Eh! Mana satu fakta yang betul? Itulah soalan yang terpacul dalam pemikiran saya apabila membaca buku bertajuk Nasib Muslim Uyghur: Adakah Ada Masa Depan? yang ditulis oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid.
Dalam ayat pertama buku setebal 228 muka surat yang diterbitkan pada tahun lalu, Mohd. Azmi menulis: “Dunia masih menunggu suara kuat dari negara-negara Islam mengenai nasib Uighur di China. Tidak tercapai akal bahawa lebih 10 juta umat Islam Uighur yang masih tinggal ditindas, namun kita tidak menggerakkan ummah untuk bangkit bersolidariti dengan Uighur.”
Tambah beliau, apa yang berlaku adalah budaya pembunuhan beramai-ramai. Berjuta-juta orang Uighur yang dicekik oleh undang-undang yang zalim bertujuan mengurangkan pengaruh Islam, menghapuskan budaya dan umat Islam di Xinjiang, China.
Dalam program asimilasi China, kepercayaan Islam dan amalan atau simbol sengaja dipadamkan supaya mana-mana kewujudan budaya yang menggambarkan identiti Islam dihentikan.
Apabila membaca buku ini, saya melihat wujud pertentangan ketara dengan satu artikel bertajuk Uighur: Antara fakta dan emosi ditulis oleh pemerhati isu tempatan dan antarabangsa, Thaqib Shaker yang disiarkan akhbar ini pada 1 Januari lalu.
Menurut Thaqib, perasaan marah dan sedih umat Islam dengan malapetaka menimpa saudara seagama di Xinjiang adalah kerana maklumat yang diterima tidak bertepatan dengan realiti dan sekadar dicedok daripada sumber-sumber berat sebelah Barat yang tiada asas.
Hujah beliau itu berdasarkan hakikat banyak negara seperti Arab Saudi, Pakistan, Rusia, Sri Lanka serta sebahagian negara-negara Afrika dan Amerika Selatan menyatakan sokongan terhadap dasar China ke atas Uighur seperti penubuhan pusat latihan dan vokasional yang memfokuskan kepada latihan perindustrian dan kemahiran dalam membantu menaikkan taraf kehidupan masyarakat itu.
Jelas Thaqib, antara fakta yang tidak mampu dijawab Barat sehingga hari ini, sekiranya China menjalankan pembunuhan ke atas komuniti Uighur sejak dahulu lagi, mengapa populasi etnik itu di Xinjiang pada 2020 meningkat sehingga 11.62 juta berbanding 3.6 juta pada 1953? Peningkatan ini bukanlah sekali ganda tetapi empat kali ganda!
Dalam tulisannya, Thaqib menyebut beliau sama sekali tidak pro kepada China tetapi pro kepada fakta.
Bagi saya, sama ada Thaqib atau Mohd. Azmi, masing-masing mempunyai hujah tersendiri bagi mempertahankan adakah tulisan mereka itu berdasarkan fakta atau kebenaran.
Fakta pada asasnya adalah sesuatu yang wujud, hadir dalam realiti, boleh dilihat secara visual dan dapat disahkan serta boleh menjawab di mana atau bila sesuatu perkara itu berlaku.
Kebenaran pula boleh digambarkan sebagai individu, tempat, benda atau kejadian yang dipercayai seseorang sebagai benar dan kepercayaan itu boleh berubah apabila lebih banyak maklumat diperoleh.
Sebenarnya sukar mendapat fakta. Seperti yang ditulis Mohd. Azmi, pihak berkuasa China menafikan laporan penindasan, namun tiada akses untuk melakukan siasatan lebih mendalam.
ABANG BESAR
“Terdapat desakan agar penindasan ini disiasat oleh sebuah badan bebas. Bagaimanapun, kemasukan mereka telah dihalang oleh kerajaan China,” tulisnya.
Usaha mendapatkan fakta sudah pasti kelam dengan tindakan terbaharu pemerintah komunis China pada 21 Disember lalu menyenaraihitamkan kemasukan empat anggota Suruhanjaya mengenai Kebebasan Agama Antarabangsa Amerika Syarikat (USCIRF) yang meninjau kebebasan beragama di seluruh dunia dan menjadi pengkritik lantang mengenai layanan China terhadap Muslim Uighur.
Kerajaan Malaysia sendiri berpegang kepada kebenaran yang berubah-ubah berhubung isu Uighur. Ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN), etnik beragama Islam dan mengamalkan budaya Turki itu mendapat layanan agak ‘keras’ termasuk dipenjarakan dan dihantar pulang ke China walaupun ada dalam kalangan mereka mendakwa nyawa terancam.
Bagaimanapun, apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah pada 2018, etnik itu yang dipenjara di Malaysia dibebaskan atas alasan kemanusiaan dan mereka dihantar ke negara ketiga, iaitu Turki.
Berdasarkan situasi ini, tiada siapa yang boleh mengatakan mereka mempunyai fakta mengenai nasib etnik Uighur sebaliknya kebenaran berubah-ubah.
Saya teringat satu ungkapan oleh ahli sufi abad ke-13, Jalaluddin Rumi yang menyebut: “Kebenaran adalah (seperti) cermin di ‘tangan’ Tuhan. Ia jatuh dan hancur berkeping-keping. Semua orang mengambil sekeping dan mereka melihatnya dan menyangka mereka mempunyai kebenaran.”
Bagaimanapun, dalam buku ini, saya melihat satu isu besar yang harus diberikan tumpuan semua pihak adalah langkah China menjadikan Xinjiang sebagai tempat percubaan untuk mewujudkan negara Orwellian.
Istilah itu adalah sempena nama pena penulis British, George Orwell yang dalam novelnya Nineteen Eighty-Four pada 1949 yang menceritakan kewujudan negara autoritarian yang menyekat kebebasan rakyat, penegakan undang-undang zalim dan penindasan berterusan.
Tulis Mohd. Azmi, kerajaan China melayan Xinjiang lebih seperti zon eksperimen. China mempunyai minat yang kuat dalam membangunkan teknik pengawasan baharu seperti pengecaman muka, kamera pengawasan komprehensif dan pengumpulan asid deoksiribonukleik (DNA) daripada semua penduduk Xinjiang.
Di wilayah terpencil di kawasan pantai timur dan jauh daripada perhatian orang ramai, kerajaan China mewujudkan negeri Orwellian dalam negara itu untuk mencuba teknologi terbaharunya yang dibangunkan pada sekumpulan orang.
“Sebaik sahaja kerajaan membangunkan sistem yang lebih matang dan lengkap, kemungkinan besar akan menyesuaikan sistem itu ke bahagian lain di China untuk memajukan pengawasan terhadap semua rakyatnya,” ujar beliau.
Mohd. Azmi turut melahirkan kebimbangan China memperluaskan jangkauan pengawasannya ke luar negara apabila cuba menghalang etnik Uighur yang menetap di negara asing daripada menganjurkan protes anti-China, memberitahu dunia luar tentang realiti kejam di wilayah asal mereka dan bercakap dengan media.
Apa yang berlaku di Xinjiang adalah isu global yang perlu segera dihentikan jika kita tidak mahu hidup dalam dunia Orwellian yang sentiasa diperhati Big Brother (Abang Besar) pada masa depan.










