Belajar bahasa Melayu perlu integratif - Utusan Malaysia

Belajar bahasa Melayu perlu integratif

BAHASA Melayu harus dipastikan dikuasai oleh seluruh rakyat kerana kejayaan pendidikan bahasa atas orientasi integratif adalah lebih baik daripada orientasi instrumental sahaja. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WARGANEGARA bukan Melayu yang tidak fasih berbahasa Melayu yang merupakan bahasa negara dikatakan sesetengah pihak berwibawa sebagai hanya kes terpencil. Dengan ini tidak boleh sesekali dijadikan alasan sahih untuk mengatakan ia masalah nasional sedangkan yang selebihnya dikatakan mempunyai pengetahuan baik, malah penguasaan tinggi terhadap bahasa negara ini.

Sebilangan kajian yang dilakukan semacam memperlihat kebenaran alasan itu. Akan tetapi di lapangan yakni dalam interaksi seharian, hal ini pula semacam tidak benar.

Kajian itu dilakukan dari segi pendekatan mentalis yakni berdasarkan pengakuan dibuat pemaklum yang boleh sahaja bersifat tidak jujur. Hasil di lapangan pula diperoleh menggunakan pendekatan behaviourist, iaitu pengamatan pengkaji yang boleh juga bersifat berat sebelah.

Apa-apa jua, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa negara ini tidak diketahui, apatah lagi dikuasai oleh warganegaranya sendiri waima pada kadar munasabah. Dengan ini, seorang berpendidikan, lebih-lebih lagi lepasan institusi pendidikan tinggi dalam negara yang sebelum itu melalui sistem pendidikan negara seharusnya fasih berbahasa Melayu persuratan, baik dari segi lisan mahupun tulisan. Namun, ini bukan selalu kesnya.

Sehubungan ini, ramai yang memperoleh gred cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu didapati tidak mempunyai pengetahuan baik, apatah lagi penguasan tinggi yang membolehkan mereka bertutur dan menulis dengan baik menerusinya. Dalam hal ini, tidak keterlaluan untuk mengatakan ramai yang mempelajari bahasa Melayu atas orientasi instrumental, yakni sebagai syarat wajib lulus dan tidak lebih daripada itu.

Untuk tujuan perpaduan negara, bahasa Melayu yang memang pun disyaratkan sebagai bahasa perpaduan dalam sistem pendidikan negara harus diajar dan dipelajari atas orientasi integratif, iaitu untuk berintegrasi ke dalam kelompok penutur bahasa tersebut melalui sikap positif, selain untuk mengidentifikasi dengan ahli kelompok itu.

Dalam pada ini, kelompok bukan Melayu juga harus bersedia untuk ikut berintegrasi ke dalam budaya kelompok Melayu untuk menjadi sebahagian daripadanya dalam bentuk komuniti nasional. Ini bukan sahaja keperluan, malah kewajipan untuk menjayakan proses integrasi yang merupakan dasar penyatuan negara.

Namun, ia tidak berlaku selama ini kerana bahasa Melayu dipelajari semata-mata atas orientasi instrumental. Ini ada kaitan rapat dengan penilaian kelompok bukan Melayu terhadap bahasa Melayu. Dalam hal ini, nilai tinggi diberikan kepada hasrat untuk berjaya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang wajib lulus. Sebaliknya nilai rendah, malah tidak ada nilai langsung diperuntuk kepada keinginan menguasainya dengan baik agar dapat berfungsi dengan berkesan dalam wilayah Melayu.

Sebenarnya inilah masalah yang harus ditangani dalam konteks bahasa Melayu sebagai alat perpaduan negara. Sehubungan ini, ia harus dipastikan diketahui untuk dikuasai oleh seluruh rakyat pertama-tamanya atas orientasi integratif. Ini penting kerana terbukti kejayaan pendidikan bahasa atas orientasi integratif adalah jauh lebih baik daripada yang berdasarkan orientasi instrumental sahaja.

SERAMPANG DUA MATA

Dengan ini, bukan sahaja bahasa Melayu dipelajari dengan baik untuk tujuan instrumental, ia juga diketahui untuk dikuasai bagi mengenali kelompok penutur bahasa itu dengan lebih dekat bagi tujuan integrasi.

Dengan ini, pendidikan bahasa Melayu secara integratif bersifat serampang dua mata, iaitu memperoleh dua faedah perpaduan negara dan pencapaian kendiri secara serentak. Ini sama sekali berbeza dengan pendidikan secara instrumental sahaja yang tidak mampu memupuk perpaduan selain cuma boleh berbahasa berkenaan.

Sudah tiba masanya pendekatan integratif ini diberi perhatian serius dalam kurikulum dan sukatan pelajaran Bahasa Melayu dalam konteks bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan yang pertama kali dihasratkan dalam Penyata Razak 1956. Ia kemudiannya dijadikan peruntukan dalam Akta Pendidikan 1961 yang selepas itu dipinda pada 1996 sebenarnya wujud secara teori sahaja, iaitu termaktub dan secara tegas lagi tetapi tidak pun wujud secara amalan.

Ini benar kerana bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara tidak jelas dari segi pelaksanaannya sebagai bahasa perpaduan dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan. Ia sekadar disebut begitu sahaja, seperti ‘bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama’ pada Akta Pendidikan 1996. Ia tiada perincian malah tidak ada sebarang strategi, apatah lagi kaedah untuk merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sehubungan ini, bahasa kebangsaan sebagai bahasa milik semua rakyat harus digemblengkan untuk menjalinkan ikatan salasilah. Ini hendaklah dilakukan dengan menggabungkan keperluan memupuk perpaduan negara dengan kemestian wujudnya bahasa dan budaya peribumi sebagai identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.

Sebenarnya kita gagal dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan apabila melihat kepada gejala polarisasi kaum kini yang bermula di sekolah, berterusan di institusi pendidikan tinggi dan mantap di tempat kerja. Oleh itu, kita hendaklah menanganinya secara serius.

Sebenarnya bahasa memang berkemampuan dalam menyatukan umat. Ini terbukti di merata tempat dan sepanjang masa, baik pada zaman purba mahupun era moden. Namun, ia gagal di Malaysia. Oleh itu, kita harus mencari puncanya untuk turut berjaya dalam penyatuan linguistik yang penting bagi pembentukan negara bangsa.

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×