Betulkah kita tindas pekerja p-hailing? - Utusan Malaysia

Betulkah kita tindas pekerja p-hailing?

Sebanyak 97 peratus daripada kira-kira 1.2 juta pekerja ekonomi gig tidak mencarum KWSP. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUT sudah berbunyi. Terus capai telefon pintar dan buat pesanan makanan. Lambakan pilihan jenis makanan hanya menunggu ketikan jari. Selang beberapa minit, makanan dan minuman dipesan tiba, siap dibandung rapi. Memang mudah, hanya tepuk dada dan tanyalah selera.

Gabungan kemajuan teknologi telefon pintar dan syarikat p-hailing menjadikan perkara sebegini sebagai suatu norma baharu kerana kemudahan yang dimanfaatkan pengguna. Namun, tanggungjawab pula semakin berat digalas di pundak pekerja p-hailing, ataupun sering digelar sebagai riders yang membanting tulang meredah panas dan hujan demi keselesaan pengguna yang tidak perlu keluar rumah untuk mendapatkan makanan dan minuman.

Isu kebajikan pekerja ekonomi gig ini sering diutarakan. Antaranya, isu prosedur operasi standard (SOP) yang berubah-ubah, kekurangan gaji asas dan tiada keselamatan pekerjaan. Pekerja ekonomi gig tidak diklasifikasikan sebagai pekerja di bawah kawalan Akta Kerja 1955 dan tidak mempunyai perlindungan.

Namun pada pendapat saya, ia bukan hanya masalah kegagalan klasifikasi. Ekonomi gig adalah satu bidang ekonomi baharu di mana pekerja adalah pekerja hibrid.

Mereka bukannya pekerja tradisional yang mengambil gaji bulanan daripada syarikat dan mereka juga bukan kontraktor bebas yang memberikan servis kepada syarikat.

Sekiranya Akta Kerja 1955 dipinda bagi mengklasifikasikan pekerja ekonomi gig sebagai pekerja biasa, ini dikatakan berisiko membunuh model perniagaan syarikat ekonomi gig dengan meningkatkan struktur kos mereka secara drastik. Sedangkan sebetulnya kos tersebut pula akan ditolak kepada pelanggan mengakibatkan mereka menanggung kenaikan kos.

Selain itu, klasifikasi sebagai ‘pekerja’ juga memberikan kesan kepada fleksibiliti masa yang telah menarik ramai pekerja ekonomi gig berkecimpung dalam industri ini kerana ‘majikan’ akan punya kuasa untuk mengawal ketat masa pekerja yang digajikan, malah boleh melarang pekerja daripada bekerja dengan syarikat lain. Satu rangka kerja kawal selia yang menyeluruh harus digubal bagi menangani permasalahan ini.

Mewujudkan satu templat ‘Kontrak Perjanjian’ antara pekerja dan syarikat ekonomi gig boleh dipertimbangkan oleh kerajaan. Kontrak ini berupaya menggariskan tahap fleksibiliti dan autonomi bagi pekerja ekonomi gig di samping melayakkan mereka kepada beberapa perlindungan hak asas.

Kontrak Perjanjian ini harus diperhalusi dan disandarkan di bawah pengelolaan kementerian relevan seperti Kementerian Sumber Manusia.

PERKESO, KWSP

Sebagai permulaan, kementerian bertanggungjawab perlu memastikan setiap pekerja yang telah menandatangani kontrak perjanjian ini didaftarkan secara automatik ke dalam jaringan keselamatan sosial yang lebih teguh. Contohnya, hak minimum pekerjaan seperti pemotongan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada syarikat.

Setakat ini kerajaan telah memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SESSS) Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017. SESSS merupakan satu skim wajib untuk mereka yang bekerja sendiri termasuk pekerja ekonomi gig. Di bawah skim ini, pekerja ekonomi gig mempunyai perlindungan bagi kecederaan berkaitan pekerjaan mereka.

Selain itu, skim i-Saraan diperkenalkan agar pekerja ekonomi gig dapat menabung bagi persaraan mereka dan diberikan perlindungan sama seperti pencarum yang bekerja sepenuh masa. Namun, apabila skim sebegini dijadikan pilihan dan bukan sesuatu yang wajib, ia kurang mendapat sambutan.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, setakat September 2020 hanya 18 peratus pekerja ekonomi gig berdaftar di bawah skim ini. Ini mungkin kerana kerajaan hanya memberi insentif maksimum RM250 setahun bagi pencarum di bawah skim i-Saraan. Maka ada keperluan bagi mengolah suatu skim di mana caruman dalam skim i-Saraan ini menjadi lebih menarik.

Selain menunggu inisiatif kerajaan, syarikat ekonomi gig di Malaysia boleh mengikut teladan syarikat seperti Gojek di Indonesia. Gojek bekerjasama dengan GigaCover, sebuah syarikat insurans bagi menawarkan insurans perlindungan pendapatan untuk pemandunya. Di bawah skim ini, pemandu akan dilindungi sehingga 21 hari cuti sakit dan 84 hari cuti kemasukan ke hospital. Usaha yang diambil oleh Gojek menunjukkan mereka mula mengiktiraf pekerja gig sebagai pekerja dan langkah kanan yang diperlukan bagi mempromosikan persekitaran kerja yang baik.

Kerajaan juga boleh menggalakkan syarikat ekonomi gig untuk lebih proaktif dalam mengambil langkah seperti ini dengan memberikan imbuhan pemotongan bayaran cukai bagi syarikat yang mengutamakan kebajikan pekerja-pekerja gig ini. Jelas sekali kerajaan perlu melakukan lebih banyak lagi untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh pekerja gig.

Isu pentakrifan yang tidak jelas serta kekurangan rangka kerja dan kawal selia menyukarkan sebarang usaha untuk memberi mereka bantuan kewangan dan sokongan sosial. Selain itu, mereka tidak mempunyai sebarang perlindungan sosial atau undang-undang mencukupi.

Saya percaya, kita sebagai masyarakat seharusnya lebih peka terhadap isu yang melanda pekerja ekonomi gig ini kerana kita semua mahukan kemudahan di hujung jari.

Namun, kemudahan ini tidak patut dibayar dengan penindasan terhadap pekerja p-hailing.

PENULIS ialah peguam cara litigasi yang beramal di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×