nasib diri menjadi lebih baik.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan di Pusat Kajian Ekonomi & Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×